#25 : Model Toleransi Digital Dalam Memupuk Perpaduan Masyarakat Majmuk di Malaysia

Kepelbagaian kaum dan agama yang hidup bersama merupakan identiti unik masyarakat majmuk di Malaysia. Namun begitu, usaha untuk mengekalkan keharmonian sudah pastinya berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya pada era Revolusi Industri (IR4.0), yang menyaksikan perkembangan pesat dalam platform teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kemudahan media digital yang ditawarkan teknologi kini telah disalahgunakan sebagai instrumen provokatif. Kebebasan bersuara dan berekspresi telah disalahtafsirkan, hingga mengundang penghinaan terhadap agama dan kaum, juga ujaran kebencian. Ini kerana elemen agama dan kaum merupakan komoditi yang sering dijadikan modal untuk menimbulkan rasa tidak puas hati dan konflik. Justeru, kajian ini dilaksanakan bertujuan menganalisis faktor konflik digital dan pola interaksi digital dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Seterusnya, Model Toleransi Digital dibangunkan sebagai panduan dalam memupuk perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Pendekatan kualitatif menerusi sesi Focus Group Discussion (FGD) telah dijalankan menerusi penglibatan lima panel pakar daripada pelbagai institusi. Laporan panel ini telah ditranskripkan dan seterusnya dianalisis menggunakan perisian Atlas.ti. Dapatan daripada analisis ini telah merumuskan enam faktor yang menyumbang kepada konflik digital dalam masyarakat majmuk iaitu kebebasan bersuara, literasi media, integriti diri, kebebasan bersuara, persaingan politik, kontrak sosial dan senario kosmopolitanisme. Laporan analisis turut mengesahkan keempat-empat komponen Model Toleransi Digital iaitu Komuniti, Kepatuhan, Penghormatan dan Orientasi Masa Hadapan.

Selain itu, pendekatan kuantitatif menggunakan reka bentuk tinjauan turut dilakukan, menerusi edaran soal selidik kepada responden kajian. Analisis yang telah dilakukan merekodkan bacaan Cronbach Alpha yang tinggi bagi kesemua 42 item, iaitu 0.983. Analisis ANOVA yang dilakukan telah merumuskan pengaruh yang signifikan bagi item jantina, umur, kaum, agama, kerjaya, pendidikan dan negeri terhadap nilai toleransi. Berdasarkan komponen dan nilai teras yang terdapat dalam model ini, pelaksanaannya dilihat melibatkan tiga pemegang taruh utama, iaitu Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan. Model Toleransi Digital ini turut penting dan praktikal bagi memupuk perpaduan dalam masyarakat majmuk di Malaysia, terutamanya menerusi platform digital masa kini. Inisiatif ini selain selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12, ia turut menjadi nilai tambah dalam pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara (Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030), Dasar Keselamatan Negara (Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024), Keluarga Malaysia (Keberhasilan Kebahagiaan) serta Indeks Perpaduan Nasional (IPNas). Justeru, Model Toleransi Digital yang diterjemahkan dalam bentuk ringkasan polisi ini mampu memainkan peranan dalam mewujudkan ekosistem digital yang harmoni dan selamat, sekaligus memacu Malaysia ke arah negara berprestasi tinggi.

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found