Risiko besar jika eksport negara terus menurun

Oleh Dr. Khalid Abdul Hamid

 

KEBIASAANNYA, ramai menyangka keadaan eksport  turun atau naik merupakan berita biasa-biasa sahaja.  Namun, perlu ada sedikit  kebimbangan dalam diri kita  kerana fenomena penurunan  eksport sebenarnya memberi  kesan yang boleh menjejaskan  kehidupan rakyat. 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),  jumlah dagangan Malaysia  pada Disember 2023 menurun  4.3 peratus kepada RM225.1  bilion. Ini bermaksud jumlah  dagangan Malaysia terus  mengalami penurunan pada Disember 2023 dan  merekodkan kemerosotan  untuk bulan ke-10 berturut-turut sejak Mac tahun lepas. 

Situasi ini didorong oleh permintaan global yang lemah  dan harga komoditi yang rendah. Jelas sekali, keadaan  ini cukup menggelisahkan  kerana trend penurunan  ini, jika tidak dibendung  dan terus mengundur akan  membuatkan rakyat semakin  resah dan Malaysia semakin  terkebelakang. 

Kenyataan DOSM ini jelas menunjukkan semakin kurang negara menjual barangan dan perkhidmatannya ke pasaran  asing. Dalam kebergantungan  negara kepada perdagangan antarabangsa, trend ini boleh  memberi beberapa kesan  besar kepada pengguna dan  industri negara. 

Penurunan eksport ini bermakna tahap pendapatan  dan output yang lebih rendah,  seterusnya keuntungan  yang lebih rendah untuk  peniaga dan upah yang  lebih rendah untuk pekerja.  Keadaan ini seterusnya akan  mengurangkan penggunaan  dan simpanan mereka. 

Eksport juga merupakan  antara sumber aliran masuk  mata wang asing yang dapat  meningkatkan permintaan  dan nilai mata wang negara.  Kejatuhan dalam eksport  secara langsung akan mengurangkan permintaan  dan nilai mata wang ringgit,  menjadikannya lebih lemah  berbanding mata wang lain. 

Kadar inflasi yang lebih  tinggi dijangka terus berlaku  jika eksport terus menurun  dan import semakin menaik.  Mata wang domestik yang  lemah menjadikan barangan  dan perkhidmatan yang  diimport lebih mahal dan ini  menyebabkan peningkatan  dalam kos pengeluaran dan  penggunaan dalam ekonomi.  Inflasi yang lebih tinggi  akan menghakis kuasa beli  pengguna dan perniagaan. Penurunan eksport juga boleh menyebabkan  kehilangan daya saing di  pasaran global, pengurangan  pasaran dan keuntungan  perniagaan domestik dan  menjadikan mereka lebih  terdedah kepada persaingan asing yang hangat. 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr.  Mohd Uzir Mahidin sebelum  ini berkata prestasi eksport  Malaysia mencatatkan penguncupan pada Disember  2023 selaras dengan penurunan yang ditunjukkan  oleh kedua-dua eksport  semula dan eksport domestik.  

Menurut beliau, eksport  semula berjumlah RM21.2  bilion, menyusut 20.3 peratus  berbanding Disember 2022  manakala eksport domestik  bernilai RM97.3 bilion, menyumbang 82.1 peratus  kepada jumlah eksport,  berkurang 7.4 peratus.  

Import pada Disember 2023  pula bernilai RM106.7 bilion,  naik 2.9 peratus berbanding  bulan yang sama tahun  lepas. Sementara itu, lebihan  dagangan menguncup 57.8  peratus kepada RM11.8 bilion,  lebihan dagangan ke-44 bulan  berturut-turut sejak Mei 2020.  

Justeru, kerajaan perlu  melaksanakan seberapa  segera langkah mitigasi,  penting bagi mengelakkan  eksport negara dari terus  merudum kepada ‘point of no  return’. 

PULIH 

Untuk memulihkan penurunan eksport, langkah-langkah seperti berikut perlu  dilaksanakan: 

 Meningkatkan kualiti  dan nilai tambah serta kompleksiti produk eksport,  terutamanya barangan  dalam sektor perkilangan, elektrik dan elektronik serta  petroleum yang merupakan  penyumbang utama kepada  eksport negara. 

 Mencari pasaran dan peluang perdagangan  baharu, terutamanya dengan  negara-negara rantau ASEAN,  Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan  Jepun yang merupakan rakan  dagang utama Malaysia.  Selain itu, hubungan perdagangan dengan negara negara yang mempunyai  potensi pertumbuhan ekonomi tinggi seperti China,  India dan Asia Barat, perlu  dijalin. 

 Menurunkan kos pengeluaran dan meningkatkan daya saing  dengan menggalakkan inovasi, peningkatan produktiviti dan penggunaan  teknologi moden dalam sektor  eksport. 

 Pelan Tindakan Strategi  Eksport perlu dikaji semula  dengan menilai sama ada  boleh diberikan insentif dan  kemudahan khas kepada  pengeluar dan pengeksport,  seperti pembiayaan, kemudahan fasilitasi dan  kemudahan cukai. 

 Menjaga kestabilan politik dan ekonomi, dengan mengelakkan konflik, ketegangan dan ketidakpastian yang boleh  menjejaskan keyakinan  pelabur dan pengimport.

 Reka bentuk dan kerangka psikometrik yang  jelas perlu dilaksanakan  dan negara juga perlu mematuhi peraturan dan  piawaian antarabangsa  dalam perdagangan agar  sebarang isu atau pertikaian  dengan rakan dagang dapat  diselesaikan secara aman  serta adil. 

 Kerajaan perlu terus memacu usaha-usaha bagi  meningkatkan daya saing  negara dengan menyediakan  persekitaran yang kondusif  serta infrastruktur lengkap  bagi melonjakkan aktiviti  pelaburan tempatan dan  swasta. Pelaburan domestik  yang berdaya tahan dapat  membantu pertumbuhan  ekonomi negara yang kelihatan  semakin lemah masa kini. 

 Memastikan  pertumbuhan wilayah yang seimbang dan inklusif  dengan galakan pelaburan  di kawasan yang kurang  membangun. Menggalakkan  pelaburan berkualiti tinggi  dengan tumpuan kepada  projek pelaburan berasaskan  teknologi, inovasi dan pengetahuan.  

Langkah drastik dan proaktif bagi mitigasi penurunan eksport negara  perlu dilaksanakan seberapa  segera. Hanya melalui langkah-langkah mitigasi ini,  peralihan ekonomi negara  dapat dicapai serta taraf  hidup dan kesejahteraan  sosial masyarakat dapat  dipertahankan.

Penulis ialah Ketua  Bahagian Dasar dan Penyelidikan,  Institut Masa Depan Malaysia  (MASA).

Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/2024/02/risiko-besar-jika-eksport-negara-terus-menurun/