Langkah buka sempadan negara bantu pemulihan ekonomi segera: MASA

Pembukaan sempadan negara akan dapat membantu pemulihan ekonomi dengan segera, kata sebuah badan, Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Namun, langkah itu perlu dilakukan dengan perancangan rapi bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd. Amin.

Bagi membuka sempadan negara, kerajaan dicadangkan mencontohi strategi serta pendekatan yang telah diambil oleh negara-negara lain seperti New Zealand, Australia, Bali (Indonesia) dan Filipina.

“Negara-negara tersebut melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azril berkata, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mampu memainkan peranan bagi membolehkan gelembung perjalanan pelbagai hala di rantau ini berjalan lancar.

Katanya, semua pihak perlu berganding bahu untuk memperhalusi usaha pembukaan semula sempadan negara seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.

“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Masa Depan Malaysia

Tarikh: 14 Februari 2022

Sumberhttps://www.agendadaily.com/isu-semasa/langkah-buka-sempadan-negara-bantu-pemulihan-ekonomi-segera-masa/

Gambarhttps://www.agendadaily.com/wp-content/uploads/2021/05/Lapangan-Terbang.jpg

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found