RMK12 mampu penuhi Agenda WKB 2030

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RKM12) merupakan waktu yang tepat bagi mengangkat aspirasi Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dalam semangat Keluarga Malaysia.

Menurutnya, RMK12 juga akan menjadi sumber untuk mengembalikan era kemakmuran negara bahkan mungkin lebih baik.

Justeru beliau berkata, tindakan menyuntik reformasi mendasar yang benar-benar akan mengubah pendekatan ke arah lebih inklusif perlu diteruskan dalam RMK12.

“Reformasi mendasar perlu dibangunkan atas asas kekuatan ekonomi dan keutuhan rakyat serta tidak mengabaikan keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penggunaan teknologi hijau.

“RMK12 juga perlu memastikan segala perancangan ekonomi dan kewangan adalah tegas dan berani untuk menuju Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2025, dengan Pendapatan Negara Kasar perkapita meningkat dari RM42,755 4 kepada RM54,843.

“Dengan adanya dasar dan instrumen yang tepat dan pelaksanaan Game Changer yang agresif dalam RMK12, sasaran ini tidak mustahil dicapai,” katanya ketika Perbahasan RMK12 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, perkembangan masa depan Malaysia juga mesti mengandungi program dan projek penting yang boleh melonjakkan pertumbuhan pengeluaran negara, peluang pekerjaan dan pendapatan dalam jangka pendek dan sederhana.

Oleh itu, beliau menyokong pelan kerajaan berhubung pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Johor Bahru, malahan juga ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang melibatkan konsortium kewangan dalam negara.

“Impak projek seperti ini akan memberi kesan berganda dalam membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu serta pembangunan wilayah dan pengwujudan bandar-bandar baharu sepanjang laluan HSR.

“Ini sudah tentunya akan menghasilkan nilai berganda berbilion ringgit dan mendatangkan manfaat besar kepada rakyat termasuk masyarakat bumiputera,” katanya.

Date: 30 September 2021
Source and Image from: Sinar Harian- https://www.sinarharian.com.my/article/164312/BERITA/Nasional/RMK12-mampu-penuhi-Agenda-WKB-2030