Hak rakyat Sarawak dipertahan – PM

KUCHING: Kerajaan memastikan pembangunan mapan dan seimbang merentasi wilayah dan negeri termasuk Sarawak selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 untuk menyediakan taraf hidup wajar kepada semua rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu penting supaya segala bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasar dan tidak ada yang ketinggalan sebagaimana komitmen kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi penubuhan portfolio khusus bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan.

“Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA 63) yang ditubuhkan merupakan inisiatif kerajaan PN bagi memastikan hak-hak adil dan saksama bagi rakyat Malaysia di Sarawak dapat dipelihara dan dipertahankan sewajarnya.

“Melalui MKMA63, Kerajaan Persekutuan sedang meneliti perkara-perkara yang berkaitan dengan hak-hak Sarawak dengan beberapa kemajuan dicapai melalui peranan tiga Jawatankuasa Kerja yang mengesyorkan cadangan penyelesaian mengenai isu-isu spesifik berkaitan perundangan bagi rakan sekutu, keselamatan negeri dan sosio ekonomi.

“Ini dilakukan selaras dengan hak-hak negeri Sabah dan Sarawak dalam kerangka perundangan Negara,” katanya ketika berucap sempena sesi townhall Makmur Bersama 2030 @ Sarawak di Borneo Convention Centre, Kuching, Sarawak, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan menilai semua tuntutan secara adil dan beliau memberi jaminan bahawa hak-hak Sarawak akan terus dilindungi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

 

Muhyiddin berkata, di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2021 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), sebanyak 781 projek pembangunan diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion khususnya untuk Sarawak bagi pelaksanaan projek-projek di bawah pelbagai kementerian dan agensi.

Katanya, antara projek pembangunan utama yang sedang dilaksanakan di Sarawak seperti projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, projek menaik taraf Lapangan Terbang Mukah dan projek Pembangunan Hab Halal Tanjung Manis Fasa 1A selain projek sosial seperti Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Sarawak dan Pembinaan Hospital di Petra Jaya, Sri Aman serta Lawas .

“Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja mampu menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi tetapi juga dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat di Sarawak.

“Sebanyak RM988 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk membiayai 347 buah projek pendidikan dan latihan di Sarawak termasuklah pembinaan dan penambahbaikan sekolah-sekolah daif di negeri itu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, perancangan pembangunan di Sarawak akan terus dipantau rapi supaya lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan bagi menambah baik infrastruktur asas di kawasan luar bandar dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kata beliau, antaranya pembinaan jalan raya sepanjang 700 kilometer di bawah program Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jalan Perhubungan Desa (JPD).

Selain itu, katanya, melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), usaha membina dan membaik pulih rumah di Sarawak sedang dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM462.7 juta.

“Ini termasuklah pembinaan 800 rumah baharu yang dapat memberi manfaat kepada sekitar 4,000 isi rumah selain membaik pulih 3,540 unit rumah untuk manfaat 17,700 isi rumah. Bekalan elektrik dan air pula disediakan menerusi Program Bekalan Elektrik Luar Bandar dan Program Bekalan Air Luar Bandar.

“Selain itu, program-program yang berteraskan aktiviti ekonomi seperti Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) akan dibangunkan yang melibatkan 22 buah kampung di Sarawak.

“Manakala pelaksanaan Program Desa Lestari di 18 kampung terpilih dijangka dapat mewujudkan 900 peluang pekerjaan serta memberi manfaat kepada 18,000 penduduk di kampung-kampung tersebut,” katanya.

Muhyiddin turut memberitahu, Sarawak mempunyai potensi besar menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa apabila sehingga kini, jumlah perdagangan Sarawak di dalam dan luar negara pada tahun lalu mencecah RM85.2 bilion dan merupakan antara destinasi pelaburan utama dalam sektor pembuatan dengan jumlah nilai pelaburan berjumlah RM15.8 bilion pada tahun yang lalu.

Justeru, katanya, bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan ke Sarawak, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) untuk mewujudkan sebuah ekosistem pelaburan yang didokong oleh pembangunan industri dan pasaran eksport.

Date: 1 April 2021
Source and Image from: Utusan Malaysia – https://www.utusan.com.my/berita/2021/04/hak-rakyat-sarawak-dipertahan-pm/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=hak-rakyat-sarawak-dipertahan-pm

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found