Ucapan di Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

DI SESI BALAI RAKYAT
MAKMURBERSAMA@KUALA LUMPUR ANJURAN INSTITUT MASA

PADA 29 SEPTEMBER 2020; PUKUL 3.00 PETANG
BERTEMPAT DI KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang Berhormat Senator Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin,
Menteri Kanan Pendidikan

Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas)

Yang Berhormat Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Yang Berhormat Datuk Seri Dr Santhara Kumar
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Zuki bin Ali
Ketua Setiausaha Negara

Yang Berusaha Saudara Mohd Nizam Mahshar
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan

Dif-dif Kehormat, saudara dan saudari yang saya hormati sekalian.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.

1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama hadir ke Sesi Balai Rakyat atau Town Hall Makmur Bersama pada petang yang berbahagia ini.

2. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Institut MASA yang telah sudi menjemput saya untuk hadir ke majlis yang penting ini. Institut MASA telah terlibat dari awal bersama-sama dengan kerajaan untuk membangunkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Wawasan ini yang menjadi teras utama dasar-dasar kerajaan adalah bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat dan seterusnya mewujudkan sebuah negara yang maju, makmur dan bersatu padu dengan segala hasil kemakmurannya dikongsi secara adil dan saksama oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah.

3. Sesi Balai Rakyat atau Town Hall ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan dengan kerjasama Institut MASA untuk memperjelaskan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai aspirasi utama kerajaan. Wawasan ini mempunyai tiga objektif utama iaitu:

Pertama, untuk menstruktur semula ekonomi ke arah yang lebih progresif berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi;

Kedua, menangani jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan untuk membela dan meningkatkan keupayaan semua rakyat supaya tiada yang ketinggalan; dan

Ketiga, menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah serta seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.

4. Untuk mencapai tujuan ini, kerajaan akan menumpukan kepada usaha untuk memastikan pembangunan ekonomi yang lestari; mencapai pertumbuhan yang mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif; mengembangkan ekonomi dan peluang ekonomi berdasarkan aktiviti pertumbuhan ekonomi utama; menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat; membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan kumpulan isi rumah B40 termasuk golongan mudah terjejas atau vulnerable groups dan terpinggir; dan membentuk masyarakat yang bersatu padu tanpa prasangka.

5. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 digubal berasaskan analisa yang mendalam mengenai isu-isu yang dihadapi oleh rakyat dan negara kita dalam usaha untuk melonjakkan tahap pencapaian ekonomi dan mengagihkan kekayaan negara secara adil dan saksama. Antara isu-isu utama yang dikenalpasti ialah pertumbuhan ekonomi negara kita masih belum mencapai potensinya yang sebenar. Ini termasuk dalam bidang-bidang seperti teknologi maklumat dan komunikasi serta jentera dan peralatan lain yang masih memerlukan lonjakan pelaburan untuk menjana pertumbuhan yang lebih rancak. Selain itu, perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan juga masih berada di tahap yang rendah iaitu sekitar 1.4 peratus kepada KDNK negara. Keadaan ini telah menghalang penerimagunaan lebih meluas teknologi termaju dan automasi oleh industri serta menghadkan inovasi dan peningkatan produktiviti.

6. Kepelbagaian produk dan perkhidmatan di negara kita juga masih belum mencapai tahap optimum dengan kebergantungan kepada eksport berasaskan komoditi secara relatifnya masih tinggi. Sebahagian besar industri juga masih berada dalam kategori nilai ditambah yang rendah dengan penggunaan teknologi yang minima.

7. Selain daripada isu-isu ini, jurang antara kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah masih wujud walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Kadar upah yang diterima oleh pekerja negara ini yang diukur berdasarkan Peratusan Bahagian Pampasan Pekerja Kepada KDNK juga masih rendah iaitu sekitar 35.7 peratus berbanding antara 46 hingga 52 peratus yang diterima oleh pekerja di negara-negara maju. Persaingan yang tidak adil dalam pasaran akibat amalan monopoli dan pencatutan, gejala rasuah dan ketirisan yang menjejaskan pertumbuhan dan pengagihan ekonomi yang adil dan saksama serta ekonomi Bumiputera yang tidak berkembang seiring dengan pembangunan dan kemajuan negara juga masih membelenggu usaha kita untuk mencapai cita-cita kemakmuran bersama.

8. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 digubal dengan mengambilkira kesemua situasi ini. Untuk menangani isu-isu yang menghambat keupayaan negara kita untuk bangkit sebagai sebuah negara maju yang hasil kemakmurannya dapat dikongsi oleh seluruh rakyat secara adil dan saksama, kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif yang terangkum dalam tujuh Teras Strategik iaitu:

Pertama, menstruktur semula ekosistem perniagaan dan insustri bagi mencapai status negara maju;

Kedua, mengenalpasti Aktiviti-Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama atau Key Economic Growth Activities (KEGA) yang berpotensi untuk dibangunkan secara lebih meluas seperti hab kewangan Islam, ekonomi digital, industri kandungan, automasi, pengangkutan, logistik dan mobiliti lestari, hab makanan halal, ekonomi pesisiran dan maritim, tenaga boleh baharu, ekonomi hijau dan lain-lain;

Ketiga, mentransformasi modal insan negara melalui program latihan profesional dan peningkatan kemahiran tenaga kerja;

Keempat, meningkatkan kecekapan pasaran buruh dan produktiviti pekerja seiring dengan peningkatan Peratusan Bahagian Pampasan Pekerja Kepada KDNK;

Kelima, mewujudkan kesejahteraan sosial dengan memastikan semua kelompok masyarakat khususnya golongan B40 dilindungi;

Keenam, mewujudkan keterangkuman wilayah dengan memastikan pembangunan negeri dan wilayah dilaksanakan secara saksama termasuk di Sabah dan Sarawak; dan

Ketujuh, memperkukuhkan modal sosial atau social capital menerusi penglibatan rakyat dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang akan meningkatkan tahap kepercayaan rakyat kepada institusi masyarakat dan negara serta memperkukuhkan perpaduan.

9. Saya boleh katakan bahawa WKB 2030 adalah kesinambungan daripada usaha-usaha yang telah dilaksanakan pada masa lalu untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat dengan mengambil kira realiti dan cabaran baharu yang dihadapi oleh negara baik di peringkat serantau mahupun di persada antarabangsa.

10. Pelaksanaan WKB 2030 dalam tempoh 10 tahun akan datang akan diterjemahkan melalui program, inisiatif dan projek-projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia 5 tahun iaitu RMK-12 dan RMK-13 di semua peringkat Kementerian, Jabatan dan Agensi. Walaubagaimanapun, beberapa inisiatif khusus samada di pihak Kerajaan mahupun yang diterajui oleh pihak industri akan turut dilaksanakan.

11. Bagi memastikan objektif yang telah ditetapkan dalam WKB 2030 tercapai, setiap pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program, projek dan inisiatif wawasan ini akan diberi KPI dan sasaran mengikut kluster 15 Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama atau KEGA yang akan diberi fokus secara berperingkat sepanjang 10 tahun pelaksanaan wawasan ini.

12. Sehubungan itu, bagi menjayakan WKB 2030, sebuah agensi khusus iaitu Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama atau Shared Prosperity Delivery Unit yang dikenali sebagai SEPADU telah ditubuhkan sejak bulan Mac 2020 untuk menerajui fungsi koordinasi dan pemantauan pelaksanaan program/inisiatif/projek di bawah WKB 2030.

13. Memandangkan WKB 2030 merupakan dasar teras dalam pembangunan negara dalam tempoh 10 tahun akan datang, maka satu mekanisme pemantauan peringkat tertinggi perlu ditubuhkan supaya objektif wawasan ini dicapai dan seterusnya memberi impak positif secara langsung kepada rakyat dan negara. Untuk itu, Kerajaan akan menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri, yang mana SEPADU akan bertindak sebagai sekretariat Majlis serta Jawatankuasa-Jawatankuasa di bawahnya.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

14. Saya sedar bahawa pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia memberi kesan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi kebanyakan negara termasuk Malaysia. Sektor-sektor ekonomi di negara kita telah terjejas dan pada masa ini berada dalam proses pemulihan. Situasi ini pastinya memberikan kesan kepada unjuran pencapaian objektif Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang tahun 2030. Saya merasakan bahawa pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah WKB 2030 seperti yang ditentukan di peringkat awal wawasan ini digubal mungkin perlu diteliti semula dengan mengambil kira kesan pandemik COVID-19.

15. Pada masa ini, kesan pandemik COVID-19 terhadap beberapa teras strategik WKB 2030 sedang ditangani menerusi inisiatif PRIHATIN dan PENJANA. Misalnya, bagi Teras 1 dan 2 WKB iaitu Ekosistem Perniagaan dan Industri serta Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama, Kerajaan melalui Geran Khas PRIHATIN (PKS Mikro) telah menyalurkan Bantuan kewangan secara one-off khusus untuk PKS mikro untuk meringankan beban kewangan perniagaan yang terjejas akibat wabak COVID-19. Sebanyak RM1.63 bilion telah disalurkan kepada 544,688 PKS mikro yang layak.

16. Selain itu, sebanyak RM9.57 bilion telah diluluskan kepada 20,769 PKS yang layak di bawah program Special Relief Fund (SRF) dan sebanyak RM28.7 juta telah disalurkan kepada 171 PKS yang layak di bawah program PENJANA SME Financing (SPF). Hampir 300 permohonan juga telah diterima di bawah inisiatif pembiayaan mudah Bumiputera MARA dan PUNB yang melibatkan jumlah pembiayaan sebanyak RM173.6 juta.

17. Bagi Teras 3 dan 4 iaitu Modal Insan dan Pasaran Buruh dan Pampasan Pekerja, antara inisiatif utama ialah program subsidi upah. Sebanyak RM10.44 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja dan lebih 321,000 majikan. Di bawah Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, peruntukan sebanyak RM500 juta telah disalurkan kepada lapan agensi.

18. Bagi Teras 5 dan 7 iaitu Kesejahteraan Sosial dan Modal Sosial pula, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM11.1 bilion wang tunai kepada 10.6 juta penerima yang layak di bawah inisiatif Bantuan Prihatin Nasional. Menerusi Bantuan Sosial Bagi Golongan Mudah terjejas, sejumlah RM61.7 juta telah disalurkan kepada lebih 205,000 penerima yang merangkumi kumpulan OKU, ibu tunggal dan kumpulan sukarelawan khidmat bantu di rumah.

19. Baru-baru ini saya juga telah melancarkan Program Jaringan Digital Negara (JENDELA) yang bertujuan untuk mengurangkan jurang digital di kawasan terpencil. Fasa 1 yang bermula sekarang akan memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk, mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25 megabit per saat kepada 35 megabit per saat serta membolehkan 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

20. JENDELA akan memberi manfaat kepada mahasiswa seperti Veveonah Mosibin, yang menunjukkan betapa pentingnya pengurusan jurang digital yang baik untuk membantu mendorong mobiliti sosial warga Malaysia untuk mencapai potensi mereka yang sebenarnya.

21. Selain itu, Kajian semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) serta pengukuhan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) adalah antara agenda penting yang disebutkan dengan jelas dalam dokumen WKB. Ia telah membolehkan kita mempunyai perancangan yang lebih besar dan lebih berkesan dalam mengurus kemiskinan dan golongan rentan ekonomi.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

22. WKB 2030 berhasrat untuk mencapai makna kesejahteraan dan kemakmuran yang sebenar. Kita seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah mesti makmur bersama. Kemakmuram tidak bermakna apabila ia hanya dikecapi oleh sebahagian rakyat manakala sebahagian lagi ketinggalan di belakang.

23. I would like to assure you, under Shared Prosperity Vision 2030, nobody will be left behind. Prosperity is colour blind. It must not discriminate against anyone. All of you, regardless whether you are a Malay, Chinese, Indian, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, Bidayuh, Bajau, Melanau, Orang Asal – all of you – have the right to be prosperous and successful in this country.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

24. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah sebuah model yang dibangunkan dengan citra Malaysia. Apabila dilaksanakan dengan betul saya percaya WKB akan dapat menjadi model penyelesaian kepada masalah ketidaksaksamaan global.

25. Kita rakyat Malaysia semuanya adalah pemacu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Marilah kita membawa idea ini ke hadapan. Marilah kita menggerakkan seluruh kekuatan dan kudrat kita untuk terus maju dalam keadaan yang amat mencabar pada masa ini.

26. Hanya dengan melakukannya bersama kita akan dapat membina kemakmuran dan kesejahteraan bersama bagi seluruh rakyat Malaysia, insyaAllah.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Date: 29 September 2020
Source and Image from: Prime Miniter’s Office – https://www.pmo.gov.my/2020/09/ucapan-di-sesi-balai-rakyat-makmur-bersama/

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found