Oleh Nur Zalikhaa’ Zainal Abidin
MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan langkah memansuhkan Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bertujuan mengurangkan beban tekanan akademik.
Pedagogi pendidikan terkini lebih tertumpu pembelajaran inkuiri, eksplorasi, pengalaman dan pentaksiran bilik darjah yang lebih holistik untuk menilai murid.
Tanpa kerangka kerja yang komprehensif untuk menilai tahap tekanan murid, keberkesanan dasar ini mungkin hanya bersifat spekulasi. Statistik Kementerian Pendidikan (KPM) menonjolkan isu yang membimbangkan dengan seramai 122,000 murid tahun satu bagi sesi akademik 2024 di seluruh negara belum menguasai kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira (3M).
Berdasarkan statistik Lembaga Peperiksaan (LP) pada 2023, daripada 395,870 calon yang berdaftar, sejumlah 10,160 pelajar atau 2.65 peratus tidak hadir untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Daripada jumlah itu, 6.5 peratus atau 25,735 pelajar tidak layak menerima sijil SPM.
Ini menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk menangani masalah ini melalui reformasi pendidikan yang berkesan dan bersifat jangka panjang.
Antara langkah kerajaan termasuk memperkenalkan Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3, Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi, serta Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa.
Langkah-langkah ini bertujuan untuk memastikan murid yang belum menguasai kemahiran asas dapat dikenal pasti dan diberikan intervensi awal bersesuaian.
Penilaian alternatif pula mengukur tahap kemahiran pelajar dalam subjek tertentu berbanding tahap pengetahuan. Contohnya termasuk peta konsep, portfolio dan ujian terbuka. Penilaian ini membolehkan pelajar menunjukkan pemahaman melalui pelaksanaan tugas yang bermakna dan relevan dengan objektif pembelajaran.
Pemansuhan UPSR dan PT3 antara lain bertujuan memberikan tumpuan kepada pembelajaran yang lebih holistik. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan ia mungkin menjejaskan penguasaan kemahiran asas pelajar.
Mereka mungkin hilang semangat atau inisiatif untuk bersaing antara satu sama lain. Kemungkinan gejala ponteng akan meningkat bila mana pelajar beranggapan kehadiran ke sekolah hanya membuang masa.
Sudah pasti ibu bapa mahukan keputusan terbaik dari pihak kerajaan dan situasi menang-menang selain inginkan alternatif yang boleh menjamin masa hadapan serta prestasi akademik anak-anak.
Sebenarnya, tahap tekanan murid boleh diukur melalui pelbagai kaedah, termasuk soal selidik, skala tekanan standard, analisis biomarker seperti kadar denyutan jantung dan gelombang otak.
Walaupun penekanan tertumpu kepada pembangunan holistik, kejayaannya bergantung pada pelaksanaan yang konsisten serta kesediaan guru.
Pemansuhan peperiksaan juga berpotensi menghasilkan jurang lebar sekiranya guru dan ibu bapa tidak diberikan garis panduan yang jelas untuk menilai perkembangan pelajar.
Selain itu, Program Tekad Reformasi Pendidikan dan Program Anak Kita sebagai usaha mentransformasikan sistem pendidikan selain membantu mengatasi keciciran pelajar termasuk kelas pemulihan, latihan serta alat pembelajaran digital memerlukan analisis menyeluruh yang tidak hanya berpaksikan satu sudut pandang.
Ia perlu mengambil kira suara ibu bapa, guru dan murid untuk memastikan langkah yang diambil membawa impak positif berkesan.
Penambahbaikan Model Pengurusan Berasaskan Sekolah (SBM) seperti latihan dan pembangunan profesional untuk pemimpin sekolah perlu dipertingkatkan bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengurus sekolah dengan berkesan.
Bagi menangani isu keciciran murid dari golongan B40 secara holistik, satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan di setiap sekolah.
Jawatankuasa ini harus melibatkan kerjasama pelbagai pihak, termasuk sekolah, KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pengerusi taman perumahan, tok batin serta wakil daripada kementerian berkaitan.
Jawatankuasa ini juga perlu mengambil inisiatif proaktif, seperti turun padang untuk mengenal pasti murid yang amat memerlukan bantuan.
Hal ini amat penting memandangkan terdapat dapatan menunjukkan pihak sekolah sering menghadapi kesukaran isu murid ponteng akibat tekanan hidup dialami keluarga mereka.
Selain itu, memanfaatkan teknologi termasuk penggunaan sistem pengurusan sekolah digital, alat pembelajaran dalam talian serta mewujudkan sistem penilaian dan pemantauan berterusan diperlukan.
Semua ini perlu dalam memastikan sumber yang ada digunakan dengan cekap dan berkesan untuk meningkatkan kualiti pendidikan.
TINGKAT KUALITI
Mungkin sistem pendidikan Vietnam yang menunjukkan keunggulannya dalam penilaian antarabangsa seperti Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) perlu dilihat sebagai contoh yang baik dan berkesan.
Dalam PISA 2022, pelajar Vietnam mencatatkan skor purata keseluruhan 468, dengan 72 peratus pelajar mencapai Tahap 2 atau lebih tinggi dalam Matematik, 77 peratus dalam bacaan dan 79 peratus dalam sains.
Kejayaan ini banyak dipacu pendekatan komprehensif terhadap pembangunan profesional guru dan sokongan padu kerajaan.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan negara itu adalah pelaksanaan Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) yang dibiayai Bank Dunia. Melalui program ini, lebih daripada 600,000 guru dan pengetua menerima latihan berkala untuk meningkatkan kemahiran dan keberkesanan mereka.
Guru yang berjaya meningkatkan prestasi pelajar diberi penghargaan seperti anugerah kecemerlangan. Pengiktirafan ini bukan sahaja menghargai usaha mereka tetapi juga mencetuskan motivasi untuk terus meningkatkan kualiti pengajaran, sekali gus membentuk budaya pendidikan berprestasi tinggi.
Selain itu, Vietnam memberi kebebasan kepada guru dalam menentukan kaedah pengajaran, menyediakan insentif khas untuk guru yang bertugas di kawasan luar bandar dan memastikan sokongan kerajaan yang kukuh terhadap sektor pendidikan.
Pendekatan ini menjadikan sistem pendidikan mereka relevan dengan cabaran semasa dan terus berada di tahap tinggi.
Malaysia boleh mengambil inspirasi daripada pendekatan ini dengan meningkatkan latihan profesional berterusan, memperkenalkan penilaian prestasi berasaskan pencapaian pelajar dan memberikan insentif sewajarnya kepada guru yang bertugas di kawasan luar bandar.
Langkah ini dapat memastikan guru yang berpengalaman dan berdedikasi dihantar ke kawasan pedalaman, bukannya sebagai tempat untuk menempatkan guru bermasalah.
Dengan memperkukuh sokongan terhadap tenaga pengajar, Malaysia berpotensi mencipta sistem pendidikan yang lebih berdaya saing dan memenuhi keperluan masa hadapan.
Sumber: https://www.utusan.com.my/premium/2025/01/kita-boleh-contoh-vietnam-dalam-perkasa-pendidikan/