Negara kuasa veto mesti akur jika ICJ memihak Palestin

Oleh Azril Mohd. Amin

 

MAHKAMAH Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini memuktamadkan pendengaran buat kali pertama selama dua hari berhubung kes dibawa Afrika Selatan mengenai serangan berterusan Israel terhadap Palestin. Kes itu adalah detik bersejarah menyaksikan Israel diheret ke institusi keadilan antarabangsa untuk dibicarakan di bawah peruntukan Konvensyen Genosid 1948.

Dakwaan dihadapkan kepada rejim haram itu berkisar tindakan Israel dalam perang di Gaza yang meragut lebih 24,000 nyawa rakyat Palestin dengan majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Apabila berakhir persidangan mahkamah di The Hague pada peringkat itu, persoalan segera timbul apa akan berlaku seterusnya? Pasukan peguam Afrika Selatan diketuai Menteri Keadilannya, Ronald Lamola, memohon sembilan langkah sementara dikuatkuasakan, terutama meminta Israel menggantung sebarang operasi ketenteraan terhadap Gaza.

Secara ringkasnya dalam pendengaran permohonan Afrika Selatan ini, hujah peguamnya menunjukkan Israel melanggar Konvensyen Genosid dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza dan gagal menghalangnya, termasuk gagal mempertanggungjawabkan pegawai kanan Israel dan individu lain daripada berhenti menghasut, mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai dan kecederaan beribu orang lagi.

Kes ini bukan prosiding jenayah terhadap individu, tetapi mencari penentuan undang-undang berhubung tanggungjawab sesebuah negara terhadap kejadian genosid.

Perbicaraan kes ini memfokus permohonan Afrika Selatan untuk memperoleh langkah sementara
atau provisional measures sebagai tindakan segera dan penting bagi menamatkan penderitaan rakyat
Gaza, sementara menunggu perbicaraan penuh dan memberi ruang kepada ICJ memuktamadkan keputusan di bawah Konvensyen Genosid.

Perkara utama dimohon Afrika Selatan ialah ICJ mengarahkan Israel henti serta-merta operasi ketenteraannya di Gaza dan mematuhi kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid. Afrika Selatan juga memohon ICJ untuk mencegah kemusnahan dan memastikan pemeliharaan sebarang bukti berkaitan kes asas termasuk membenarkan misi mencari fakta, mandat antarabangsa dan badan lain akses ke Gaza.

Selain itu, Afrika Selatan memohon kepada mahkamah untuk memastikan Israel melaporkan kepadanya mengenai langkah diambil untuk melaksanakan perintah langkah sementara dalam tempoh seminggu dari penghakiman dan kemudian secara berkala sehingga mahkamah mengeluarkan keputusan muktamadnya.

ICJ dijangka membuat keputusan mengenai perkara ini dalam masa beberapa minggu. Walaupun keputusan sementara secara teorinya mengikat secara sah, ia sering tidak mempunyai asas untuk penguatkuasaan seperti terbukti dalam keputusan ICJ pada 2022 mengenai operasi ketenteraan Russia di Ukraine.

ICJ tiada kuasa paksa pematuhan

Hakikatnya, ICJ tidak mempunyai kuasa memaksa pematuhan dan ini sudah tentu membuka ruang
kepada Israel untuk berpotensi mengabaikan perintah berkenaan. Bagaimanapun, keputusan ini boleh
memudaratkan reputasi Israel dan bertindak sebagai kompas moral di mahkamah pendapat umum.

Kebimbangan utama sekarang ialah potensi pergantungan Israel kepada Amerika Syarikat (AS) untuk melaksanakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) jika ICJ memutuskan memihak kepada Afrika Selatan.

Walaupun UNSC mempunyai kuasa seperti digariskan dalam Perkara 94(2) Piagam PBB untuk mengambil langkah khas menguatkuasakan penghakiman ICJ, kebimbangan timbul daripada kemungkinan veto AS boleh menghalang penguatkuasaan keputusan sedemikian.

Selain itu, laluan kepada keputusan muktamad dalam kes ICJ Afrika Selatan-Israel dijangka mengambil tempoh panjang. Proses mahkamah membabitkan permohonan bertulis terperinci, hujahan
undang-undang dan hujahan balas, dimuktamadkan dengan keputusan panel hakim.

Ramai pakar undang-undang menganggarkan kes ini boleh berlanjutan sehingga empat tahun disebabkan kerumitan mengemudi prosiding undang-undang antarabangsa.

Kes dibawa Gambia pada 2019 terhadap Myanmar yang mendakwa negara itu melakukan aktiviti
pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Rohingya, memberikan contoh duluan relevan dan
meletakkan asas untuk Afrika Selatan memfailkan tindakan itu terhadap Israel.

Walaupun undian ICJ pada 2022 mengesahkan hak Gambia membawa kes itu di bawah Konvensyen Genosid, sehingga saat ini langkah sementara Myanmar diputuskan ICJ masih tidak dipatuhi negara berkenaan. Ini isu besar dijangka akan menghantui tindakan Afrika Selatan di ICJ.

Perbicaraan ICJ mengenai kes Afrika Selatan terhadap Israel adalah detik penting dalam usaha mencari keadilan bagi mangsa perang di Gaza. Rayuan segera untuk langkah sementara mencerminkan keperluan segera menangani kekejaman berterusan dan melindungi hak asasi rakyat Palestin.

Kes duluan Gambia-Myanmar berfungsi sebagai peringatan cabaran menterjemahkan kemenangan
undang-undang kepada impak dunia nyata. Apa yang penting, pendengaran ICJ menawarkan harapan untuk akauntabiliti dan pembalasan.

Sama ada melalui langkah sementara atau keputusan muktamad, ICJ mempunyai kuasa menetapkan duluan merentasi sempadan, menekankan kepentingan memastikan negara bertanggungjawab
atas tindakan melanggar konvensyen ditetapkan.

Dalam usaha mencari keadilan, keputusan kes ini akan bergema di luar bilik mahkamah, mempengaruhi persepsi global terhadap akauntabiliti, moral dan peranan undang-undang antarabangsa menangani krisis kemanusiaan.

Niat rejim Zionis pimpinan Benjamin Netanyahu mesti dapat dibuktikan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai bagi memenuhi kriteria di bawah Konvensyen Genosid seperti terjadi dalam peristiwa Holocaust di Eropah.

Seperti dibentangkan Adila Hassim, peguam mewakili Afrika Selatan kepada ICJ: “Tiada apa-apa
akan menghentikan segala penderitaan dilalui rakyat Palestin, kecuali perintah daripada mahkamah ini”.

Justeru, masyarakat antarabangsa, termasuk semua ahli PBB mesti bergerak memberi tekanan kepada PBB bagi memastikan wujud integriti mekanisme perundangan antarabangsa. Masyarakat antarabangsa juga mesti mendesak penguatkuasaan penghakiman berkesan menangani genosid terhadap rakyat Palestin.

Dunia sebenarnya terhutang budi kepada Afrika Selatan yang berani membawa kes Israel-Palestin ke
ICJ. Langkah berani Afrika Selatan mesti diteladani semua negara anggota PBB, termasuk Malaysia,
dalam menentang segala bentuk ketidakadilan dan tindakan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap Palestin.

Penulis ialah pengamal undang-undang yang juga Pengasas dan Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Sumber: Berita Harian

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found