Kenyataan Media Hari Wanita Sedunia

KENYATAAN MEDIA

SEMPENA HARI WANITA SEDUNIA

8 MAC 2022

Institut Masa Depan Malaysia (MASA) ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia 2022, dengan tema sambutan tahun ini, “Gender Equality Today for Sustainability Tomorrow”.

Pada tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) memilih tema ‘Saksama Bersama’ atau “Break the Bias” yang juga bertepatan dengan matlamat yang digariskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030) untuk meningkatkan kesedaran seluruh lapisan masyarakat tentang peri pentingnya mencapai kesaksamaan jantina di Malaysia.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang secara rasminya mengiktiraf Hari Wanita Antarabangsa pada tahun 1977, turut menerima Konvensyen Tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), iaitu satu perjanjian penting antarabangsa yang menggariskan hak-hak wanita. Malaysia turut tidak ketinggalan dalam hal ini dengan mengambil keputusan untuk menandatangani CEDAW pada tahun 1995.

PBB telah menganjurkan Persidangan Wanita Sedunia Ke-4: Tindakan untuk Kesaksamaan, Pembangunan dan Keamanan (Fourth World Conference on Women: Action for Equality, Development and Peace) dari 4 hingga 15 September 1995 di Beijing, China. Hasil persidangan ini, satu Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing 1995 telah dipersetujui untuk diterima pakai oleh semua negara anggota dan dianggap sebagai kerangka tindakan paling progresif yang pernah ada untuk memajukan hak wanita.

Selaras dengan Teras Kelima Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), untuk mencapai kesaksamaan jantina, serta memperkasa wanita dan anak-anak perempuan, Hari Wanita Sedunia merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa wanita yang sangat signifikan dalam pembangunan negara. Ia juga bertepatan dengan komitmen MASA untuk mengangkat martabat golongan wanita yang mewakili 48.62 peratus populasi Malaysia dan menjadi tulang belakang keluarga yang menjadi asas kemenjadian anak bangsa.

Berdasarkan skor Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), Malaysia berada pada kedudukan ke-74 daripada 156 negara di dunia.

Menurut laporan itu, pencapaian wanita amat membanggakan dalam sub-indeks pendidikan dengan skor 1.059 manakala sub-indeks kesihatan dan kehidupan mencatatkan skor 0.956. Bagaimanapun, bagi sub-indeks peluang dan penyertaan ekonomi, skor yang dicatatkan hanyalah 0.738 mata.

Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) yang melibatkan wanita dalam negara juga masih rendah iaitu sekitar 55.3 peratus pada 2020, berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Singapura pada 69.7 peratus dan Thailand pada 66.8 peratus.

Dalam pada itu, penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 0.100 mata yang secara jelas menunjukkan jurang pembabitan wanita dalam bidang politik yang masih besar.

Berdasarkan statistik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2020, hanya 38.2% penjawat awam wanita di peringkat pembuat keputusan melalui pengisian Gred Utama C dan ke atas. Manakala di sektor swasta pula, baru mencecah 25.8% berdasarkan keanggotaan wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah di 100 syarikat tersenarai awam.

Sehubungan itu, MASA berpendapat sudah tiba masanya fokus diberikan oleh kerajaan bersama-sama pemegang taruh lain dalam mengangkat dan mengiktiraf kedudukan serta  sumbangan wanita secara saksama, setaraf dengan potensi mereka.

Pelan Strategik KPWKM 2021-2025, yang antara fokusnya adalah melindungi hak golongan rentan termasuk wanita, boleh dijadikan pemangkin ke arah matlamat tersebut.

Menurut Tinjauan Tenaga Buruh (Labour Force Survey) 2020 yang dikeluarkan oleh DOSM, walaupun pekerja lelaki adalah lebih banyak dibuang kerja berbanding wanita (60% lelaki kepada 40% wanita) sewaktu pandemik, ini boleh menunjukkan terdapat lebih banyak pekerja lelaki berbanding wanita di dalam sektor pekerjaan.

Mengambil kira pandemik COVID-19 yang telah memberi impak besar dalam bidang ekonomi dan sosial di dalam dan luar negara, MASA berpendapat suatu pendekatan holistik dan inklusif perlu dirangka dan dilaksanakan oleh pihak Kerajaan pasca pandemik, terutamanya bagi menangani isu stereotaip gender dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan keluarga.

MASA berharap agar dasar dan strategi yang memfokuskan keterangkuman gender khususnya penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan dapat diberi keutamaan bagi mencapai kesaksamaan gender di Malaysia, sekaligus meningkatkan ketelusan dan tadbir urus yang baik untuk menjamin keharmonian negara.

AZRIL MOHD. AMIN
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
INSTITUT MASA DEPAN MALAYSIA