Tangani kemiskinan digital terlebih dulu – MASA

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menangani isu kemiskinan digital terlebih dahulu jika berhasrat menjadikan pendidikan digital sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan (MASA), Azril Mohd Amin, berkata agenda ke arah pembangunan digital hanya akan menjadi kenyataan retorik semata-mata jika jurang digital masih meluas dan gagal diatasi.

Beliau berkata, ini kerana pendidikan digital kini adalah salah satu pemacu utama dalam perkembangan ekonomi negara selain penting untuk menguasai kemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi.

“Dapatan kajian Tahap Kompetensi Digital Guru yang dilaporkan di dalam dokumen Dasar Pendidikan Digital 2023 menunjukkan hanya 2.2 peratus guru berada pada tahap lanjutan, 39.9 peratus pada tahap pertengahan dan 57.9 peratus pada tahap asas.

“Dokumen yang sama turut melaporkan, bahawa kesediaan peralatan komputer, peranti digital, perisian dan perkhidmatan jalur lebar sekolah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia masih berada di bawah purata dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Selain itu, faktor pemilikan gajet, selain status murid itu sendiri yang sebahagiannya tinggal di kawasan yang tidak mempunyai liputan jalur lebar yang stabil atau terhad, merupakan antara cabaran utama dalam proses pendigitalan pendidikan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam hal ini, Azril berkata pihaknya senada dengan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia baru-baru ini menyatakan kesediaan digital dan kepakaran guru yang terhad.

Justeru, beliau menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil serius laporan berkenaan dengan mengambil peluang untuk menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur digital di sekolah, terutama di kawasan luar bandar.

Dalam masa sama, beliau mengesyorkan KPM mengutamakan kepentingan memperkenalkan lebih banyak program pembangunan kapasiti berkaitan ICT untuk guru, pelajar dan pentadbir sekolah.

Jelasnya, tumpuan perlu diberikan terhadap penyediaan infrastruktur dan teknologi kerana PdP berasaskan teknologi mempunyai kapasiti untuk meningkatkan pemikiran kritis, pengalaman pembelajaran serta prestasi akademik.

Dengan menyepadukan teknologi ke dalam kurikulum sekolah, beliau berkata ia akan menambah baik kaedah pengajaran dan membolehkan guru mengembangkan kandungan buku teks, mencipta situasi pembelajaran bilik darjah yang lebih realistik dan berpusatkan pelajar.

Mengambil kira saranan itu, beliau berpandangan ia akan membantu membuka lebih banyak pilihan ke arah perkembangan dan kemajuan pelajar.

“Dengan Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan KPM tahun lalu dan berkuat kuasa sehingga 2030, adalah satu keperluan yang tepat pada masanya. Namun, ia hanya dapat mencapai matlamatnya dengan adanya infrastruktur yang betul dan isu berkaitan kemiskinan digital dalam kalangan rakyat ditangani.

“Pendigitalan pendidikan penting tetapi tanpa prasarana dan perkakasan yang perlu, dasar ini akan menjadi tidak berkesan.

“Sejajar dengan komitmen MASA yang mendokong agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan PPPM 2013-2025, kami menggesa KPM mempergiat lagi usaha dan inisiatif bagi mengemudi pemulihan, reformasi dan transformasi pendidikan di negara ini, khususnya di era digitalisasi kini,” katanya.

#MASAuntukMakmurBersama

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/05/1247379/tangani-kemiskinan-digital-terlebih-dulu-masa

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found