‘Pergiatkan inisiatif tingkatkan sosioekonomi wanita secara inklusif’ – Institut MASA

KUALA LUMPUR: Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) meminta kerajaan mempergiatkan lagi usaha dan inisiatif bagi meningkatkan taraf sosioekonomi wanita secara inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd Amin, berkata MASA mahu langkah proaktif dan berterusan dilaksanakan Malaysia dalam memanfaatkan potensi besar wanita supaya dapat memacu kemakmuran negara, komuniti, keluarga dan isi rumah.

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, hari ini, dengan tema ‘Wanita Dijulang, Negara Gemilang: Percepatkan Kemajuan’ yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“MASA berbangga untuk bersama-sama dengan komuniti global, meraikan pencapaian luar biasa dan sumbangan wanita yang tidak ternilai, di seluruh dunia.

“Sejajar dengan komitmen MASA yang tidak berbelah bahagi menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), kami menggesa kerajaan Malaysia untuk mempergiatkan lagi usaha dan inisiatif bagi meningkatkan taraf sosioekonomi wanita yang lebih inklusif.

“MASA menyokong segala bentuk pelaksanaan dasar yang saksama dan strategik yang boleh memupuk dan meningkatkan penyertaan serta kepimpinan wanita dalam sektor swasta dan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Azril berkata, peranan dan sumbangan wanita amat diperlukan dalam menangani pelbagai cabaran bagi mengemudi pemulihan, reformasi dan transformasi ekonomi.

Beliau berkata, malah kajian mendedahkan bahawa walaupun separuh daripada populasi dunia terdiri daripada wanita, mereka hanya menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

“Nilai kerja tanpa gaji wanita adalah bernilai USD 10.9 trilion (RM51.13 trilion) pada ekonomi dunia dan ini jelas membuktikan pentingnya usaha menjulang darjat mereka dalam pembinaan kapasiti dan keusahawanan.

“Pemerkasaan wanita merangkumi pelbagai aspek seperti pemerolehan pengetahuan, kesedaran, pembinaan kapasiti dan peningkatan penyertaan dalam proses membuat keputusan.

“MASA menyokong kesaksamaan dan pemerkasaan jantina serta mengakui pengetahuan dan kehebatan wanita dalam membuat keputusan yang amat penting bagi kemajuan masyarakat dan negara,” katanya.

#MASAuntukMakmurBersama

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1221049/pergiatkan-inisiatif-tingkatkan-sosioekonomi-wanita-secara-inklusif

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found