KENYATAAN MEDIA
HARI BUMI ANTARABANGSA 2023
19 APRIL 2023
Perubahan iklim semasa bumi yang melampau menuntut penekanan terhadap perlindungan alam sekitar. Meskipun Malaysia berusaha untuk melindungi alam semula jadi dan alam sekitar pada hari ini dan pada masa lepas, pelbagai bentuk pencemaran dan bencana buatan manusia seperti pemburuan haram dan penebangan hutan, kekal sebagai cabaran besar kepada negara.
Kesan buruk ini dapat dilihat dengan kepupusan haiwan dan kemerosotan alam sekitar. Pada 2019, Malaysia kehilangan badak sumbu Sumatera yang terakhir manakala Harimau Malaya dan pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan lain diletakkan di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) di bawah kategori terancam. Keadaan ini amat membimbangkan kerana hidupan liar memainkan peranan penting dalam mengekalkan ekosistem yang sihat, pada masa yang sama memastikan bumi kita kekal dilindungi dan terpelihara.
Kemerosotan kesihatan bumi bukan sahaja memberi kesan negatif kepada flora dan fauna malahan kepada manusia sejagat. Perubahan iklim memberi kesan buruk kepada kawasan pantai dan bandar seperti peningkatan paras air laut dan suhu yang secara langsung atau tidak menjejaskan sektor pertanian dan bekalan makanan negara, perumahan, keselamatan dan kebajikan rakyat.
Sehubungan itu, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mempromosi dan mengamalkan kelestarian dalam kalangan rakyat, di samping langkah-langkah sedia ada dalam memelihara hidupan liar dan hutan Malaysia, seperti pelaburan dalam teknologi hijau dan penggunaan ekonomi kitaran. Pendekatan seluruh negara amat mustahak dalam usaha berterusan untuk melindungi alam sekitar.
Sempena Hari Bumi Antarabangsa yang disambut pada 22 April, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menyeru kerajaan supaya mengotakan janji untuk mengekalkan 50 peratus kawasan tanah sebagai hutan simpan seperti yang termaktub dalam Deklarasi Rio mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan (Rio+20). Kerajaan juga perlu memastikan semua taman negara yang diwartakan dipelihara dan dilindungi agar tidak terdedah kepada risiko bencana alam semula jadi dan iklim.
Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2022, Malaysia dijangka akan kehilangan 6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 kesan daripada kerosakan ekosistem perhutanan dan perikanan negara.
Seruan MASA ini adalah selaras dengan salah satu objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk mengukuhkan tadbir urus alam sekitar dengan menambah baik dasar dan perundangan, memperkasa fungsi pihak berkuasa tempatan di samping memperkenalkan ekonomi kitaran ke arah mencapai daya tahan yang sistematik untuk jangka masa panjang. Ini bertujuan menghapuskan penggunaan tidak lestari serta amalan pengeluaran yang boleh membawa kepada kemerosotan alam sekitar dan kehilangan biodiversiti. Ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 17 (SDG 17) yang menyeru untuk memperkukuh pelaksanaan dan mempergiatkan semula Perkongsian Global untuk Pembangunan Mampan.
Kita perlulah sentiasa menjunjung keseimbangan alam dan menjalankan tanggungjawab moral dalam memelihara bumi untuk generasi akan datang.
Selamat Hari Bumi Antarabangsa 2023.
AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia