Oleh Dr. Khalid Abdul Hamid
SECARA keseluruhan, prospek pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh terdekat ini masih menjadi tanda tanya susulan kos sara hidup dalam ruang meningkat berdasarkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus memberikan kesan tidak langsung kepada kuasa beli orang ramai dan pendapatan sebenar.
Hari ini, ramai kalangan peniaga, pemborong dan pengeluar mengeluh mengenai pulangan atau keuntungan diraih semakin mengecil serta tidak menentu. Rakyat pula seakan-akan tenggelam punca
dan berasakan kesukaran dialami sekarang lebih cenderung disebabkan faktor prestasi ekonomi tidak menentu.
Justeru, menjadi tanggungjawab bagi pemimpin negara menumpukan perhatian dalam menguruskan ekonomi yang kelihatan semakin meruncing ini. Tumpuan harus ditumpukan kepada aspek menguruskan struktur teknikal ekonomi dan memahami dimensi penguraian struktur ekonomi dalam lensa makroekonomi dan memastikan persekitaran dan keadaan ekonomi baik.
Permainan psikometrik ekonomi dalaman dan luar negara perlu diberi perhatian kerajaan bagi memastikan lahir jalan penyelesaian tuntas menangani kegawatan ekonomi masa kini. Cabaran semasa dihadapi dalam membangunkan ekonomi negara mesti ditangani dengan cekap, tangkas dan penuh berintegriti.
Bagaimanakah pihak berwajib dapat mencari penyelesaian ke arah ‘game changer’ boleh menghasilkan
impak positif ke arah kemakmuran bersama demi kecekapan tatakelola dan kesejahteraan sosial.
Beberapa faktor penting perlu dikaji untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara berada pada tahap baik.
Pertama, produktiviti sebagai penekanan kepada pertumbuhan output perlu diberi tumpuan utama bagi meningkatkan nilai dan kompleksiti produk dieksport ke luar negara. Namun, secara realitinya produktiviti tidak meningkat dengan prestasi baik kebelakangan ini. Malaysia masih berada di kedudukan sedekad dua lalu dan masih gagal mengembalikan kegemilangan masa silam di bawah kedudukan 20.
Kedua, Pekali Gini Malaysia yang mengukur jurang ketidaksamaan pendapatan dalam kalangan isu rumah negara ini menunjukkan jurang ketidaksamaan pendapatan semakin melebar. Pada 1970-an, Pekali Gini mencatatkan tahap ketidaksamaan berada pada tahap 0.513 peratus. Ini menyebabkan kerajaan berusaha selama bertahun-tahun menurunkannya kepada 0.41 peratus. Namun, realitinya penurunan kedudukan 0.41 peratus ini tidak bergerak dalam tempoh lama dan sejak bertahun-tahun tidak berlaku pergerakan yang besar.
Aspirasi untuk menoktahkan kemiskinan tegar yang masih membelenggu golongan rakyat tertentu di negara ini pada akhir tahun lalu, nampaknya belum tercapai.
Perlu ketegasan, iltizam tinggi
Ada baiknya jika program bersifat ad-hoc dan picisan dalam usaha membantu mereka keluar dari kepompong kesukaran hidup tidak perlu difikirkan. Sebaliknya, ketegasan dan iltizam kerajaan tinggi membasmi kemiskinan perlu diteruskan seperti dirancang.
Walaupun kadar inflasi dikatakan menurun baru-baru ini, jelas ramai salah anggap penurunan itu sebagai suatu berita baik. Pada realitinya, inflasi ini bukan bermakna harga barangan menurun, tetapi sebenarnya ekonomi berada dalam pergerakan perlahan atau menguncup.
Satu lagi fenomena disalah tafsir adalah persepsi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 meningkat kepada 8.7 peratus dianggap ekonomi pulih dengan cepat. Namun ramai pengkaji berpandangan ia adalah kesan lantunan biasa sesudah sesuatu krisis.
Seterusnya, pada 2023, ekonomi mengalami penurunan, terutama pada suku kedua lalu, iaitu pada 2.9 peratus. Sebaliknya, inflasi makanan mengikut Laporan Bank Dunia, jika termasuk kawalan harga dan subsidi meningkat sehingga melebihi paras 12 peratus. Sudah pasti ini memberi kesan negatif, khususnya kepada golongan M40 dan berpendapatan rendah.
Pendapatan isi rumah mengikut Jabatan Perangkaan hanya meningkat 2.4 peratus daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM8,479 pada 2022. Secara perbandingan, kadar kos berbelanja meningkat beberapa kali ganda berbanding kenaikan dalam pendapatan. Apalagi jika dibandingkan dengan pendapatan sebenar terjejas akibat inflasi. Namun, data Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysian (MIER) menunjukkan hanya pekerja pakar dan berkemahiran tinggi menerima kenaikan pendapatan lebih tinggi, namun kebanyakan pekerja am masih di takuk lama.
Menurut MIER, ketidaktentuan makroekonomi dan kesan inflasi berterusan ke atas rantaian bekalan global melemahkan sentimen perniagaan dan kuasa beli pengguna. Sejumlah 1,014 isi rumah ditemu bual MIER mendedahkan kewangan peribadi mereka bertambah buruk pada tahun lalu, antaranya disebabkan paras inflasi tinggi yang meningkatkan kos sara hidup.
Maka, adalah penting bagi Malaysia sebagai sebuah negara kecil dan terbuka, memikirkan perancangan dan kerangka strategi jangka panjang bagi menangani kebimbangan rakyat. Dalam menyusuri tahun baharu ini, pertumbuhan ekonomi negara yang baik sudah tentu dapat memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat dan selari dengan kesejahteraan hidup mereka.
Apakah boleh dilakukan dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menangani isu disebutkan di atas. Beberapa penyelesaian untuk menangani masalah itu mungkin boleh dipertimbangkan antaranya:
Menyeimbangkan dasar sedia ada dengan inovasi dan pandangan jauh bagi propertumbuhan dan progaji. Melalui langkah ini, keberhasilan penggandaan ekonomi daripada dasar ini akan dapat membantu golongan miskin.
Sudah tentu langkah ini akan lebih berkesan kerana pengganda lebih besar adalah daripada pertumbuhan industri besar potensinya daripada bergantung kepada pengguna swasta (private consumption) yang pengganda lumrahnya rendah.
Dasar produktiviti perlu ditekankan pada setiap aspek sepanjang rantaian proses pengeluaran. Hanya dengan meningkatkan nilai tambah dan kompleksiti produk, barulah pengganda lebih besar dapat dicipta. Hampir tiada dasar menyeimbangkan pertumbuhan semua sektor dalam ekonomi wujud kerana
masing-masing sektor berkembang dengan unik dengan kapasiti kemampuannya.
Pertumbuhan sektor baharu seperti digital dan ekonomi hijau perlu dilaksanakan, dengan penekanan adalah untuk mendapatkan pulangan lebih tinggi dan nilai tambah bagi setiap input, bukan hanya bagi barangan penengah (intermediary) semata-mata seperti berlaku sebelum ini.
Demi kelangsungan kehidupan rakyat, kerajaan belum terlambat merangka strategi bersesuaian supaya ia berhasil meningkatkan kecekapan dan pada masa aspirasi mewujudkan kesejahteraan bersama dapat dicapai.
Penulis ialah Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan di Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Sumber: Berita Harian