By Muhammad Haqimie Aiman Rosli
TINDAKAN penguatkuasaan ke atas mana-mana premis perniagaan kerana melanggar peraturan papan tanda dwibahasa bukansuatu perkara baharu malah sudah dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan di negara ini sejak dari dulu lagi.
Bagaimanapun perkara ini menjadi isu hangat dan seperti luar biasa apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan operasi menurunkan papan tanda perniagaan yang melanggar syarat tidak menggunakan langsung bahasa Melayu.
Ketika rakyat Malaysia mengalu-alukan ketegasan DBKL dalam isu ini, ada juga segelintir ahli politik termasuk menteri yang lantang mengkritik tindakan tersebut. Walhal apa yang dilakukan itu tidak salah malah selari dengan peruntukan undang-undang dan perlembagaan negara dalam memartabatkan bahasa Melayu.
Jika inilah pendirian sesetengah ahli politik ini, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan akan terus tercabar.
Sekiranya situasi ini berterusan tanpa kesudahan, kita bimbang bahasa Melayu semakin dipinggirkan dan hanya menjadi bahasa pengantar orang Melayu dan bumiputera sahaja. Perkara ini tidak mustahil berlaku.
Dapatan satu kajian yang dibuat pada tahun 2020 bertajuk Penguasaan Kemahiran Membaca dan Menulis Bahasa Melayu Dalam Kalangan Murid Bukan Penutur Natif Di Sekolah Jenis Kebangsaan, menunjukkan pemahaman bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan (SJK) ada realiti pahit, yang mana hanya 17.2 peratus pelajar sahaja yang mencapai tahap tinggi pemahaman bahasa Melayu.
Sesungguhnya, usaha untuk mengangkat bahasa Melayu tidak sepatutnya diserahkan kepada para pejuang bahasa semata-mata malah ahli-ahli politik terutama pucuk pimpinan negara sendiri perlu menjadi suri teladan kepada rakyat.
Adalah sesuatu yang amat menyedihkan jika ada dalam kalangan pimpinan kita yang `lintang pukang’ dalam penggunaan bahasa Melayu atau masih merangkak-rangkak untuk menyusun tutur dalam bahasa Melayu.
Oleh kerana gagal menguasai asas pertuturan dalam bahasa Melayu, mereka lebih gemar untuk berkomunikasi dalam bahasa asing iaitu bahasa Inggeris walaupun audiennya adalah rakyat Malaysia.
Cubalah rujuk kembali Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 berkenaan Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam yang menyebut penjawat awam haruslah mempunyai pemahaman yang baik dan betul berkaitan bahasa Melayu. Bahkan penjawat awam harus menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam apa-apa urusan rasmi kerajaan.
Jika inilah keadaannya, perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sudah pasti berhadapan dengan cabaran lebih besar kerana segelintir rakyatnya tidak berupaya menguasai bahasa sendiri.