Resolusi 16/18 tangani agenda penghinaan terhadap Islam

Oleh Azril Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Seorang pelampau sayap kanan Denmark-Sweden yang terkenal menyebarkan kebencian anti Islam, Rasmus Paludan membakar senaskhah Al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm pada 21 Januari di bawah perlindungan polis Sweden.

Satu lagi insiden melibatkan mushaf Al-Qur’an yang dikoyak oleh Edwin Wagensveld, seorang ekstremis berhaluan kanan anti Islam berlaku pada 22 Januari di The Hague.

Kedua-dua insiden tersebut bukan sahaja mendapat kecaman daripada umat Islam di seluruh dunia, malah ramai pemimpin bukan Islam turut menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan provokatif dan Islamofobia itu.

Tetapi hakikat yang tersembunyi ialah sebahagian besar masyarakat Eropah, termasuk banyak suara yang dominan di Sweden, telah mempertahankan tindakan-tindakan keji tersebut dengan alasan untuk menegakkan hak kebebasan berekspresi.

Di peringkat akar umbi masyarakat banyak negara majoriti Islam, protes yang berterusan menyebarkan kecaman terhadap penjenayah tersebut tanpa menyelesaikan masalah secara tuntas.

Sesetengah pemimpin negara pula mencadangkan perlu diadakan dialog secara berkesan untuk memastikan mereka yang secara berterusan bertindak di luar batas norma kemanusiaan diberikan pencerahan tentang pelbagai salah faham yang mengakibatkan mereka melakukan tindakan kebencian terhadap Islam.

Namun hakikatnya masyarakat dunia buntu dalam mencari kaedah penyelesaian terbaik yang dapat digunakan untuk menghentikan kebobrokan tindakan kebencian terhadap agama ini.

Apa yang berlaku ternyata merupakan pengulangan masalah kehilangan toleransi terhadap agama, xenofobia, diskriminasi dan keganasan yang semakin meningkat.

Jika tidak ditangani segera melalui tindakan berkesan dan bersepadu, insiden yang dianggap sesetengah pihak sebagai terpencil berisiko untuk bertukar menjadi sikap dan tindakan normal yang tersebar di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan generasi muda yang semakin peka dengan isu-isu semasa melalui sifat ganas dan tidak terkawal media sosial.

Pandemik Covid-19 juga menyerlahkan sentimen dan tindakan Islamofobia, dan terbukti daripada lonjakan tajam dalam ucapan kebencian dan jenayah kebencian terhadap minoriti Islam, termasuk kempen fitnah yang dirancang untuk menempelkan label umat Islam sebagai penyebar virus maut.

Selain itu, gelombang pasang surut populisme, perkauman, dan ultra-nasionalisme menyemarakkan permusuhan terhadap Islam dan umat Islam, ketika wakil-wakil Negara dan pegawai kerajaan memburuk-burukkan Islam dan umat Islam dengan mengaitkan mereka secara palsu dengan keganasan dan ekstremisme untuk kepentingan politik.

Segmen tertentu media arus perdana, badan pemikir dan ahli akademik muncul sebagai pengampu untuk ideologi xenofobia dan pengecualian tersebut. Platform media sosial yang tidak dikawal juga meningkatkan stereotaip negatif dan stigmatisasi terhadap individu dan masyarakat Islam.

Susulan kejadian penghinaan Islam yang berlaku baru-baru ini, beberapa penyataan sikap oleh pemimpin politik, NGO dan golongan agamawan dikeluarkan, selain demonstrasi untuk membantah kebiadaban rakyat kedua negara Eropah yang dianjurkan NGO dan parti politik tempatan.

Kerajaan juga memanggil duta negara berkenaan untuk menyatakan protes negara secara rasmi, namun tindakan tersebut dijangka tidak mencetuskan rasa kekesalan terhadap insiden yang menguris hati umat Islam di seluruh dunia.

Pada hakikatnya, Malaysia sebagai salah satu negara anggota OIC dan kini menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia perlu segera memulakan dan memimpin gerakan strategik secara besar-besaran.

Ini bertujuan menyeru penggunaan resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) yang terkenal bertajuk “Memerangi sikap tidak bertoleransi, stereotaip negatif dan stigmatisasi, dan diskriminasi, hasutan kepada keganasan dan keganasan terhadap, orang berdasarkan agama atau kepercayaan”.

Resolusi ini boleh dilaksanakan terhadap negara-negara yang sengaja membiarkan perbuatan menghina agama berlaku di depan mata mereka tanpa sebarang tindakan diambil untuk menghentikan perbuatan seumpama itu.

Sehingga ke saat ini, Resolusi 16/18 yang pertama kali diterima pakai secara konsensus pada 24 Mac 2011, kekal sebagai dokumen unik dalam menghuraikan pelan tindakan lapan perkara yang dipersetujui secara sejagat untuk memerangi masalah sikap tidak bertoleransi terhadap agama, xenofobia, diskriminasi dan keganasan yang semakin meningkat.

Sejak 2011, penerimaan persetujuan resolusi di Perhimpunan Agung PBB dan UNHRC menunjukkan masyarakat antarabangsa bersepakat menentang sikap melampau ini.

Sebagai mekanisme pelaksanaan resolusi 16/18, Proses Istanbul berfungsi sebagai platform yang berguna untuk memperdalam dialog, meningkatkan persefahaman bersama dan berkongsi amalan terbaik di kalangan negara, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan.

Dalam konteks kedua-dua insiden yang baru berlaku ini, ternyata telah berlaku pelanggaran resolusi yang sepatutnya menjadi asas untuk tindakan lebih tegas terhadap negara-negara Eropah yang merestui tindakan anggota masyarakatnya menghina Islam melalui pembakaran dan pengoyakan kitab suci Islam.

Kejadian pembakaran al-Qur’an sebagai salah satu bentuk pelanggaran hak asasi manusia umat Islam memberi kita peluang untuk melihat bagaimana Resolusi 16/18 dapat berperanan dalam membendung sikap tidak bertoleransi agama, ketaksuban dan keganasan.

Dalam hal ini, Malaysia perlu secara tegas menyatakan kekesalan kepada PBB dan UNHRC kerana kelewatan bertindak menangani kelaziman sifat Islamofobia yang sistemik dan sistematik di seluruh dunia, terutamanya selepas 9/11, meningkatkan undang-undang, dasar dan amalan negara yang diskriminasi, yang menyasarkan Islam disebabkan oleh minoriti, pada individu, komuniti dan peringkat institusi.

Insiden di Sweden jelas membuktikan betapa pihak berkuasa sesebuah negara yang anti Islam itu boleh terlibat mempertahankan dan menyebarkan sikap kebencian terhadap sesuatu agama.

Malaysia juga perlu menggesa ahli dan pemerhati Majlis Hak Asasi Manusia, mekanisme hak asasi manusia PBB, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan untuk terus mengoptimumkan usaha bagi pelaksanaan penuh dan berkesan Pelan Tindakan 16/18.

Secara khususnya, Malaysia boleh menggesa agar OIC mengemukakan suatu usul khas kepada UNHRC agar pelanggaran resolusi 16/18 oleh kedua-dua Denmark dan Sweden dikutuk oleh semua negara anggota PBB.

Selain itu, usul tersebut juga perlu mendesak agar perkara 5(f) di dalam resolusi tersebut yang menyeru langkah untuk menjenayahkan hasutan kepada keganasan yang akan berlaku berdasarkan agama atau kepercayaan dilaksanakan segera di dalam semua negara anggota PBB.

Selain kedua-dua inti pati usul ini, mungkin sudah sampai masanya untuk negara anggota PBB melalui UNHRC untuk mendesak tindakan yang lebih berat, termasuk sekatan dagangan pada tahap tertentu terhadap negara-negara yang tidak mengendahkan aksi rakyat mereka yang melakukan perkara menghina agama atau yang turut terlibat melindungi penjenayah tersebut daripada sebarang tindakan undang-undang.

Pada hakikatnya, hak untuk kebebasan bersuara dan pendapat bukanlah mutlak dan tidak juga memberi lesen kepada sesiapa pun untuk sengaja memprovokasi dan menyakiti sentimen berbilion-bilion umat Islam.

Dengan mengoptimumkan resolusi 16/18, tindakan tegas dan berani dapat dilakukan demi memastikan semangat resolusi untuk “Memerangi sikap tidak bertoleransi, stereotaip negatif dan stigmatisasi, dan diskriminasi, hasutan kepada keganasan dan keganasan terhadap, orang berdasarkan agama atau kepercayaan” dapat direalisasikan secara berkesan dan menyeluruh, demi menjamin keamanan dan kesejahteraan dunia.

Sumber:https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/01/31/resolusi-16-18-tangani-agenda-penghinaan-terhadap-islam

Gambar: https://www.malaysianow.com/_next/image?url=https%3A%2F%2Fcdn.malaysianow.com%2Fuploads%2Fimages%2Fmedia%2F2023%2F01%2F31%2F65e71c7b-d4d7-46c8-9e8d-c287d6992a7b.JPG&w=1920&q=75

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found