Pendekatan pragmatic, holistic Muhyiddin perangi COVID-19

UCAPAN Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, memberikan keyakinan dan jaminan bahawa perjuangan Malaysia memerangi COVID-19 tidak tergendala sungguhpun berlaku perubahan pada tampuk kepemimpinan kerajaan baru-baru ini.

Sudah pasti ramai yang berasa lega kerana pendekatan pragmatik dan holistik yang telah digariskan oleh Muhyiddin ketika beliau menjadi Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN), akan diteruskan seperti dirancang.

Setinggi-tinggi penghargaan atas usaha beliau yang menyaksikan hampir dua pertiga penduduk Malaysia telah menerima bantuan tunai, perniagaan dibantu dan golongan rentan telah dilindungi daripada kesan kemelesetan ekonomi paling mencabar dalam sejarah negara kita.

Menerusi pelbagai inisiatif, tidak kurang daripada lapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan telah diserahkan.

Lebih penting, sebilangan besar populasi Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 dan kita kini telah mendahului sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di bawah pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang dilancarkan awal tahun ini.

Muhyiddin telah menegaskan sekali lagi langkah-langkah ke hadapan untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Visi beliau yang realistik dan berpandangan jauh jika dilaksanakan tanpa gangguan mampu mengubah krisis menjadi peluang, kekecewaan menjadi harapan dan penderitaan bertukar kepada kemakmuran bersama.

Perincian dan butiran untuk menyokong usahawan kecil dan sederhana serta sektor ekonomi yang paling terkesan; bantuan berterusan untuk rakyat; usaha bersepadu untuk menarik pelaburan langsung asing serta domestic; percambahan teknologi dan pendigitan baharu akan membolehkan Malaysia tampil lebih saksama, lestari dan lebih kuat daripada sebelumnya.

Apa yang lebih menyentuh dalam ucapan beliau, adalah seruan kepada semua agar bersolidariti dan menyingkirkan apa jua unsur yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita mengalu-alukan dan menyambut baik semangat perpaduan yang diberi penekanan oleh beliau dalam ucapannya. Mesej itu memang kena pada masanya ketika kita semakin menghampiri penghujung krisis kesihatan dan memasuki pula fasa pemulihan yang panjang.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita harus membulatkan tekad dan bersatu hati dalam menghadapi cabaran yang bakal ditempuh. Dengan semua elemen penting ke arah pemulihan ekonomi, yang disebutkan oleh beliau, sesungguhnya Malaysia mempunyai kemampuan bukan sekadar untuk pulih daripada krisis, sebaliknya muncul lebih baik dan lebih kuat.

Date: 10 September 2021
Source and Image from: Astro Awani – https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pendekatan-pragmatik-holistik-muhyiddin-perangi-covid19-318991

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found