Bersama lindungi institusi diraja mendepani cabaran era digital

Oleh Mohamed Azmi Mohd Rasheed Khan

Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 semalam melakar satu lagi peristiwa penting dalam sejarah negara. Pertabalan Yang di-Pertuan Agong baharu mengikut hierarki kekananan seorang Raja dan sistem giliran adalah sebahagian daripada keunikan pemerintahan beraja di Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugasnya berdasarkan nasihat Perdana Menteri dan Kabinet, menekankan sistem Raja Berperlembagaan bagi mewujudkan keseimbangan walaupun baginda memegang kedudukan tertinggi negara, proses demokrasi tetap menjadi pemacu utama pemerintahan.

Walaupun peranan Yang di-Pertuan Agong dikatakan bersifat istiadat, institusi diraja di Malaysia semakin menunjukkan pengaruhnya, terutama dalam landskap politik. Institusi ini memenuhi tugasnya berpandukan Perlembagaan apabila berlaku krisis politik seperti pernah berlaku sebelum ini demi mewujudkan kestabilan.

Dalam konteks sosiopolitik Malaysia yang kompleks dan dinamik, konsep 3R (kaum, agama, dan Raja) sangat berkait rapat. Institusi diraja berdiri sebagai penjaga elemen ini, memastikan mereka menyumbang kepada kestabilan negara dan menghalang perpecahan. Rakyat Malaysia mesti mempunyai tanggungjawab menghormati dan memelihara tonggak ini.

Pada zaman digital dan perkembangan media sosial berleluasa hari ini, terdapat cabaran baharu perlu didepani dalam memastikan hal ini diurus dengan berhemah.

Penyebaran maklumat salah dan kandungan provokatif boleh mengancam keharmonian nasional. Rakyat mempunyai tanggungjawab dalam interaksi mereka, memahami kesan kata-kata dan tindakan mereka terhadap keseimbangan kaum, agama dan Raja.

Pada era digital, penghormatan dan penjagaan institusi diraja turut menghadapi cabaran baharu. Platform media sosial menyediakan ruang kebebasan bersuara, tetapi mesti dipraktikkan dengan berhati-hati dan mengelak daripada menghina institusi raja terutama Yang di-Pertuan Agong.

Rakyat perlu menelusuri keseimbangan antara kemodenan dan tradisi, memastikan penghormatan kepada institusi raja sentiasa terpelihara dalam dunia digital. Masyarakat harus memulangkan hak penghakiman mengenai isu berkaitan 3R kepada penguat kuasa undang-udang dalam menjaga negara melalui Perlembagaan.

Nikmat perpaduan dan keamanan terbina selama ini tidak berbaloi untuk diruntuhkan hanya disebabkan tindakan tidak bermoral segelintir rakyat konon atas nama kebebasan bersuara dan berpersatuan.

Fahami Rukun Negara

Perpaduan dan kesatuan rakyat bersama institusi diraja amat penting dalam memelihara keamanan dan kestabilan negara serta keharmonian masa kini. Rukun Negara perlu difahami bagi mencapai perpaduan lebih erat dan memelihara keamanan dalam penghidupan demokratik ini.

Masyarakat berkewajipan menjunjung institusi diraja menerusi rukun ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ demi kemaslahatan lebih besar, perpaduan dan keharmonian bersama.

Isu 3R, terutama membabitkan institusi diraja mesti ditangani dengan lebih berhemah dan bertanggungjawab oleh pihak berkuasa. Pihak polis sebagai contoh, tidak perlu berkompromi atau memberi peluang kepada mana-mana pihak cuba memainkan isu 3R kerana boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Tahap pemahaman berkenaan isu 3R perlu dipertingkat melalui saluran betul terutama dalam media sosial. Jika semua pihak berperanan menjalankan tanggungjawab masing-masing berpandukan undang-undang sedia ada, isu 3R dapat dikawal dengan lebih efektif.

Raja dan rakyat berpisah tiada. Kesejahteraan masyarakat berbilang bangsa serta menganuti pelbagai agama di negara ini amat bergantung kepada keselamatan, kemakmuran dan keharmonian rakyat.

Instrumen semak dan imbang terakhir

Dalam hal ini institusi diraja mempunyai roh dan semangat ulung sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara berupaya menggunakan budi bicara dan memberi kata putus dalam negara menghadapi pelbagai cabaran dan jalan buntu.

Selain memenuhi tugas politik dan istiadat, Yang di-Pertuan Agong turut mempengaruhi pembangunan ekonomi dan sosial. Berbekalkan sumber dan pengaruh mereka, institusi diraja sudah pasti boleh menyokong inisiatif mendorong pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Ketika suasana sosiopolitik Malaysia berkembang pantas, peranan institusi diraja juga semakin penting. Memelihara prinsip Raja Berperlembagaan sambil menyesuaikan diri dengan keadaan dunia semakin berubah adalah cabaran memerlukan kebijaksanaan dan pandangan jauh daripada Seri Paduka.

Tanggungjawab institusi diraja kini berkembang termasuk bagi menangani isu moden seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi dan keadilan sosial. Dengan membabitkan diri dengan isu penting ini, Yang di-Pertuan Agong boleh menunjukkan kepentingan dan relevan institusi diraja.

Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong hadir bersamanya dengan penuh harapan seluruh rakyat semoga akan memimpin dengan kebijaksanaan dan adil, mengekalkan kestabilan politik serta memupuk perpaduan nasional.

Rakyat turut berharap baginda terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan ekonomi, sambil memastikan keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar terpelihara.

Harapan rakyat juga jelas ingin melihat baginda kekal pelindung tradisi budaya dan nilai murni, sambil menyokong kemajuan dan inovasi. Dengan pengaruh dan kepemimpinan baginda, rakyat berharap Malaysia terus berkembang sebagai negara aman, makmur, dan bersatu padu.

Daulat Tuanku.

Sumber: Berita Harian, 21 Julai 2024, Muka Sepuluh.

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found