Laksana segera program atasi isu kemiskinan, jurang pendapatan

Oleh Sim Why Jean, Penganalisis Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia

EPISOD COVID-19 yang melanda seluruh dunia mencetuskan krisis berganda dari sudut kesihatan dan ekonomi sejagat.

Penularan pandemik memberi impak besar kepada landskap sosioekonomi, jurang pendapatan semakin melebar merentasi wilayah serta antara bandar dan luar bandar.

Selepas genap dua tahun pandemik menular, tempiasnya yang tidak pernah terlintas dalam fikiran masih dirasai masyarakat.

Dalam menyingkap tirai kemiskinan, golongan berpendapatan rendah adalah antara kelompok paling terkesan.

Diuji dengan pelbagai dugaan yang mendatang, ditambah pula beban musibah banjir pada Disember lalu, jumlah anggaran kerugian dikatakan mencecah RM6.1 bilion.

Realitinya, soal kemiskinan terus membelenggu masyarakat saban hari. Masih ramai terhimpit dengan isu pokok seperti kos sara hidup, kenaikan harga barang keperluan harian dan kehilangan mata pencarian.

Menurut Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Jabatan Perangkaan, hampir 20 peratus atau sekitar 580,000 isi rumah golongan M40 terjerumus ke bawah B40 susulan pandemik.

Jumlah ini bukan angka kecil tetapi mencerminkan realiti sebenar pandemik. Ibarat ‘yang rebah ditindih’, situasi ini dikhuatiri bertambah parah sekiranya tidak ditangani segera.

Justeru, agenda pembasmian kemiskinan menjadi fokus utama yang perlu dirungkai bersama merentasi semua peringkat.

Menyedari hakikat ini, kerajaan tampil dengan pelbagai jenis bantuan demi meringankan beban rakyat dan memastikan kelangsungan hidup, antaranya termasuk Bantuan Prihatin Rakyat dan moratorium pinjaman untuk perniagaan.

Di sebalik hikmah pandemik, krisis ini membuka peluang kepada semua agensi terbabit dan pemegang taruh untuk mengambil iktibar serta mencari jalan penyelesaian dengan menyelami situasi di lapangan bagi membantu golongan terkesan supaya mereka berupaya melangkah keluar kemiskinan.

Sebagai permulaan, hasrat kerajaan meneliti kaedah pengukuran kemiskinan termasuk pindaan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) menjelang suku pertama 2023 suatu perkembangan positif.

Kadar kemiskinan PGK nasional diguna pakai ketika ini berdasarkan metodologi PGK 2019 iaitu RM2,208 sebulan bagi setiap isi rumah, manakala RM1,169 bagi isi rumah miskin tegar.

Sehubungan itu, tumpuan terarah kepada kemiskinan pelbagai dimensi. Pembasmian kemiskinan tidak harus diukur berdasarkan pendapatan semata-mata, sebaliknya turut meliputi aspek lain seperti pendidikan dan kemahiran, penjagaan kesihatan serta perlindungan sosial.

Kemiskinan pelbagai sudut menjadi pelengkap kepada PGK dengan mengambil kira keperluan semasa isi rumah.

Bagi menangani poket kemiskinan, pendekatan dari bawah ke atas atau bottom-up approach dilihat lebih efektif berbanding strategi one-size-fits-all.

Dalam konteks ini, pendekatan bersasar bukan saja dapat mengenal pasti kawasan dan kelompok penduduk dengan kadar kemiskinan tinggi mengikut lokaliti dan strata, malah ia dapat membantu menyusun langkah berkesan untuk merapatkan jurang ekonomi kumpulan sasar.

Misalnya daerah yang memiliki peratusan miskin tegar tinggi termasuk di wilayah Sabah dan Sarawak. Pada 2020, nisbah jurang pembangunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita wilayah Sabah berbanding wilayah Tengah adalah 2.8.

Begitu juga usaha memperkasa golongan rentan seperti komuniti Orang Asli, etnik minoriti dan golongan tanpa kewarganegaraan berdepan kekangan seperti saluran maklumat atau akses terhad kepada program bantuan.

Selaras iltizam kerajaan ke arah merealisasikan agenda pembasmian miskin tegar menjelang 2025, cadangan penubuhan Unit Kemiskinan di seluruh negara mampu menjadi katalis dengan menggariskan inisiatif pembasmian kemiskinan mengikut acuan di lokaliti terpilih supaya tiada tercicir daripada jaringan keselamatan sosial.

Selain itu, kewujudan pangkalan data bersepadu berasaskan penggunaan data raya mengintegrasikan pengurusan data kemiskinan seperti pola taburan pendapatan komuniti miskin tegar serta miskin dapat menjadi pengantara bagi tujuan semak dan imbang untuk memantau keberkesanan program kemiskinan.

Selain bantuan sumbangan dan modal perniagaan, pemerkasaan komuniti penting dalam transformasi masyarakat miskin tegar dan miskin terutamanya meningkatkan keupayaan ekonomi dan sosial penduduk setempat.

Di sebalik pembangunan pesat, ramai dalam kalangan golongan miskin bandar di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) terpaksa menanggung kos sara hidup tinggi.

Sehubungan itu, inisiatif berteraskan komuniti dapat memberi nafas baharu kepada golongan ini untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan mempelbagaikan sumber mata pencarian.

Melalui latihan dan bimbingan berterusan, mereka dapat menjelma potensi masing-masing dengan menceburi bidang seperti keusahawanan digital.

Inisiatif seperti Program Kemiskinan Bandar (5MY) bertujuan menangani isu kos sara hidup serta membasmi kemiskinan dalam komuniti miskin bandar yang menyumbang kepada pembangunan komuniti lestari.

Pada masa sama, pembangunan modal insan inklusif merangkumi aspek pendidikan, kemahiran dan kesihatan dapat membentuk generasi kalis cabaran, seterusnya menjadi ejen perubahan bagi membasmi kemiskinan.

Kekangan seperti capaian internet lemah atau ketidakmampuan memiliki peranti tidak harus menjadi halangan kepada anak-anak untuk mengikuti proses pembelajaran berkualiti.

Dalam hal ini, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk kemahiran insan dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif dan penambahbaikan infrastruktur termasuk di sekolah daif.

Sistem pendidikan responsif seiring era digitalisasi dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dapat melahirkan tenaga kerja mahir berdaya saing dan kekal relevan untuk memenuhi keperluan masa depan.

Bidang Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu diberi penekanan khusus sebagai pemangkin meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi memastikan pemadanan dari segi kemahiran dan permintaan industri dengan gaji bersesuaian.

Selain itu, kemiskinan berkaitan kanak-kanak seperti isu kekurangan zat makanan, kemiskinan haid dan malnutrisi terutamanya kanak-kanak bawah umur lima tahun wajar ditangani secara menyeluruh menerusi Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0.

Langkah ini sejajar dengan Malaysia yang dijangka mencapai status negara menua menjelang 2030.

Melalui penambahbaikan skim bantuan sosial dan data tunggal penerima bantuan, kebajikan populasi warga emas dapat diberi perhatian sewajarnya dalam mendepani situasi yang tidak dijangka pascapersaraan.

Kerajaan perlu merangka pelan jangka panjang untuk membina semula simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam mengimbangi antara keperluan mendesak dan simpanan hari tua supaya pencarum tidak perlu berkecimpung dalam alam pekerjaan melangkaui usia persaraan.

Tidak dinafikan, usaha mempromosi literasi kewangan penting supaya masyarakat dilengkapi pengetahuan kewangan seperti pengurusan kewangan dan perlindungan sosial.

Masyarakat celik kewangan semestinya dapat merancakkan usaha pembasmian kemiskinan.

Usaha sama semua pihak dapat menjayakan agenda pembasmian kemiskinan ke arah masyarakat makmur dan sejahtera, sekali gus memastikan Malaysia di landasan tepat untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/03/939371/laksana-segera-program-atasi-isu-kemiskinan-jurang-pendapatan

Gambar: https://assets.bharian.com.my/images/articles/doifmiskin28a_1648438213.jpg