Pelantikan Muhyiddin selari hala tuju akhiri pendemik COVID-19

KUALA LUMPUR: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) disifatkan satu keputusan yang tepat bagi memastikan semua strategi untuk mengakhiri pandemik COVID-19 dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Ketua Pengarah Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia, Azril Mohd Amin, berkata pelantikan bekas Perdana Menteri itu akan memastikan kesinambungan dan kestabilan dalam usaha meneruskan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Seiring dengan pembentukan Jemaah Menteri yang baharu, Muhyiddin akan memantau pelan ini secara berfasa bagi memandu Malaysia melalui peralihan daripada pengurusan krisis kepada normalisasi tanggungjawab merangkumi semua sektor sosial ke arah pemulihan ekonomi sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini memaklumkan jemaah menteri pada mesyuaratnya 1 September lalu bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Beliau berkata, pemilihan Muhyiddin juga seiring dengan pencapaiannya yang turut mendapat pujian antarabangsa kerana pengurusan pandemik seimbang ketika menerajui kerajaan sebelum ini.

“Muhyiddin bertanggungjawab merangka jalan keluar untuk menyelesaikan krisis COVID-19 yang kini diteruskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

“Ketua Setiausaha Negara (Mohd Zuki) dalam kenyataannya hari ini berkata pelantikan berkenaan bersandarkan kepada keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui PPN, memulihkan ekonomi dan kehidupan rakyat yang terjejas teruk disebabkan wabak ini.

“Ia juga adalah pengiktirafan yang sangat baik terhadap perancangan dilaksanakan Muhyiddin sebelum ini yang memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan dan program vaksinasi di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, pemerhati turut menyambut baik pelantikan itu yang disifatkan sebagai langkah bijak untuk mengehadkan sebarang gangguan sepanjang PPN dilaksanakan, termasuk risiko berdepan kemelut politik.

“Kemajuan yang signifikan sudah pun dicapai, terutama melalui program vaksinasi.

“Ramai pakar meramalkan dengan pelantikan itu, negara akan bergerak ke setiap fasa pemulihan secara lebih progresif,” katanya.

Date: 04 September 2021
Source and Image from: Berita Harian – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/859919/pelantikan-muhyiddin-selari-hala-tuju-akhiri-pandemik-covid-19