Risiko dan Peluang Perniagaan Semasa COVID-19

Source of Image : iStock – https://www.istockphoto.com/photo/disability-gm1271118105-373813750

Oleh Nurul Hazirah Kamaruddin, Juruanalisis (Pelatih), Institut Masa Depan Malaysia

Sejak bulan Februari 2020 yang lalu, kita telah dikejutkan dengan penyebaran virus Covid-19. Penularan pandemik ini bukan sahaja menjejaskan tahap kehidupan dan kesihatan rakyat, malahan telah mengubah landskap cara hidup yang dikenali sebagai norma baru. Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan khususnya dalam mengekang penularan wabak ini. Sehingga kini, kita telah melalui tiga siri perintah kawalan pergerakkan (PKP); Fasa 1 (PKP 1.0) bermula pada 18 Mac 2020, diikuti PKP 2.0 bermula pada 13 Januari 2021 dan PKP 3.0 yang bermula pada 12 Mei 2021, bagi memastikan kesihatan rakyat terjaga dan terpelihara.

Sudah pasti tidak sedikit kesannya yang telah kita lalui memandangkan rutin kehidupan yang berubah. Cara bagaimana kita berinteraksi dan cara bagaimana kita bersosialisasi juga turut berubah. Namun, perkara yang lebih penting ialah sektor ekonomi yang menjadi tulang belakang negara turut terkesan akibat penularan pandemik ini. Banyak maklumat yang telah kita terima saban hari tentang bagaimana sukarnya sektor ekonomi yang terpaksa berhempas pulas untuk bangkit semula dan sudah pasti di celah-celah kemelut pandemik yang semakin ganas kini, sektor perniagaan yang merupakan sektor penting negara yang paling terjejas. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa sektor perniagaan yang telah berjaya bangkit dan meneroka peluang-peluang baru dalam era pandemik Covid-19 seperti perusahan atau syarikat digital dan pengeluar atau pembekal alatan kesihatan.

Tidak dinafikan semasa pelaksanaan PKP 1.0 banyak sektor perusahaan dan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri, khususnya bidang pembuatan menghadapi masalah besar lantaran pemberhentian operasi perniagaan serta merta untuk membendung penularan wabak. Para majikan menghadapi dilema kerana perlu menanggung kerugian yang besar, dan pada masa yang sama perlu membuat keputusan yang bijak supaya kebajikan pekerja terjamin sepanjang tempoh PKP ini. Namun, kekurangan pelitup muka dan set pakaian personal protective equipment (PPE) yang digunakan oleh petugas barisan hadapan dalam negara telah membuka peluang kepada para pengusaha perniagaan pada peringkat awal PKP 1.0 dalam bidang perubatan untuk menyelamatkan perusahaan mereka. Para peniaga telah melakukan inovasi untuk menghasilkan pelitup muka yang diperbuat daripada fabrik dan set pakaian PPE untuk para petugas barisan hadapan.

Jika disorot kembali, apabila Kementerian Pembangunan Usahawan mengumumkan peruntukan belanjawan pada November 2020 yang lalu, sebanyak 31,469 PKS telah menggulung tikar kesan daripada pelaksanaan PKP 1.0. Ini merupakan satu kegusaran yang perlu dibendung khususnya oleh pihak kerajaan kerana majoriti pengusaha PKS masih menggunakan kaedah tradisonal untuk memasarkan produk mereka dan tidak mempunyai pengetahuan mahu pun kemahiran  menggunakan platform digital atau online. Tambahan pula, usahawan PKS lebih tertumpu di kawasan kampung dan luar bandar yang kebanyakannya mempunyai kurang pendedahan kepada platform digital. Ini semestinya memberikan satu cabaran yang besar kepada pengusaha PKS sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. Walaupun mereka mempunyai simpanan KWSP namun, perlu diingat bahawa simpanan tersebut adalah untuk kegunaan hari tua mereka dan sekiranya digunakan sepanjang tempoh PKP, besar kemungkinan mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bertahan pada masa akan datang.

Justeru, usahawan PKS amatlah perlu untuk mempelajari ilmu perniagaan secara atas talian bagi meningkatkan nilai tambah dan kemahiran mereka. Tambahan pula dengan memasarkan produk perusahaan secara atas talian, akan memberikan masa yang lebih fleksibel kepada pengusaha PKS. Memandangkan wujudnya permintaan yang tinggi dalam perniagaan atas talian khususnya pada musim pandemik serta penguatkuasaan PKP, pelbagai kelas atas talian telah dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada syarikat swasta mahupun agensi latihan kerajaan dalam memberikan pengetahuan dan pendedahan kepada peniaga PKS tentang bagaimana untuk memasarkan produk perniagaan secara atas talian (contohnya melalui paparan iklan di platform media sosial). Selain itu, perniaga juga boleh mempelajari teknik pemasaran atas talian melalui aplikasi YouT     ube yang tidak perlu mengeluarkan sebarang kos atau yuran. Ini bukan sahaja menjimatkan masa, malahan ianya dapat memajukan dan merancakkan lagi aktiviti perusahaan PKS di Malaysia, atau pun keluar negara. Walaubagaimanapun, peniaga (mahupun pembeli) perlulah sentiasa berwaspada dengan tipu daya “scammer” dengan menyediakan kontrak perjanjian secara bertulis apabila menerima tempahan dalam kuantiti yang besar bagi mengelakkan kerugian menyimpan stok dalam kuantiti yang banyak.

Bagi generasi muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, mereka boleh bermula dengan menjadi agen atau penjual dropship untuk produk-produk yang mempunyai permintaan yang tinggi. Janganlah mengambil keputusan terburu-buru untuk terus membuka perniagaan baru khususnya dalam bidang perniagaan makanan basah yang mempunyai tarikh luput yang pendek. Ini akan membawa kerugian yang besar kepada pe     niaga baru. Sebaliknya, ambillah masa untuk membuat penyelidikan terlebih dahulu dan mengkaji tren pembelian dan dan penawaran (supply and demand) pada musim pandemik ini untuk mengelakkan sebarang kerugian selain bijak mengurus tekanan yang dihadapi sebaik mungkin supaya tidak memberi kesan negatif kepada perniagaan yang dijalankan. Ukurlah baju di badan sendiri supaya tidak menyesal di kemudian hari. Rakyat yang dapat menguruskan tekanan pastinya akan menikmati kehidupan sejahtera bagi merealisasikan hasrat negara untuk menikmati kemakmuran bersama.

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found