SHAH ALAM – Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mempercepatkan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap Israel di atas pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang di Palestin.
Pengerusi Centhra, Azril Mohd Amin berkatsa, sehingga hari ini, tindakan diambil terhadap Israel terlalu perlahan, sekali gus menunjukkan ICC kurang berminat dalam mempertahankan hak-hak asasi dan nasib rakyat Palestin.
“Selain itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dilihat mengambil masa lama iaitu lebih enam bulan untuk membuat Resolusi 2728. Kelewatan ini amat membimbangkan dalam menangani krisis kemanusiaan yang mendesak.
“Walaupun resolusi tersebut menuntut gencatan senjata dan pembebasan segera tebusan, kami ingin menekankan pentingnya keperluan untuk mengambil tindakan yang cepat dan menegakkan akauntabiliti, terutamanya dalam memastikan Israel bertanggungjawab atas segala tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, walaupun majoriti mengakui penerimaan pakai resolusi tersebut, Centhra tetap merasa ragu tentang komitmen dunia untuk melaksanakan gencatan senjata dan memastikan perlindungan nyawa rakyat Palestin.
Beliau turut menyeru semua pihak agar mematuhi resolusi itu dengan segera dan menentang sekeras-kerasnya ‘double standard’.
“Ia bertujuan mengekalkan konflik ini kerana pasukan tentera Israel sehingga hari ini tetap meneruskan kempen pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dengan menyasarkan wanita dan kanak-kanak, serta membiarkan mereka kebuluran.
“Pertubuhan-pertubuhan utama dunia dan masyarakat antarabangsa mesti memberi persetujuan segera agar sekatan ketat dapat dilakukan terhadap penduduk Israel yang berterusan menyemarakkan keganasan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Baitulmaqdis,” jelasnya.
Menurutnya, kegagalan melaksanakan gencatan senjata di Palestin tidak boleh dimaafkan kerana ia hanya akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza.
“Centhra tetap teguh meneruskan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperjuangkan keadilan, akauntabiliti dan mempertahankan hak rakyat Palestin serta mangsa perang dan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.
“Dunia mesti akur dengan seruan kami ini dan mengambil langkah berani dan tegas untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin serta membawa pelakunya ke muka pengadilan,” katanya.
#MASAuntukMakmurBersama