Oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
SEJURUS penubuhan negara pada 1963, dua proses pembinaan dimulakan dan akan berterusan kerana ia prosedur pembangunan yang bukan sahaja tiada kesudahannya, juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa. Dua proses itu ialah pembinaan negara dan bangsa yang sering juga disebut sebagai negara bangsa.
Bagi Malaysia, pembinaan negara bangsa ialah usaha melahirkan warganegara yang nationalistik lagi patriotik oleh sebuah negara berdaulat. Ia boleh juga dilihat sebagai keutuhan kedaulatan negara ini kerana warganegaranya erat bersatu dengan berkongsi budaya nasional Malaysia.
Pembinaan negara adalah merupakan usaha kerajaan untuk menyediakan pelbagai kemudahan bagi mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat, ia secara relatifnya amat berjaya. Ia terbukti dengan pelbagai pembinaan dan peningkatan prasarana, peluang pendidikan, faedah kesihatan, kualiti modal insan serta pemodenan negara yang kini jauh lebih maju berbanding sewaktu kita mula-mula menubuhkan negara dahulu.
Selain ini, mana-mana kerajaan yang memerintah pada bila-bila pun akan terus memantapkan urus
tadbir negara agar lebih ‘mangkus’, memerangi rasuah dengan lebih giat, memperkukuh keharmonian sosial, memperkasakan masyarakat sivil dan memastikan kesamaan sosial untuk semua. Dengan adanya semua ini dan banyak lagi, proses pembinaan negara kita didapati berada pada landasan betul.
Namun, proses pembinaan bangsa, iaitu melahirkan warganegara nasionalistik lagi patriotik, didapati kurang, malah tidak berjaya, khususnya pada sesetengah sisi, walaupun dengan adanya pelbagai peranti sosial negara. Antaranya termasuklah pendukungan bahasa negara melalui gagasan bahasa Melayu, penghayatan ideologi sivik menerusi Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Negara.
Semua ini didapati belum berjaya, malah gagal walaupun sudah sekian lama tertubuhnya negara. Untuk bahasa negara, masih terdapat ramai yang tiada pengetahuan baik setelah bahasa Melayu diangkat seawal 1957 lagi. Ini kerana masih ramai yang tidak fasih untuk membolehkan mereka menggunakannya sebagai wadah perpaduan.
Begitu juga, negara tidak berjaya melahirkan warganegara yang menghayati Rukun Negara walaupun ia dilaksanakan sejak 1970. Rukun Negara tidak berjaya mengeratkan hubungan etnik kerana ia hanya dihafal tanpa memahami untuk diamalkan sebagai alat penyatuaan. Manakala Dasar Kebudayaan Negara tidak mahu diterima seadanya biarpun mula diperkenalpada 1971 lagi. Dasar ini pula dianggap sebagai hanya menganjurkan warisan Melayu tidak mahu disokong sebagai manifestasi budaya nasional kita.
Sehubungan ini, tidak keterlaluan kalau dikatakan ketiga-tiga peranti itu gagal melahirkan warganegara nasionalistik lagi patriotik menerusi proses pembinaan bangsa. Dalam hal ini, ada pihak yang cuba mewajarkan kegagalan ini yang dilabelkan sebagai belum tercapai, dengan mengatakan bahawa pembinaan bangsa mengambil tempoh panjang, kekadang ratusan tahun, sedangkan negara ini hanya berusia 60 tahun.
ANALISIS
Cara analisis begini bersifat reaktif, iaitu memberikan pewajaran kepada sesuatu yang berlaku, Dengan ini, tindakan hanya akan diambil setelah wujud sesuatu keadaan buruk. Selanjutnya untuk menjelaskan keadaan tegang dalam hubungan etnik di negara ini, ia ‘dipukul’ secara reaktif sebagai ketegangan stabil, yakni memang ada krisis tetapi terkawal.
Barangkali sudah tiba masanya cara reaktif ini diimbangi dengan cara proaktif, iaitu keinginan untuk melihat sesuatu itu berlaku. Sehubungan ini, cara proaktif akan melakukan sesuatu sebelum ia terjadi,
khususnya yang buruk untuk mengelakkannya. Dengan kata lain, ia tidak sesekali akan menunggu untuk sesuatu itu berlaku terlebih dahulu sebelum bertindak.
Jadi, untuk menjayakan tiga aspek ini, pembinaan bangsa hendaklah dilakukan secara proaktif. Untuk itu, penguasaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan wajib. Begitu juga dengan penghayatan Rukun Negara dan pengamalan warisan budaya Melayu.
Dengan kata lain, setiap rakyat wajib menjadi Melayu, seperti yang berlaku di tempat lain apabila mereka yang bukan asal menjadi seperti orang asal, baik dari segi pemikiran mahupun tingkah laku. Dengan ini, bermakna seorang rakyat Malaysia itu wajib mempunyai komitmen penuh terhadap ideologi nasional yang tunjangnya adalah Melayu.
Tunjang begini adalah lumrah, malah inilah fitrahnya apabila kelompok bukan asal memilih untuk bermastautin di luar tanah asalnya. Oleh itu, etnik bukan Melayu wajib menerima segala struktur
sosial Melayu untuk bukan sahaja sekadar bercampur, juga menjadi sebahagian daripada mereka.
Keengganan berbuat demikian akan menggagalkan integrasi sebagai antara kemajuan yang amat
diperlukan pada proses pembinaan bangsa di Malaysia. Selagi ini tidak terjadi, selama itulah kita tidak akan berjaya dalam proses pembinaannegara bangsa, iaitu Malaysia yang rakyatnya bersatu dalam erti yang sebenarnya.
Penulis ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Sumber: Utusan Malaysia