Kenyataan Media MASA Raikan Hari Wanita Antarabangsa, Wanita Dijulang, Negara Gemilang

KENYATAAN MEDIA

MASA RAIKAN HARI WANITA ANTARABANGSA, WANITA DIJULANG, NEGARA GEMILANG

8 MAC 2024

BERSEMPENA Hari Wanita Antarabangsa 2024 hari ini, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berasa bangga untuk bersama-sama dengan komuniti global, meraikan pencapaian luar biasa dan sumbangan wanita yang tidak ternilai, di seluruh dunia.

Tema tahun ini, “Wanita Dijulang, Negara Gemilang: Percepatkan Kemajuan” yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menggariskan keperluan mendesak untuk menangani jurang ekonomi yang dihadapi oleh kaum wanita.

Kempen yang bertemakan “Menginspirasikan Keterangkuman” menonjolkan betapa pentingnya kepelbagaian dan pemerkasaan wanita merentasi semua sektor masyarakat.

Sejajar dengan komitmen MASA yang tidak berbelah bahagi menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), kami menggesa Kerajaan Malaysia untuk mempergiatkan lagi usaha dan inisiatif bagi meningkatkan taraf sosioekonomi wanita yang lebih inklusif.

MASA menyokong segala bentuk pelaksanaan dasar yang saksama dan strategik yang boleh memupuk dan meningkatkan penyertaan serta kepimpinan wanita dalam sektor swasta dan awam.

Selari dengan usaha kolektif kami, Malaysia telah menetapkan sasaran penting untuk menghapuskan segala bentuk ketidakadilan dalam pasaran buruh, yang bertujuan tidak lain tidak bukan untuk memajukan hasil ekonomi wanita.

MASA ingin menekankan betapa pentingnya langkah-langkah proaktif dan berterusan dalam memanfaatkan potensi besar wanita agar dapat memacu kemakmuran negara, komuniti, keluarga dan isi rumah.

Peranan dan sumbangan wanita amat diperlukan dalam menangani pelbagai cabaran bagi mengemudi pemulihan, reformasi dan transformasi ekonomi. Kajian mendedahkan bahawa walaupun separuh daripada populasi dunia terdiri daripada wanita, mereka hanya menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Nilai kerja tanpa gaji wanita adalah bernilai USD 10.9 trilion (RM51.13 trilion) pada ekonomi dunia dan ini jelas membuktikan pentingnya usaha-usaha untuk menjulang darjat mereka dalam pembinaan kapasiti dan keusahawanan.

Pemerkasaan wanita merangkumi pelbagai aspek seperti pemerolehan pengetahuan, kesedaran, pembinaan kapasiti dan peningkatan penyertaan dalam proses membuat keputusan.

MASA menyokong kesaksamaan dan pemerkasaan jantina serta mengakui pengetahuan dan kehebatan wanita dalam membuat keputusan yang amat penting bagi kemajuan masyarakat dan negara.

Kami juga memperakui bahawa konsep pemerkasaan wanita melangkaui konsep feminisme Barat, yang dilihat mencabar dan mengubah norma, amalan dan undang-undang masyarakat yang mengekang kesejahteraan dan pilihan mereka.

Dalam kita memperingati Hari Wanita Antarabangsa 2024, MASA akan terus menjulang komitmen teguh kami dalam memperjuangkan kesaksamaan gender, memperkasakan wanita serta memupuk kemakmuran bersama untuk semua.

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found