Desak campur tangan tentera PBB hentikan kerakusan Israel di Gaza

By Azril Mohd Amin

Pada 19 Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan Pendapat Nasihat (AO) mengenai status pendudukan dan rampasan wilayah Palestin oleh Israel. AO ini menandakan detik penting dalam undang-undang antarabangsa dan advokasi hak asasi manusia.

ICJ dengan jelas menyatakan tindakan Israel tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa dan dasar dilaksanakannya bersamaan dengan pengasingan kaum dan aparteid.

Walaupun pendapat ini bersifat nasihat dan tidak mengikat, ia membawa kesan moral dan undang-undang besar serta menawarkan peluang kepada masyarakat antarabangsa untuk menangani isu keadilan dan akauntabiliti yang sudah lama tertangguh.

Dalam hal ini, ICJ merujuk kepada beberapa peruntukan penting dalam undang-undang antarabangsa, antaranya larangan pengambilan wilayah secara paksa, seperti dinyatakan dalam Perkara 2(4) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

ICJ menegaskan pengilhakan atau memasukkan wilayah Palestin dijajah ke dalam bidang kuasa Israel, termasuk Baitulmaqdis Timur bertentangan dengan prinsip asas ini.

Selain itu, ICJ menekankan kewajipan Israel di bawah Konvensyen Geneva Keempat, melarang pemindahan penduduk awam penjajah ke wilayah diduduki serta pemindahan atau pengusiran paksa penduduk diduduki.

ICJ juga merujuk kepada Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), yang melarang diskriminasi kaum dan aparteid.

ICJ mengesahkan undang-undang dan dasar Israel terhadap rakyat Palestin adalah aparteid berdasarkan Perkara 3 ICERD serta Perkara 7 Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), mengklasifikasikan aparteid jenayah kemanusiaan.

Walaupun pendapat ICJ tidak mengikat, ia tetap berwibawa dan mencerminkan kesedaran undang-undang masyarakat antarabangsa. Pertimbangan mahkamah adalah berdasarkan prinsip undang-undang ditetapkan, kes duluan dan perjanjian antarabangsa berkaitan.

Sebagai contoh, AO ICJ mengenai tembok pada 2004 adalah duluan relevan dalam konteks ini. Dalam kes itu, ICJ memutuskan pembinaan tembok pemisah di Wilayah Palestin Diduduki (OPT) Israel bertentangan undang-undang antarabangsa.

Mahkamah mendapati jajaran tembok itu menghalang hak rakyat Palestin menentukan nasib sendiri dan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Kes lain relevan ialah Namibia pada 1971, apabila ICJ memutuskan kehadiran berterusan Afrika Selatan di Namibia selepas penamatan mandatnya oleh PBB adalah tidak sah. ICJ mengisytiharkan negara berkewajipan untuk tidak mengiktiraf pentadbiran wilayah Afrika Selatan.

Ramai pakar undang-undang menyokong AO ICJ, menekankan kepentingan dan implikasinya. Bekas Pelapor Khas PBB mengenai Hak Asasi Manusia di OPT, Prof John Dugard menyatakan AO itu menegaskan semula prinsip asas undang-undang antarabangsa mengenai ketidaksahan pengambilan wilayah secara paksa.

Dasar dan amalan Israel di OPT jelas melanggar prinsip ini dan pendapat mahkamah menekankan keperluan untuk akauntabiliti. Pengiktirafan dasar aparteid menyediakan asas undang-undang penting untuk tindakan antarabangsa selanjutnya.

Seru tindakan segera masyarakat antarabangsa

Sementara itu, bekas Pelapor Khas PBB mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Wilayah Palestin, Prof Richard Falk, menyatakan kesimpulan ICJ adalah keputusan bersejarah dalam perjuangan untuk keadilan rakyat Palestin.

Pengiktirafan tindakan Israel sebagai aparteid bukan sahaja selaras dengan definisi undang-undang, tetapi juga menyeru tindakan segera masyarakat antarabangsa.

Walaupun AO ICJ disokong daripada pelbagai aspek, jalan ke arah pematuhan masih dipenuhi dengan cabaran. Persoalannya, adakah masih ada harapan dan jalan ke hadapan untuk undang-undang antarabangsa.

Antara isu paling ketara ialah ketiadaan mekanisme penguatkuasaan. Tidak seperti keputusan mengikat dalam kes dipertikaikan antara negara, AO ICJ tidak memaksa mana-mana negara untuk bertindak.

Tindak balas Israel terhadap keputusan ICJ menunjukkan cabaran lebih luas dalam menguatkuasakan undang-undang antarabangsa terhadap negara besar, degil atau mereka mempunyai sokongan geopolitik ketara.

Tindak balas masyarakat antarabangsa juga berbeza-beza. Walaupun beberapa negara mungkin berusaha melaksanakan dapatan AO melalui tekanan diplomatik, sekatan atau cara lain, negara lain mungkin enggan kerana terikat pakatan politik, kepentingan strategik atau pertimbangan ekonomi.

Sifat hubungan antarabangsa yang berpolar, terutama di Asia Barat merumitkan lagi usaha untuk mencapai tindak balas bersepadu.

Selain itu, terdapat cabaran praktikal dalam menangani situasi di lapangan. Pendapat ICJ menyeru pengakhiran pendudukan dan dasar diskriminasi Israel, namun mekanisme untuk mencapai matlamat ini sama ada melalui rundingan, campur tangan antarabangsa, penggunaan ketenteraan atau cara lain masih tidak jelas dan menimbulkan kontroversi.

Realiti politik situasi Israel-Palestin, termasuk isu kedaulatan, keselamatan dan pengiktirafan bersama menimbulkan halangan besar untuk merealisasikan cadangan ICJ.

Dalam isu ini, AO ICJ seharusnya mengukuh usaha antarabangsa diperbaharui dalam menangani situasi Israel-Palestin serta menegakkan undang-undang antarabangsa.

Negara dan organisasi antarabangsa mesti menegaskan semula komitmen mereka terhadap prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk larangan pengambilan wilayah secara paksa, hak untuk menentukan nasib sendiri dan larangan aparteid serta diskriminasi kaum. Ini memerlukan reformasi  menyeluruh institusi antarabangsa.

Selain itu, masyarakat antarabangsa juga perlu mempertimbangkan langkah praktikal untuk menyokong dapatan ICJ termasuk menyokong pengiktirafan negara Palestin, meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan menyokong inisiatif mempromosikan  dialog serta penyelesaian secara tuntas.

Institusi antarabangsa, termasuk PBB dan ICC, harus diberi kuasa menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa mana-mana negara.

Mungkin juga sudah tiba masanya untuk Resolusi 377 PBB dioptimumkan penggunaannya bagi mendesak campur tangan ketenteraan negara anggota PBB dalam menghentikan kekejaman rejim Israel.

Resolusi 377 yang juga dikenali sebagai Bersatu untuk Keamanan, memberi kuasa kepada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bertindak apabila Majlis Keselamatan PBB (UNSC) gagal mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa akibat ketiadaan sokongan sebulat suara dalam kalangan lima anggota tetapnya China, Perancis, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Russia dalam menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

Source: Page 10, Berita Harian, August 12, 2024.