KENYATAAN MEDIA
KAJI SELIDIK TINJAUAN PENDAPAT UMUM MENGENAI ISU-ISU SEMASA EKONOMI,
SOSIAL DAN POLITIK
29 JUN 2024
Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) telah menjalankan satu kaji selidik tinjauan pendapat umum pada 30 April hingga 26 Mei 2024 untuk mengetahui sentimen rakyat mengenai isu-isu semasa ekonomi, sosial dan politik di Malaysia. Kajian ini melibatkan seramai 1,920 responden berumur 18 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia yang ditemu bual menerusi telefon. Kaedah persampelan rawak berstrata telah digunakan untuk memilih responden berdasarkan kriteria etnik, jantina, umur dan jumlah penduduk.
Kaji selidik ini mendapati 50% responden bersetuju Malaysia berada pada landasan pembangunan negara yang betul manakala 35% peratus menyatakan sebaliknya. 15% menjawab tidak pasti atau tidak menjawab soalan.
Dari perspektif kaum, hanya 48% responden Melayu menyatakan Malaysia berada pada landasan yang betul berbanding 62% responden Cina dan 56% responden India.
Kajian ini mendapati kebimbangan utama rakyat adalah berkisar tentang isu-isu berkaitan ekonomi seperti peningkatan kos sara hidup dan inflasi (44%) dan pembangunan ekonomi (13%). Isu-isu lain yang turut menjadi kebimbangan mereka ialah ketidakstabilan politik (10%), rasuah (6%), kebajikan rakyat (4%), hak kaum (4%) serta masalah jenayah dan sosial (4%).
Lebih separuh (58%) menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu yang menjadi kebimbangan mereka. Yang paling rendah tahap kepuasan hati terhadap prestasi kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu ini ialah kaum Melayu (27%), diikuti kaum India (38%) dan kaum Cina (48%).
Berkaitan dengan hal ini, 52% responden merasakan ekonomi negara menjadi semakin meruncing manakala hanya 45% menyatakan sebaliknya. Yang paling tinggi menyatakan keadaan ekonomi negara semakin meruncing ialah responden Melayu (56%) diikuti Cina (49%) dan India (47%).
Pada masa yang sama, hanya 39% responden Melayu menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri berbanding 74% responden Cina dan 60% responden India. Secara keseluruhan, 53% berpuas hati dengan prestasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Sebagai perbandingan, 63% responden Melayu menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-8 berbanding 39% responden Cina dan 50% responden India. Secara keseluruhan, 55% responden berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-8.
Kajian ini juga mendapati masyarakat Melayu terus bersikap konservatif dalam menanggapi isu-isu berkaitan kedudukan Islam. Misalnya, dalam kalangan responden Melayu, 82% bersetuju kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam, 81% bersetuju undang-undang syariah dilaksanakan untuk orang Islam dan 92% bersetuju produk syarikat yang menyokong keganasan rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin diboikot.
Dapatan kaji selidik ini menunjukkan bahawa sentimen pengundi terhadap kepimpinan Kerajaan Madani masih dipengaruhi oleh faktor kaum. Secara umumnya, Kerajaan Madani dilihat masih gagal membentuk persepsi positif majoriti pengundi Melayu terhadap kepimpinannya berbanding pengundi bukan Melayu.
Dengan sebahagian besar pengundi Melayu bersikap konservatif dalam hal-hal yang menyentuh kedudukan Islam, dasar Kerajaan Madani tentang kedudukan Islam di Malaysia akan menentukan tahap kepercayaan dan kepuasan hati pengundi Melayu terhadap kerajaan.
Kajian ini walau bagaimanapun tidak mencerminkan sentimen rakyat berhubung penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan selepas tempoh kajian berakhir.
INSTITUT MASA DEPAN MALAYSIA
29 JUN 2024