Teroka sumber hasil baharu

KUCHING: Peningkatan hasil pendapatan Sarawak sebanyak RM11.9 bilion tahun lepas membuktikan pengurusan ekonomi yang baik daripada pucuk pimpinan negeri.

Pakar ekonomi Datuk Dr Madeline Berma berkata, Kerajaan Sarawak berjaya mempelbagaikan sumber hasil negeri, mengurus perbelanjaan secara berkhemah di samping berjaya mengurang defisit bajet.

Katanya, Sarawak merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah untuk hasil tahun lepas sekali gus menyaksikan hasil lebih tinggi daripada pendapatan yang diunjurkan iaitu sebanyak RM10.2 bilion.

“Ia merupakan satu pencapaian apabila berhasil meraih pendapatan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi dunia sangat mencabar,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pendapatan keseluruhan Sarawak berjumlah RM11.9 bilion tahun lalu yang diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada.

Tambah Felow Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA) terbabit, menerusi hasil tersebut, Sarawak boleh mengunakan hasil tinggi untuk menambah peruntukan pembangunan khususnya infrastruktur asas, jaringan kesihatan dan pendidikan.

Sarawak katanya, dapat menambah pendapatan isi rumah dan mengurangkan insiden kemiskinan, merapatkan jurang ketakseimbangan pendapatan antara luar bandar dan bandar, serta berdaya saing dengan negeri lain di Malaysia.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar Kerajaan Sarawak meneroka sumber hasil baharu daripada sektor ekonomi hijau seperti mengeksport lebih tenaga alternatif seperti hidrogen dan sebagainya.

Tarikh: 6 Februari 2023

Sumber: https://sarawakvoice.com/teroka-sumber-hasil-baharu/

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found