Teroka lokasi lain tanam padi rangsang industri makanan

By Mohd Noor Musa, Research Analysit, Institut Masa Depan Malaysia

Industri makanan adalah sektor penting dalam sesebuah negara kerana ketersediaan makanan mencukupi dan stabil menjadi indikator bagi sebuah negara mampu menjamin kualiti hidup masyarakatnya.

Ketiadaan bekalan makanan stabil mahupun ketidakmampuan memperoleh makanan yang baik akan memberi impak negatif terhadap kehidupan rakyat. Ia dapat dilihat apabila berlaku ketirisan bekalan beras ketika ini.

Di rantau Asia Tenggara, isu keterjaminan makanan sering berlaku berpunca akibat kurang bekalan dari negara anggota ASEAN dalam sektor pertanian.

Indeks Keselamatan Makanan Global 2022 (GFSI 2022) menunjukkan empat negara ASEAN – Singapura, Malaysia, Vietnam dan Indonesia berada pada kedudukan 10 teratas bagi negara mempunyai tahap keselamatan makanan tertinggi.

Persoalannya, bagaimana Malaysia harus bertindak untuk mengatasi krisis makanan dengan mempertingkatkan sektor agromakanan tempatan.

Krisis bekalan makanan melanda dunia menunjukkan sudah tiba masa isu ini diberi perhatian serius pihak bertanggungjawab bagi menjamin setiap rakyat mempunyai akses kepada makanan mencukupi pada harga berpatutan, pada bila-bila masa demi menjamin kehidupan sejahtera.

Nilai import makanan negara menunjukkan trend peningkatan sejak 2013 hingga 2022. Mengikut laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, import makanan negara mencatatkan sebanyak RM75.54 bilion pada tahun lalu, berbanding RM38.8 bilion pada 2013.

Angka ini menunjukkan peningkatan sangat ketara iaitu sebanyak 94.69 peratus. Sekiranya trend ini berterusan, tidak mustahil menjelang 2025, nilai import makanan negara boleh mencecah sehingga RM100 bilion. Ini jauh daripada sasaran digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Bulanan April 2023 dikeluarkan Jabatan Perangkaan pula, nilai import beras meningkat kepada RM334 juta atau 147,906 tan pada April lalu berbanding RM214 juta atau 89,082 tan pada Mac lalu.

Statistik ini jelas menunjukkan kebergantungan Malaysia terhadap bekalan beras import bagi menampung permintaan rakyat semakin tinggi. Data di atas sejajar dengan dapatan kajian Khazanah Research Institute (KRI) bahawa Malaysia berada pada 65 peratus Tahap Sara Diri (SSL) beras, manakala di Sabah dan Sarawak pula, di bawah 60 peratus.

SSL adalah komponen utama sekuriti makanan berfungsi sebagai petunjuk untuk mengukur kemampuan sesebuah negara memenuhi keperluan makanan daripada pengeluaran domestiknya.

Semakin besar SSL bagi komoditi makanan tertentu, semakin kurang kebergantungan terhadap import antarabangsa dan dapat mengurangkan impak kejadian buruk daripada pasaran antarabangsa.

Statistik import makanan dan beras di atas menggambarkan Malaysia terlalu bergantung kepada hasil pertanian dari negara luar untuk menjamin bekalan makanan mencukupi kepada rakyat.

Agak menyedihkan apabila status Malaysia sebagai negara pertanian sebelum ini semakin dilupakan. Sektor pertanian negara dilaporkan hanya menyumbang 7.4 peratus secara purata terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak 2015 hingga 2022.

Natijahnya, kedudukan Malaysia dalam GFSI akan merosot sekiranya tiada sebarang usaha untuk meningkatkan lokasi atau kawasan penanaman beras negara.

Dalam kalangan negara Asia Pasifik, Malaysia berada pada kedudukan kelapan di belakang Jepun, New Zealand, Australia, China, Singapura, Kazakhstan dan Korea Selatan.

Walaupun Malaysia mengatasi negara jiran dalam senarai kedudukan GFSI pada 2022, kedudukan Malaysia jatuh dari tangga 39 ke tangga 41 daripada 113 negara di dunia.

Menyedari pentingnya Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, langkah strategik perlu dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran makanan terutama beras.

DAN 2.0 yang menyasarkan pengeluaran sehingga 5.3 tan sehektar, akan memenuhi sasaran mencapai tahap SSL 80 peratus menjelang 2030 menerusi lima strategi.

Sebanyak RM218.1 juta diperuntukkan untuk Pembangunan Industri Padi dalam Belanjawan 2023, bertujuan menyokong matlamat DAN 2.0 terutama pengeluaran subsektor padi dan beras.

Manfaat varieti beras tempatan

Bagi pengurusan penggunaan tanah dan air lebih baik, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM69 juta dalam Belanjawan 2023 bagi Pemodenan Sistem Pengairan Padi.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood, berpandangan negara sepatutnya meneroka cara untuk menyimpan air bawah tanah bagi mengatasi masalah kekurangan air yang mempengaruhi hasil padi.

Air daripada banjir dan lebihan boleh disimpan dalam simpanan bawah tanah seperti dilakukan di Jepun sebagai langkah simpanan bekalan air untuk pengairan sawah.

Sementara itu, pembangunan industri padi negara juga perlu memanfaatkan varieti beras tempatan. Antara cadangan memanfaatkan potensi varieti beras istimewa tempatan adalah pihak berwajib meneroka penanaman padi di lokasi lain di Malaysia dengan jenis benih sesuai mengikut keadaan tempatan serta menghasilkan benih padi berkualiti kalis cuaca seperti banjir dan kemarau.

Usaha ini perlu dilaksanakan melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh agensi penyelidikan di bawah kementerian yang berkaitan.

Sebagai contoh, terdapat kawasan di Sabah dan Sarawak sesuai untuk penanaman padi dengan lebih 500 padi unik terdiri daripada pelbagai ciri seperti rasa, warna dan tekstur. Jenis beras unik ini boleh merangsang daya saing industri padi dan beras Malaysia di pasaran tempatan mahupun luar negara.

Walaupun hasil padi di Sabah dan Sarawak hanya menyumbang jumlah kecil, namun negeri berkenaan berpotensi mengembangkan industri padi negara melalui penanaman 500 jenis padi unik.

Selain meningkatkan pengeluaran beras menggunakan pelbagai struktur tanah pamah moden, Sabah dan Sarawak mempunyai potensi menceburi segmen beras premium dan artisanal sekiranya kepelbagaian tanaman tradisional dan turun-temurun dimanfaatkan sepenuhnya untuk dikomersialkan ke pasaran domestik serta antarabangsa.

Ini bersesuaian dengan Strategi Subsektor Padi dan Beras, 2021-2030 iaitu Memanfaatkan Potensi Varieti Beras Istimewa Tempatan di samping bertujuan menyumbang kepada peningkatan SSL Malaysia.

Peningkatan produktiviti padi domestik yang berkualiti secara berterusan adalah salah satu langkah waspada untuk menjamin makanan ruji terutama berlaku kes kecemasan jangka pendek apabila pengeluaran padi tempatan terjejas.

Tidak mustahil, keberhasilan padi di Semenanjung, Sabah serta Sarawak mampu meningkatkan peratusan SSL beras sehingga 100 peratus dan mengurangkan kebergantungan import dalam sektor beras negara.

Melalui DAN 2.0, Malaysia bukan sahaja mampu meningkatkan SSL dan hasil pengeluaran padi, bahkan berupaya menjadi negara pengeksport hasil pertanian dan makanan ke luar negara.