Hari Alam Sekitar Sedunia: Rakyat Malaysia diminta perbaharui komitmen

KUALA LUMPUR: Institut Masa Depan Malaysia (MASA) meminta rakyat Malaysia memperbaharui komitmen terhadap perlindungan dan pemulihan alam sekitar, bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin, berkata organisasi itu amat komited memperkasakan kelestarian alam sekitar selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Wawasan ini menekankan keperluan untuk pembangunan ekonomi yang seimbang dan mampan bagi memastikan kemakmuran dinikmati bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Satu daripada aspek penting wawasan ini ialah melindungi dan menguruskan sumber semula jadi dan alam sekitar secara lestari,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia bertemakan “Tanah Kita, Masa Depan Kita”.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 memfokuskan kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan perlindungan alam sekitar.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami dalam wawasan ini, kami berusaha mempromosikan dasar dan amalan pengurusan tanah secara lestari bukan sahaja untuk memelihara landskap semula jadi, tetapi juga menyokong kehidupan masyarakat setempat,” katanya.

Daripada perspektif Islam, Azril berkata, penjagaan alam sekitar adalah prinsip asas yang menekankan elemen pencegahan, pemeliharaan dan pemuliharaan.

Beliau berkata, Islam menekankan kepentingan iman, akhlak dan etika dalam interaksi manusia dengan alam sekitar.

“Al-Quran dan hadis menegaskan perlunya melindungi dan memelihara bumi sebelum terlambat serta penekanan terhadap tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

“Hari ini, kita berada di satu persimpangan amat penting. Tindakan yang kita ambil sekarang bakal menentukan keadaan alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Dengan mengamalkan amalan mampan dan inovasi, kita akan berupaya memulihkan kerosakan yang telah berlaku pada alam sekitar. Kita adalah generasi yang bertanggungjawab terhadap bumi atau disebut sebagai #GenerationRestoration,” katanya.

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found