Perkasa sistem perlindungan sosial bantu warga emas harungi usia tua

Oleh Sim Why Jean, Penganalisis Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia

Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan, Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang tahun 2030 apabila 15.3 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.

Unjuran ini dibuat berdasarkan trend penurunan bilangan kelahiran di seluruh negara. Laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 menunjukkan peratus populasi penduduk negara menjangkau umur 65 tahun terus meningkat kepada 2.2 juta bersamaan 6.8 peratus.

Sepanjang 2020, jumlah bilangan kelahiran hidup menurun kepada 470,195 kelahiran dengan kadar kelahiran kasar pada 14.4 bagi setiap 1,000 penduduk.

Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) pada 2020 adalah terendah dalam tempoh lima dekad apabila merekodkan penurunan kepada 1.7 bilangan anak berbanding paras penggantian kesuburan optimum pada 2.1. Trend penurunan kadar kesuburan ini turut dialami Australia, New Zealand dan Singapura yang dijangka memberi implikasi terhadap kadar pertumbuhan populasi serta pasaran tenaga pekerja pada masa akan datang.

Bersempena Hari Penduduk Sedunia 2022, Malaysia mencatatkan peningkatan jangka hayat kepada 75.6 tahun pada tahun lalu, jauh melepasi 63.6 tahun pada 1970.

Secara amnya, transisi peralihan ke arah negara menua harus dilihat sebagai perkembangan sihat seperti dipraktikkan di negara lain termasuk Jepun yang meraikan budaya penuaan sihat dalam kalangan masyarakatnya.

Sebagai negara terawal mencapai status negara menua di dunia, Jepun mengalami proses itu seawal 1970-an sebelum menjadi masyarakat super-aged menjelang 2007.

Pemerkasaan warga emas jadi keutamaan

Justeru, dalam mendepani cabaran penuaan penduduk yang menjadi trend demografi dunia, usaha bersama perlu digembleng dalam merangka pelan dan strategi jangka sederhana serta panjang bagi memastikan program pembangunan inklusif dan menyeluruh mengambil kira dinamik perubahan corak kehidupan.

Pemerkasaan warga emas harus menjadi keutamaan demi kelestarian masa depan. Warga emas berhak menikmati hak sama rata tanpa mengira latar belakang melalui sokongan dari segi penjagaan kesihatan, kebajikan dan sosioekonomi untuk menghadapi hari tua.

Langkah ini dapat memastikan Malaysia di landasan tepat ke arah merealisasikan agenda ketiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yakni melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat sejajar resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selaras hasrat kerajaan untuk memastikan perlindungan menyeluruh kepada golongan rentan, pendekatan holistik dan pragmatik menerusi akta khusus seperti Akta Warga Emas dan Akta Profesion Kerja Sosial mampu menjadi pemangkin untuk menjamin kelangsungan warga emas.

Pada masa sama, Pelan Tindakan Warga Emas dan fungsi Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara perlu dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan kesinambungan Dasar Warga Emas Negara (DWEN).

Menerusi kolaborasi strategik antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat, inisiatif Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dapat membantu menyelaras kegiatan harian warga emas di setiap kawasan Parlimen. Sehingga Ogos 2021, seramai 49,675 warga emas berdaftar dengan 143 PAWE di seluruh negara.

Ketika ini, data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapati 6.1 juta atau 48 peratus ahli KWSP di bawah umur 55 tahun mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun mereka.

Jumlah ini mencerminkan realiti sebenar di lapangan yang mana ramai individu tidak mempunyai simpanan persaraan melebihi paras kemiskinan. Mengambil kira impak pandemik, intervensi kerajaan mentransformasi sistem perlindungan sosial dapat mengelakkan warga emas terdedah kepada masalah kewangan.

Tindakan kerajaan mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) ketika di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat langkah wajar untuk memberi nafas baharu ke arah pemerkasaan sistem perlindungan sosial.

Melalui penambahbaikan skim bantuan sosial dan pangkalan data bersepadu, penerima bantuan dan isi rumah, kebajikan warga emas dapat diberi perhatian sewajarnya untuk mendepani situasi tidak dijangka.

Sebagai kesinambungan pembaharuan jaringan keselamatan sosial, kolaborasi merentasi agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga penting untuk meneliti keperluan memperluas liputan perlindungan sedia ada kepada pekerja sektor tidak formal dan pekerja gig.

Misalnya, skim i-Saraan KWSP membolehkan individu bekerja sendiri membuat caruman sukarela dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Pada masa sama, peranan institusi zakat dan Baitulmal harus diperkasa untuk membantu asnaf di samping meningkatkan tahap literasi kewangan masyarakat mengenai perlindungan insurans dan takaful.

Dalam pada itu, perubahan gaya hidup dan amalan pemakanan rakyat memberi kesan terhadap kesejahteraan serta pola penyakit dalam kalangan masyarakat.

Tingkat kesiapsiagaan sektor kesihatan awam

Mengambil kira permintaan perkhidmatan kesihatan kian meningkat, Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan perlu meningkatkan kesiapsiagaan dalam sektor kesihatan awam.

Antaranya bagi menangani isu kekurangan pakar perubatan keluarga di seluruh negara memandangkan nisbah ideal adalah seorang pakar bagi setiap 4,000 populasi berbanding situasi semasa, iaitu seorang pakar untuk setiap 50,000 populasi.

Dalam hal ini, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif mengurangkan prevalensi penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menyumbang hampir 71 peratus kematian pada peringkat global.

Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati sebahagian besar kematian pramatang berpunca daripada penyakit NCD seperti hipertensi, obesiti dan kardiovaskular, iaitu satu daripada lima dewasa menghidap penyakit diabetes.

Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan yang sedang dilaksanakan perlu diperluas ke kawasan pedalaman dan luar bandar bagi menyediakan saringan kesihatan percuma kepada orang ramai.

Bagi mencapai sasaran bandar bahagia dalam Indeks Kebahagiaan, kerangka pembangunan fizikal harus merangkumi infrastruktur dan prasarana penjagaan warga emas termasuk skim perumahan dan kemudahan fizikal untuk meningkatkan mobiliti sosial.

Bertepatan SDG Ke-11 ‘Bandar dan Masyarakat Mampan’, pembangunan bandar mesra usia mampu memenuhi keperluan komuniti warga emas seperti kemudahan riadah dan rekreasi bersesuaian di ruang awam. Pemerkasaan warga emas harus diangkat sebagai agenda penting negara supaya tiada golongan yang terpinggir.

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/07/978733/perkasa-sistem-perlindungan-sosial-bantu-warga-emas-harungi-usia