Sabah miliki potensi pembangunan industri aeroangkasa

KOTA KINABALU – Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Sabah miliki potensi dalam pembangunan industri aeroangkasa.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan cadangan menjadikan Kota Kinabalu sebagai kluster aeroangkasa dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) selain seiring dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

“Pelaburan dalam industri berkenaan mampu turut dilihat mampu mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

“Selain itu, ia turut dilihat boleh memberi impak positif ke atas pelbagai sektor lain di negeri ini ekoran peningkatan rantaian pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sesi Balai Rakyat, Makmur Bersama@Sabah anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama kerajaan negeri sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Alidan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusop.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyatakan keyakinan ke atas Sabah memiliki potensi besar untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara berikutan kedudukan negeri terbabit yang strategik di rantau ini selain mempunyai banyak sumber asli.

“Antaranya pengembangan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) yang berpotensi menarik pelaburan asing untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan taraf sosio-ekonomi Sabah.

“Saya juga difahamkan jumlah perdagangan di negeri Sabah dalam dan luar negara pada 2020 mencecah sebanyak RM79.5 bilion iaitu nilai eksport sebanyak RM41.4 bilion dan import sebanyak RM38.1 bilion,” katanya.

Date: 22 Mac 2021
Source and Image from: Kosmo – https://www.kosmo.com.my/2021/03/22/sabah-miliki-potensi-pembangunan-industri-aeroangkasa/

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found