Resolusi Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keteranguman Sosial

RESOLUSI

SEMINAR KEBANGSAAN: PEMULIHAN NEGARA DAN KETERANGKUMAN SOSIAL

13 OKTOBER 2022

 

YBhg. Prof./ Datuk/ Dr. / Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial yang berlangsung pada 13 Oktober 2022 telah berjaya membentangkan 12 kertas kerja penyelidikan. Ini merangkumi isu-isu penting antaranya kemiskinan situasi, pendidikan kumpulan B40, aspek perancangan bandar lestari bagi kumpulan B40, keterangkuman wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak, model perusahaan sosial bagi PMKS, potensi ekonomi hijau, sekuriti makanan serta pemerkasaan sektor ekopelancongan.

Sebagai rumusan dan langkah ke hadapan, dalam konteks pemulihan negara, Seminar pada hari ini MENGGESA agar Kerajaan SEGERA MEMULIHKAN NEGARA melalui penekanan aspek KETERANGKUMAN SOSIAL DAN BERMARUAH (dignity) dengan:

  1. MEMBERI PENEKANAN TERHADAP ASPEK KUANTITI dan KUALITI PENDIDIKAN bagi mengatasi masalah keciciran (Loss of learning), menambahbaik pengambilan nutrisi makanan dan mengatasi masalah mental dalam kalangan murid.
  2. MEMACU SEKTOR PERNIAGAAN (business acceleration) dengan meningkatkan akses kepada geran dan pinjaman serta moratorium bersasar bagi mengatasi masalah aliran tunai.
  3. MEMPERKENAL INSENTIF bagi tujuan KETERSEDIAAN DIGITAL Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk MENINGKATKAN PRODUKTIVITI, mengurangkan kebergantungan kepada buruh berkemahiran rendah, pekerjaan berkualiti tinggi dan menawarkan pendapatan tinggi.
  4. SEGERA MENGENAL PASTI PELABURAN yang memfokuskan kepada foreign direct investments (FDI) dan domestic direct investments (DDI) yang berteknologi dan produktiviti tinggi serta menawarkan pekerjaan dengan pendapatan tinggi kepada rakyat.
  5. MENINGKATKAN KEMAHIRAN melalui insentif kepada majikan yang menghantar pekerja untuk peningkatan kemahiran (upskilling and reskilling), penumpuan kemahiran menjurus ke arah digitalisasi dan mahir dalam teknologi tinggi serta meningkatkan produktiviti serta peluang meningkatkan pendapatan.
  6. SEGERA menyelesaikan isu-isu sosioekonomi negara khususnya dalam mengurangkan jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak melalui PENDEKATAN BERDASARKAN SITUASI (no one-size fits all) merangkumi hak golongan wanita, orang kurang upaya (OKU), golongan minoriti termasuk Orang Asal.
  7. MENAMBAH BAIK INFRASTRUKTUR asas dan akses kepada perkhidmatan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak. Antaranya mengurangkan kos pengangkutan tinggi, out-of-pocket payments, kekurangan staf kesihatan.
  8. MENUMPU kepada aspek structural change yang bersifat berpusat kepada  “decentralisation” termasuk dari segi pengagihan peruntukan yang lebih saksama untuk Sabah dan Sarawak.
  9. MENANGANI ISU JAMINAN BEKALAN MAKANAN bagi mengatasi dilema ketidaktentuan rantaian bekalan serta kebergantungan terhadap import yang telah menghantui kita sejak sekian lama.
  10. Meningkatkan pembangunan ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui dn matlamat ekonomi hijau; dan
  11. MENGENAL PASTI anjakan baharu dalam bidang ekonomi yang bersesuaian mengikut acuan tempatan (localised economy) dengan merangka strategi yang berkesan (contohnya, instrumen wakaf, zakat dan infaq), tanpa mengikut atau mengadaptasi model luar negara yang sukar dipraktikkan di Malaysia.

JUSTERU, suatu pendekatan yang holistik dan inklusif perlu diambil dalam memacu pemulihan negara serta memperkukuh aspek keterangkuman sosial (social inclusivity). Langkah ini penting bagi menangani jurang pendapatan dan sosioekonomi merentasi wilayah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).

–  TAMAT –