Oleh Mohd Noor Musa
Kebimbangan ekologi atau iklim adalah satu keadaan kesukaran dihadapi manusia akibat perubahan iklim yang menyebabkan mereka menjadi cemas terhadap masa depan mereka.
Bagi sesetengah orang, kebimbangan terhadap cuaca seperti golongan petani adalah bimbang kehilangan punca pendapatan apabila tanaman rosak akibat kemarau, pencemaran air dan udara.
Mereka yang mempunyai hubungan kuat dengan alam semula jadi lebih cenderung mengalami gangguan fikiran jika berlaku perubahan cuaca ketara.
Pada peringkat global, kaitan antara perubahan iklim, kesihatan mental dan kesejahteraan psikososial sering menjadi tajuk utama berita, terutama dalam rangka kerja kesihatan pengurusan kecemasan, bencana dan keadaan cuaca melampau.
Malangnya, sehingga hari ini tiada kajian khusus bagaimana perubahan iklim mampu mempengaruhi mental manusia, di samping belum ada dasar khas mengukuhkan keupayaan mental masyarakat apabila menjadi mangsa bencana alam.
Sebagai contoh, Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Malaysia mengakui kesan perubahan iklim boleh menjejaskan kesejahteraan manusia dan alam sekitar.
Namun begitu, dasar berkenaan tidak menyebut secara jelas mengenai kesihatan mental mangsa terjejas akibat kejadian banjir, tanah runtuh dan sebagainya. Kerugian kewangan dan kekurangan makanan berpunca daripada bencana alam seperti banjir biasanya menyebabkan kesan serta-merta ke atas tahap kesihatan mental orang ramai atau mangsa.
Hakikatnya, kesan psikologi dialami manusia akibat bencana alam amat penting ditangani dan memerlukan perhatian serius. Banjir besar pada 2021 di Lembah Klang dan sebahagian besar Semenanjung, misalnya mengakibatkan kerugian harta benda sebanyak RM6.1 bilion dan dianggarkan lebih 71,000 orang kehilangan tempat tinggal, selain meragut 54 nyawa.
Hampir semua mangsa mengalami kerosakan harta benda ketika bah besar mengalami beberapa bentuk tekanan psikologi seperti kemurungan dan gangguan tekanan selepas trauma (PTSD). Bencana seperti ini seharusnya menjadi pengajaran kepada pihak berwajib dan kita semua.
Bagaimanapun, kesannya hanya cenderung bersifat jangka pendek. Sebagai contoh, sokongan daripada keluarga, rakan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan hanya diberikan pada masa kejadian dan selepas itu, mereka yang terjejas banjir dibiarkan bersendirian mengurus diri mereka sendiri dan kehidupan.
Mangsa perlukan bantuan kritikal
Tidak ada mekanisme sokongan dalam menyatukan iklim, pengurusan bencana dan kesihatan mental masyarakat terjejas bencana alam ini. Golongan ini atau mangsa amat memerlukan bantuan kritikal seperti sokongan kewangan, perumahan dan semangat untuk meneruskan kehidupan.
Oleh itu, satu rangka kerja dasar perubahan iklim bersepadu dengan sokongan kesihatan mental dan psikososial perlu diperkenalkan kerajaan bagi memastikan orang ramai atau mangsa bencana diberikan bantuan sebenarnya memandangkan risiko masalah psikiatri mungkin menimpa mereka selepas bencana.
Ini kerana bencana seperti banjir boleh mengakibatkan kehilangan pekerjaan, melemahkan perpaduan sosial dan sumber komuniti serta memberi kesan langsung terhadap kesihatan mental.
Mereka yang berpendapatan rendah dan golongan minoriti, terutama keluarga di kawasan luar bandar atau terpencil menjadi lebih terdedah kepada kemiskinan akibat bencana alam. Oleh itu, satu dasar berkesan dan bermanfaat seharusnya diperkenalkan dalam usaha menyesuaikan perubahan iklim bagi mereka yang terjejas.
Selain itu, terdapat juga keperluan mendesak bagi pengamal kesihatan mental di Malaysia memahami dengan lebih mendalam gejala kebimbangan alam sekitar bagi membolehkan mereka menyediakan rawatan bersesuaian. Sehingga hari ini, belum ada tanda usaha bersepadu memasukkan impak perubahan iklim dalam latihan profesional atau kurikulum kesihatan mental.
Ketiadaan dasar jelas mengenai kebimbangan terhadap alam sekitar di Malaysia amat serius memandangkan peningkatan bilangan orang mengalami kesihatan mental disebabkan bencana alam.
Walaupun kebimbangan terhadap ekologi adalah tindak balas biasa terhadap sebarang reaksi kepada perubahan iklim, ia boleh membentuk pandangan masyarakat, menimbulkan kemarahan dan provokasi, terutama golongan muda.
Kekecewaan dan rasa putus asa akan menjejaskan kelestarian dan masa depan orang ramai. Perlu diakui, kesan perubahan iklim terhadap kesihatan manusia semakin kritikal dan memerlukan pendekatan menyeluruh lagi bersepadu.
Risiko pengurusan perubahan iklim perlu disepadukan ke dalam sistem pengawasan nasional supaya tindak balas berdasarkan maklumat iklim dan risiko dapat diambil bagi mengurangkan kemurungan, gangguan bipolar dan fungsi kognitif atau kesan kesihatan mental lain.
Belum terlambat untuk kerajaan dan kementerian berkaitan menyepadukan pertimbangan iklim dengan program kesihatan mental. Pendekatan berasaskan komuniti perlu dibangunkan bersama untuk mengurangkan kelemahan.
Di Filipina, kerajaannya sudah membina semula dan menambah baik perkhidmatan kesihatan mental rakyat selepas Taufan Haiyan melanda negara itu pada 2013.
Di India, satu projek nasional diperkenalkan untuk memastikan kerajaan mengambil langkah segera dan bertindak balas terhadap risiko perubahan iklim serta menangani keperluan kesihatan mental dan psikososial akibat bencana alam.
Dengan mengambil kira pendekatan pelbagai aspek, kita mampu mengurangkan kesan buruk perubahan iklim terhadap kewarasan dan kesihatan mental manusia serta memastikan masa depan kehidupan lebih selamat dan sihat.
Sumber: Muka 10, Berita Harian, 8 Ogos 2024