Oleh Sim Why Jean, Penganalisis Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia
SAUDARA PENGARANG,
PADA 11 Januari lalu, seorang lelaki berusia 47 tahun yang sedang ditahan dalam lokap Balai Polis Larkin, Johor Bahru dilaporkan meninggal dunia setelah sebelum itu mengadu sakit dan muntah-muntah.
Saban tahun kita sering digemparkan dengan insiden kematian dalam tahanan yang telah mengundang reaksi pelbagai pihak, bahkan mencetuskan kegusaran dalam kalangan orang ramai.
Trend meruncing ini sekali gus menuntut perhatian segera daripada pihak berkuasa untuk melindungi serta memperkukuh ruang lingkup hak asasi manusia agar kes tragik seumpamanya tidak berulang.
Semenjak 2020, sejumlah 171 kes kematian dalam tahanan direkodkan di negara ini termasuk melibatkan 33 orang tahanan di bawah seliaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam hal ini, penubuhan Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) di bawah kawal selia Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dilihat sebagai permulaan wajar untuk mencerminkan keprihatinan pihak berkuasa khususnya dalam aspek penambahbaikan jenayah dan tatatertib.
Namun, kerajaan harus mengenal pasti serta memperbaiki kelompangan dalam mekanisme sedia ada. Misalnya, memastikan wujud semak dan imbang yang efektif menerusi badan siasatan bebas untuk menjalankan fungsi siasatan melibatkan tahanan polis supaya ia benar-benar diyakini orang ramai.
Oleh itu, perlu digubal Akta Mahkamah Koroner bagi memperincikan peranan majistret atau hakim mahkamah sesyen yang bertindak selaku koroner dalam inkues bagi menyiasat kes kematian mengejut dan secara luar biasa yang puncanya disyaki ada kaitan dengan kes jenayah.
Menerusi akta baharu tersebut, peranan dan skop peguam pemerhati dalam siasatan inkues dapat diperhalusi untuk memberi representasi lebih bermakna kepada mereka yang mewakili keluarga mangsa dan pihak berkepentingan tanpa pengecualian seperti mana perbicaraan jenayah lain.
Setiap siasatan yang dijalankan secara adil tentunya dapat menonjolkan lagi elemen ketelusan sepanjang prosiding inkues dan didukung sistem pelaporan yang jelas termasuk hasil siasatan atau bedah siasat berkaitan umum.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu mentransformasi aspek pengurusan dan penjagaan kesihatan di pusat tahanan kerana menurut Laporan Hak Asasi Manusia 2021, dianggarkan sekitar 57 peratus kematian dalam tahanan berpunca daripada masalah kesihatan serta tahap pemantauan kurang memuaskan.
Peruntukan lebih besar harus disalurkan menerusi Belanjawan 2023 yang bakal dibentang kelak bagi tujuan pengurusan pusat-pusat tahanan dan sumber manusia.
Peruntukan ini bertujuan menambah baik infrastruktur dan fasiliti yang daif di penjara serta kem tahanan dan seterusnya mengatasi isu kesesakan yang sering menjadi antara cabaran utama.
Di samping memastikan pusat tahanan dilengkapi dengan kemudahan asas, budaya penyelenggaraan di dalam dan luar sel tahanan juga amat penting untuk memastikan tahap kebersihan optimum.
Penambahan tenaga kerja dari segi bilangan anggota petugas kesihatan pula dapat meningkatkan kekerapan pemantauan tahap kesihatan serta saringan kesihatan yang rapi terutama apabila berdepan individu yang menghidap penyakit kronik atau dengan rekod kesihatan kurang memuaskan.
Kesemua inisiatif ini dapat menyumbang kepada persekitaran yang kondusif bagi mengurangkan risiko kematian dalam tahanan serta memenuhi keperluan hak asasi manusia orang ditahan.
Sumber:https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/02/lokap-pastikan-siasatan-telus-adil/
Gambar:https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/f-lok.jpeg