Oleh Solahuddiin Ismail Mina
Kemiskinan kanak-kanak dapat ditakrifkan sebagai mereka yang berada dalam keadaan kekurangan sumber asas seperti makanan, air bersih, tempat tinggal selesa, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan. Jika diteliti lebih mendalam, isu kesihatan khususnya malnutrisi membabitkan kanak-kanak amat membimbangkan.
Laporan terbaharu Mesyuarat Majlis Sosial Negara menunjukkan kira-kira 5.6 juta kanak-kanak di Malaysia mengalami kekurangan nutrisi, satu faktor berisiko mempengaruhi pertumbuhan mereka.
Laporan Kementerian Kesihatan (KKM) pula mendapati, kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.2 peratus pada 2022. Ini menunjukkan trend peningkatan membimbangkan dalam masalah kemiskinan kanak-kanak dan malnutrisi di negara ini.
Malnutrisi mempunyai beberapa bentuk seperti kekurangan nutrisi (undernutrition), nutrisi berlebihan (overnutrition) dan ketidakseimbangan nutrisi. Kekurangan nutrisi boleh dikategorikan mengikut kelompok seperti terbantut (stunting), susut (wasting) dan kurang berat badan (underweight).
Bantut merujuk kepada keadaan yang mana ketinggian seorang kanak-kanak tidak mencapai ukuran sepatutnya berdasarkan umur mereka mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dapatan daripada Laporan Sosioekonomi Bumiputera: Analisis Semasa 2025 menunjukkan realiti kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak iaitu pada 2022, sebanyak 21.8 peratus adalah kanak-kanak Melayu dan 23.9 peratus kanak-kanak Bumiputera lain.
Kadar bantut ini lebih tinggi berbanding kaum Cina (18.7 peratus) dan India (14.4 peratus). Selain itu, insiden bantut ini juga lebih tinggi daripada sasaran kerajaan menerusi Pelan Kebangsaan Bertindak untuk Nutrisi Malaysia III (NPANM III 2016-2025) bagi mengurangkan bantut kepada 11 peratus pada 2025.
Perbezaan kadar bantut antara kumpulan etnik ini adalah cerminan ketidaksamaan dalam akses pemakanan, perkhidmatan kesihatan dan infrastruktur asas. Bumiputera, terutama di kawasan luar bandar atau negeri kurang maju, mungkin lebih terjejas serta terdedah kepada cabaran sosioekonomi yang menyumbang kepada statistik ini.
Sementara itu, sasaran NPANM III yang kelihatan bercita-cita tinggi, tetapi tidak realistik dalam konteks pelaksanaan menunjukkan strategi sedia ada mungkin kurang berkesan atau tidak cukup menyeluruh.
Kebiasaannya, masalah ini berlaku hasil daripada pemakanan tidak mencukupi dan berkualiti. Kekurangan zat makanan penting seperti protein, vitamin seperti vitamin A dan D, termasuk mineral seperti zink dan zat besi ketika kehamilan ibu dan detik awal kehidupan kanak-kanak boleh menghalang pertumbuhan fizikal serta perkembangan otak, terutama dalam 1,000 hari pertama kehidupan kanak-kanak (dari kehamilan hingga usia dua tahun), menurut WHO.
Persekitaran yang tidak bersih juga menjadi salah satu faktor menyumbang kepada isu ini. Akses terhad kepada air bersih dan sanitasi buruk meningkatkan risiko jangkitan seperti cirit-birit dan parasit usus.
Penyakit atau jangkitan berulang seperti malaria, cirit-birit atau persekitaran kurang bersih bukan sahaja mengganggu penyerapan nutrien dalam badan, malah berkemungkinan boleh menyebabkan tubuh kanak-kanak kehilangan nutrien atau tidak dapat menggunakannya dengan berkesan bagi tumbesaran, walaupun mereka mendapat cukup makanan.
Terperangkap lingkaran kewangan rapuh
Ringkasnya, taraf sosioekonomi rendah atau kemiskinan menjadi punca utama kerana ia mengehadkan akses kepada makan berkhasiat, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
Keluarga berpendapatan rendah selalunya terpaksa bergantung kepada makanan murah dan nilai pemakanan rendah atau tidak berkualiti seperti tinggi karbohidrat, tetapi kekurangan protein dan mikronutrien.
Data prevalen bantut kanak-kanak yang tinggi memberi natijah buruk meliputi dimensi ekonomi dan sosial. Keluarga dengan kanak-kanak bantut sering menghadapi dan terperangkap dalam lingkaran kewangan rapuh.
Kos perubatan lebih tinggi akibat kemungkinan jangkitan berulang seperti demam dan cirit-birit atau penyakit kronik seperti diabetes dan jantung pada masa depan akan menjadi beban berterusan.
Bukan itu sahaja, ibu bapa mungkin terpaksa berkorban dengan mengurangkan masa bekerja bagi menjaga anak kerap sakit atau memerlukan perhatian khas. Keadaan ini boleh memberi kesan kepada produktiviti dan pendapatan keluarga.
Kanak-kanak bantut yang membesar dalam keadaan ini pula cenderung menjadi orang dewasa yang kurang produktif, menyebabkan pengekalan kemiskinan antara generasi.
Dari sudut sosial pula, ibu bapa berkemungkinan bergelut dengan tekanan psikologi dan dihantui rasa bersalah kerana tidak mampu menyediakan pemakanan cukup serta berkhasiat atau kebimbangan masa hadapan anak mereka, terutama jika pendidikan dan kesihatan anak terjejas.
Ketidakpastian ini diburukkan lagi oleh stigma masyarakat terhadap kanak-kanak bantut yang berbeza dari segi fizikal atau kognitif seperti lambat bertutur atau belajar.
Ini semua harus diambil kira, terutama apabila mereka dipandang rendah komuniti atau masyarakat. Stigma ini bukan sahaja memalukan, tetapi melemahkan ikatan sosial, boleh menjadikan mereka sentiasa berasa rendah diri.
Maka, strategi padu dan jitu harus dirangka serta dilaksana kerajaan bagi mengurangkan masalah bantut dengan menyemak semula dan mengemas kini NPANM III.
Tetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) baharu lebih realistik berdasarkan data 2022. Infrastruktur asas seperti pembangunan bekalan air bersih dan sanitasi di kawasan pedalaman seperti di Sabah, Sarawak dan negeri Pantai Timur wajib disegerakan kerana persekitaran kotor adalah punca utama bantut.
Subsidi atau bantuan pemakanan bersepadu dan berkhasiat harus diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah. Sebagai contoh, program baucar makanan elektronik boleh ditebus di kedai terpilih untuk membeli makanan tinggi protein dan mikronutrien.
Kempen kesedaran kesihatan patut digalakkan dan diuar-uarkan melalui platform media sosial serta klinik KKM serta pada peringkat komuniti khususnya masyarakat luar bandar untuk mendidik ibu berkaitan kepentingan mengambil makanan berkhasiat ketika hamil dan menyusu anak.
Sumber: Berita Harian