Muhyiddin gesa kerajaan tangguh rasionalisasi subsidi elak rakyat terbeban satu lagi kenaikan

KUALA LUMPUR 5 Mac –   Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan menangguhkan rancangan melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel yang dijangka pada tahun ini ditangguhkan buat sementara waktu.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, kalau dilaksanakan juga, beliau 100% yakin bahawa semua barang dan perkhidmatan akan naik harga dan lebih ramai rakyat akan sengsara.

“Oleh sebab itu, saya minta kerajaan supaya kaji dengan lebih teliti rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel ini,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, lagi pun pada masa ini rakyat sedang berdepan dengan kenaikan harga barang dan kenaikan pelbagai jenis cukai yang amat membebankan mereka.

“Saya faham beban fiskal yang ditanggung oleh negara kita akibat jumlah subsidi yang besar.

“Tetapi pada masa yang sama adakah kita rela melihat rakyat menanggung sengsara dalam keadaan mereka sudah pun terbeban dengan pelbagai masalah yang berkaitan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan cukai.

“Mungkin elok kerajaan tangguhkan dahulu rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel buat sementara waktu,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengingatkan kerajaan pengenaan cukai untuk perkhidmatan logistik akan menyebabkan kenaikan kos operasi perniagaan yang tentu sekali akan menyebabkan kenaikan harga barang.

“Jadi, nasib rakyat negara ini seperti “sudah jatuh ditimpa tangga”. Sudahlah harga barang mahal, kadar cukai juga dinaikkan yang pastinya menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan menjadi semakin mahal.

“Pada masa yang sama, pencen penjawat awam dihapuskan, perbelanjaan kesihatan dipotong dan subsidi ditarik balik,” ujarnya.

Kata bekas Perdana Menteri itu, kerajaan nampaknya tidak mengambil kira secara holistik bebanan yang ditanggung oleh rakyat dengan keputusan menaikkan kadar cukai dan lain-lain kenaikan.

Ujar beliau, ia seolah-olah semuanya dilonggok ke atas rakyat tanpa ada strategi jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh.

“Semalam saya baca kenyataan seorang Timbalan Menteri yang mengingatkan peniaga yang perniagaannya tidak terbabit dengan kenaikan cukai SST supaya tidak menaikkan harga. Dia sebut antaranya ialah peniaga makanan.

“Ya, betul sektor makanan dan minuman tidak terbabit dengan kenaikan cukai SST kepada 8%. Tetapi katakanlah peniaga itu jual nasi campur. Dengan cukai SST 6% dikenakan bagi perkhidmatan logistik, kos pengangkutan bagi daging, ayam, ikan, sayur dan lain-lain pastinya akan meningkat.

“Kalau kos barang-barang ini meningkat, takkanlah peniaga nasi campur nak jual nasi dengan harga yang sama seperti sebelum ini? Secara logiknya, dia pastilah jual dengan harga yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau pada masa sama memulang paku buah keras terhadap kepimpinan kerajaan ketika ini yang suatu masa dahulu menuduh kerajaan-kerajaan sebelum ini sebagai ‘tidak tahu jaga negara’ apabila berlaku kemerosotan nilai ringgit.

“Saya tengok dalam media sosial ramai netizen yang ulang tayang video Tambun (Perdana Menteri) ketika beliau jadi pembangkang. Dia kata “Hang tak reti jaga negeri”. Sekarang rakyat cakap balik kepada Tambun, “Hang yang tak reti jaga negeri”,” katanya.

#MASAuntukMakmurBersama

Sumber: https://www.dagangnews.com/article/muhyiddin-gesa-kerajaan-tangguh-rasionalisasi-subsidi-elak-rakyat-terbeban-satu-lagi-kenaikan-35510

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found