Pelaksanaan darurat di Malaysia: Apa yang lebih penting untuk diberi tumpuan daripada politik

Source of Image : iStock – https://www.istockphoto.com/photo/view-of-the-prime-ministers-office-from-the-seri-gemilang-bridge-in-the-planned-city-gm926185338-254140107

Oleh Amirul Hamza bin Abdullah, Research Analyst Institut Masa Depan Malaysia

18/01/2021

Tahukah anda, sejak penularan wabak COVID-19, terdapat 79 negara yang telah mengisytiharkan darurat sebagai alat untuk memerangi wabak ini?

Malaysia bukanlah yang pertama. Negara-negara yang sudah melaksana darurat antaranya adalah Australia, Indonesia, Finland, Brazil, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Libya, Filipina, Thailand, Argentina dan Perancis.

Kebiasaannya, pengisytiharan ini berlaku apabila penyebaran virus COVID-19 tidak lagi dapat dikawal oleh kerajaan dan menyebabkan kapasiti dan kemampuan jentera dalam sektor kesihatan awam di paras maksimum.

Pada ketika ini, lima belas hospital yang menangani kes COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil untuk pesakit tidak kritikal melebihi 70 peratus. Di kawasan yang membangun seperti Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah mencapai 100 peratus, manakala Hospital Sungai Buloh telah mencapai tahap 83 peratus. Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di negeri-negeri lain seperti Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak juga telah melebihi 70 peratus. Lebih merisaukan, kes jangkitan juga terus meningkat sehingga mencecah lebih 4,000 kes sehari baru-baru ini.

Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA), sebuah badan pemikir yang memperjuangkan Kemakmuran Bersama rakyat Malaysia berkongsi dan menegaskan bahawa keadaan jangkitan semasa Covid-19 di Malaysia sudah jelas menunjukkan perlunya perhatian, serta tindakan drastik dan proaktif oleh pihak berwajib, yang jauh lebih penting dari perdebatan politik.

Antara perkara yang penting untuk diberi perhatian oleh pihak berwajib dalam tempoh darurat ini termasuklah:

  • Mengutamakan kebajikan rakyat

Pengagihan bantuan kewangan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), kebajikan dan perkara berkaitan perlu sampai dengan lebih pantas kepada rakyat. Kerajaan perlu lebih proaktif dalam mengerakkan pelan pemulihan yang lebih kondusif dan komprehensif lebih-lebih lagi apabila tiada persidangan di parlimen yang dijalankan. Bantuan berbentuk penangguhan bayaran pinjaman juga perlu diperluas, dipermudah dan dipanjangkan tempohnya. Selain itu, kerajaan juga boleh menggunakan tempoh ini dengan maksima dalam mengurangkan masalah pengangguran. Sebagai contoh, dengan menubuhkan program “job guarantee” kepada mereka yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19, dengan menawarkan pekerjaan seperti penjaga warga emas, atau pembantu operasi dalam sektor kerajaan.

  • Peningkatan tahap kemampuan pengesanan penyakit Covid-19

Selain daripada pengagihan vaksin, sistem pengesanan penyakit COVID-19 perlu lebih pantas dan mudah dilakukan bagi membolehkan wabak ini ditangani dengan berkesan. Pihak berwajib diharap dapat memberikan perhatian sebaiknya terhadap perkara ini tertamanya dalam mengesan jangkitan virus Covid-19 dalam skala yang besar. Kemajuan dalam hal ini juga akan mampu untuk membantu memberi maklumat tentang tindakbalas keberkesanan vaksin covid-19 yang bakal digunakan kelak.

  • Pemulihan entiti perniagaan

Tanpa sebarang gangguan politik dan pemusatan kuasa dalam pengurusan negara ketika ini, perhatian seharusnya lebih diberikan kepada aktiviti pemulihan perniagaan di Malaysia terutama bagi mereka yang bekerja sendiri, sebagai contoh, peniaga jalanan dan mereka yang berada dalam kategori perniagaan mikro dan kecil. Tempoh moratorium dan tawaran geran bantuan juga harus dilanjutkan lagi sekurang-kurangnya sehingga Ogos 2021. Program bantuan kewangan kepada peniaga sedia ada juga perlu diberi perhatian dengan mempercepatkan proses pengagihan serta memudahkan syarat dan kaedah permohonannya. Tumpuan kepada perkara-perkara seperti ini semestinya akan membantu perkembangan semula ekonomi negara yang telah terjejas teruk akibat Covid-19 dan ketidakstabilan politik.

  • Pengawasan pasaran dan ekonomi berunsurkan monopoli

Tindakan kerajaan dalam memberi fokus kepada unsur monopoli, pencatutan dan sabotaj ekonomi sewaktu tempoh darurat ini wajar dipuji dan disokong. Ini kerana kesan kepada unsur tersebut adalah amat membimbangkan terutamanya kepada penguna yang semakin terbeban dengan masalah kehilangan pekerjaan dan kekurangan sumber pendapatan isi rumah. Akta sabotaj ekonomi ini juga wajar untuk diperincikan, dan terus digunakan walau bukan dalam tempoh darurat.

Institut MASA mengharapkan pelaksanaan darurat ini dapat membendung penyebaran virus COVID-19 seperti yang diharapkan oleh Yang di-Pertuan Agong, serta dapat membantu dalam meningkatkan kembali kemampuan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani serangan wabak ini. Ianya juga diharap mampu menjadi platform perubahan positif untuk melihat kebajikan dan keselamatan rakyat sebagai fokus utama, dengan aktiviti-aktiviti pemulihan dan pembangunan ekonomi dijalankan secara inklusif dan lestari. Pemulihan elemen demokrasi dalam perlembangaan di Malaysia juga diharap, dapat diberi tumpuan selepas tempoh darurat ditamatkan.