Source of Image : iStock – https://www.istockphoto.com/photo/asian-family-bonding-at-home-gm972158902-264687860
Oleh Nurul Hazirah Kamaruddin, Juruanalisis (Pelatih), Institut Masa Depan Malaysia
Tahukah anda hanya kira-kira 15% daripada rakyat Malaysia mempunyai pelan takaful? Ini bermaksud hampir 75% rakyat Malaysia tidak mempunyai sebarang perlindungan dan terdedah kepada risiko yang tidak dapat dijangka pada masa akan datang. Secara umumnya, takaful merupakan satu pelan perlindungan berdasarkan prinsip syariah. Dengan mencarum sejumlah wang yang sebahagiannya akan disalurkan ke dalam dana takaful atas dasar tabarru’(derma), seseorang itu telah memeterai kontrak (aqad) bagi membolehkannya menjadi peserta dalam pelan takaful tersebut dan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang ditetapkan.
Takaful boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu Takaful Am dan Takaful Hayat. Takaful Hayat merupakan satu pelan khas berkaitan kesihatan sepanjang hayat manakala Takaful Am boleh ditandatangani sekiranya kita merasakan sesuatu perkara itu penting seperti Takaful Pendidikan. Lebih mengejutkan ibubapa boleh membeli pelan takaful untuk anak-anak seawal usia mereka 14 hari. Ini merupakan satu tindakan yang bijak kerana kanak-kanak tersebut telah mendapat perlindungan sejak di usia muda. Budaya membeli pelan takaful ini sepatutnya perlu dipraktikkan dalam masyarakat agar mampu melindungi mereka yang tersayang.
Pada hari ini, kita berdepan dengan pandemik Covid-19 yang masih belum ada penghujungnya. Kapasiti hospital kerajaan telah pun di paras maksimum dan hampir kebanyakan hospital awam dan swasta telah dijadikan sebagai pusat perubatan pesakit Covid-19. Sekiranya ada di antara ahli keluarga kita ditimpa kemalangan atau musibah, pastinya mereka akan ditempatkan di hospital swasta yang mengenakan kos rawatan yang tinggi kepada para pelanggannya. Kos rawatan tersebut pastinya menjadi bebanan kepada golongan tertentu kerana tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk kos rawatan. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa berhutang untuk membiayai kos rawatan tersebut.
Namun, masalah ini dapat diatasi dengan pembelian pelan Takaful Hayat serendah RM150 sebulan, misalnya. Dengan kos RM150 ini, kita akan mendapat manfaat simpanan tetap takaful, hibah takaful dan kad kesihatan yang boleh digunakan untuk membiayai kos rawatan di hospital swasta. Peratus bagi setiap komponen boleh disesuaikan mengikut kehendak pencarum selepas mendapatkan nasihat daripada agen takaful. Jumlah ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan kos rawatan hospital swasta yang mencecah hampir puluhan ribu ringgit bagi sekali rawatan. Malahan pihak kerajaan sendiri tidak memberi sebarang pengecualian pembayaran kos rawatan hospital kepada rakyat biasa. Maka, mereka perlu menanggung kos rawatan tersebut sepenuhnya dan mencari alternatif lain bagi membayarnya.
Walaubagaimanapun, percaya atau tidak sebenarnya kita mampu membeli pelan takaful untuk keluarga kita. Dengan hanya gaji RM1, 200 sebulan contohnya, kita mampu untuk membeli pelan takaful ini. Pertama, kita perlu mengasingkan gaji bulanan kepada tiga kategori iatu 30% untuk simpanan, 20% untuk perbelanjaan bulanan dan komitmen haruslah kurang daripada 50% lebihan gaji tersebut. Daripada pecahan 30% simpanan tadi akan disesuaikan mengikut keutamaan di mana 10% akan digunakan untuk simpanan bank, 5% untuk pelaburan di mana-mana agensi pelaburan dan 15% untuk perlindungan iaitu takaful. 15% daripada RM1, 200 adalah bersamaan dengan RM 180. Jumlah ini adalah cukup untuk membiayai kos pelan takaful bagi setiap bulan.
Dengan adanya perancangan kewangan ini, sekurang-kurangnya ketua keluarga mampu memiliki satu pelan takaful bagi menyahut seruan kerajaan yang menjadikan pelan takaful sebagai salah satu inisiatif untuk mengurangkan masalah kemiskinan. Pelan takaful akan memberikan pampasan dalam bentuk hibah kepada waris sekiranya ketua keluarga berdepan dengan kematian atau kemalangan yang membawa kepada kecacatan kekal. Hibah tersebut dapat digunakan oleh waris untuk memulakan kehidupan baru tanpa perlu meminta simpati dari orang luar. Ini merupakan satu tindakan yang bijak untuk mebasmi masalah kemiskinan di samping membina kehidupan yang lebih berkualiti.
Buatlah pilihan yang bijak dengan membeli pelan takaful pada hari ini. Apabila institusi keluarga mempunyai perlindungan yang kukuh, sudah pasti kebajikan keluarga tersebut terjamin. Generasi muda yang berwibawa juga dapat dilahirkan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara yang aman dan mampu bersaing di arena dunia.