Ekonomi dikhuatiri meruncing jika kemerosotan IHPR tidak diatasi

EKONOMI NEGARA SEMAKIN MERUNCING, KERAJAAN ACUH TAK ACUH
Saya mengikuti dengan teliti perkembangan terkini berkaitan ekonomi negara terutama yang ada hubung kait dengan kehidupan dan kos sara hidup rakyat.
Terbaharu, Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) terus merekodkan aliran negatif 1.3 peratus pada Disember 2023 berbanding negatif 1.5 peratus pada November tahun yang sama.
Walaupun ada sedikit kenaikan namun IHPR masih berada dalam lingkungan ‘wilayah negatif’. Ini bermaksud permintaan dari luar negara amat rendah di bawah paras asas. Kesannya pengilang-pengilang domestik yang terjejas terpaksa mengurangkan pengeluaran produk masing-masing.
Masalah ini ada kaitan dengan kemerosotan pendapatan eksport dan kenaikan kos import yang dipengaruhi sebahagian besar oleh ketidaktentuan pasaran luar negara.
Saya melihat situasi ini telah menjejaskan golongan pengguna dan peniaga yang pada masa ini sudah dihimpit dan dibebani dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup. Golongan peniaga pula masih belum benar-benar dapat keluar daripada fasa pemulihan perniagaan.
Sepatutnya pada fasa ini kerajaan perlu mengambil langkah segera dan tindakan luar biasa bagi menangani kemelut yang sedang dihadapi untuk memulihkan kembali perniagaan mereka.
Walau bagaimanapun ini tidak berlaku malahan lebih banyak masalah timbul ekoran kejatuhan ringgit, penurunan eksport, kenaikan harga bahan import dan kelemahan kuasa membeli pengguna domestik.
Saya ingin tegaskan aliran negatif IHPR ini juga dijangka menyebabkan pengeluar mengehadkan input pengeluaran seperti tempoh masa kerja, bahan mentah dan seluruh rantaian kilang. Selain memberi kesan kepada pengeluar, ini juga sudah tentu menambahkan beban hidup rakyat dari aspek tabungan dan pengurangan simpanan individu oleh kerana sumber pendapatannya terjejas.
Sekiranya aliran negatif IHPR berterusan disebabkan permintaan yang menurun, pengeluar mungkin mengambil tindakan mengurangkan jumlah pekerja. Ini akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara terutamanya masalah pengangguran dan kehilangan punca pendapatan individu yang akan mengusutkan lagi isu beban kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini.
Saya khuatir dalam keadaan para pengguna yang sudah pun terbeban dengan segala bentuk kenaikan harga bahan makanan dan barangan keperluan, tarif elektrik, beberapa jenis cukai perkhidmatan, tambang bas sekolah serta ubat-ubatan sejak lebih setahun lalu, realiti ini akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara.
Bagaimanapun kerajaan seperti acuh tak acuh dalam menangani apa yang sedang berlaku sekarang. Selepas lebih setahun, masalah ini terus berlaku dan berlarutan tanpa ada tindakan konkrit yang boleh meredakan keresahan rakyat.
Aliran negatif IHPR ini merupakan salah satu bukti keadaan ekonomi negara semakin meruncing dan tidak sihat. Jika kerajaan berterusan dengan cara kepimpinan dan pentadbiran ekonomi sebegini, saya khuatir Malaysia akan terjerumus dalam kancah ekonomi yang lebih buruk.
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN ialah Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found