PADA Julai tahun ini, 132 negara menandatangani satu perjanjian untuk menetapkan cukai minimum global sebanyak 15 peratus kepada syarikat multinasional.
Perjanjian itu bertujuan mengurangkan kebocoran cukai serta pengalihan keuntungan ke negara yang meletakkan kadar cukai yang rendah secara sengaja.
Dengan pendigitalisasian serta penglobalisasian ekonomi, semakin banyak perniagaan dapat membekalkan barang dan perkhidmatan dari segenap ceruk dunia.
Syarikat yang mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit ini mencari cara mengurangkan beban cukai dengan meletakkan aktiviti bernilai tinggi dalam rantaian bekalan mereka di negara yang menetapkan kadar cukai korporat asas yang rendah, atau memberikan insentif cukai – oleh kerana cukai korporat secara amnya dikenakan di lokasi di mana pembekal berada. Ini sekali gus mengakibatkan kadar cukai efektif yang rendah dikenakan di seluruh rantaian penawaran.
Dengan situasi kewangan yang sukar lantaran perbelanjaan stimulus luar biasa yang diperkenalkan ketika krisis COVID-19, kebanyakan negara berminat untuk mengurangkan pengaliran keluar cukai dan pendapatan kerajaan daripada syarikat multinasional tanpa mengira di mana aktiviti penjualan dan/atau perolehan dilakukan.
Penetapan cukai minimum bertujuan mengakhiri persaingan cukai selama beberapa dekad antara kerajaan bagi menarik pelaburan asing.
Negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang memulakan perjanjian cukai ini, menganggarkan bahawa cukai minimum akan menghasilkan sebanyak AS$150 bilion pendapatan cukai tambahan setiap tahun.
Pakar ekonomi menjangkakan bahawa perjanjian ini akan mendorong syarikat multinasional untuk mengembalikan modal ke ibu kota negara mereka, seterusnya memberikan dorongan kepada aktiviti ekonomi.
Malaysia, yang juga menandatangani perjanjian ini pada bulan sama, akan turut mendapat manfaat daripada sistem percukaian yang lebih adil dan saksama ini. Perkongsian keuntungan yang lebih saksama antara syarikat antarabangsa dan warganegara adalah selari dengan konsep Kemakmuran Bersama yang menjadi aspirasi negara.
Selain itu, rombakan sistem cukai ini juga dapat meningkatkan lagi pendapatan negara, terutama dalam persekitaran ekonomi digital yang sentiasa berubah. Penyaluran tambahan cukai kepada sektor ekonomi yang mendatang akan dapat memastikan bahawa sektor ekonomi tempatan dapat bersaing pada pentas antarabangsa.
Satu usaha sama yang proaktif serta ke hadapan diperlukan bagi memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja menjadi negara pengguna, tetapi juga negara yang menyediakan produk serta keperluan ekonomi masa hadapan.
Justeru, perjanjian ini juga boleh menjadi inspirasi buat kerajaan untuk memperkukuhkan lagi kewangan negara serta mencari cara yang lebih baik bagi menarik pelaburan yang sedia terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.
Sebagai contoh, sumber cukai alternatif dapat diraih menerusi pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal Sebenar (RCGT) serta Cukai Karbon, manakala usaha menarik pelabur asing dapat dipergiatkan menerusi pemberian pelbagai insentif yang menarik kepada pelabur kecil dalam negara menerusi konsep pendanaan awam ekuiti.
Date: 23 October 2021
Source: Berita Harian – https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/10/879089/
Image from: https://assets.bharian.com.my/images/articles/kmntr2310_1634958016.jpg