KENYATAAN MEDIA
SAMBUTAN HARI GURU 2024
15 MEI 2024
INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) sentiasa menekankan kepentingan langkah proaktif dan berterusan untuk meningkatkan tugas dan peranan setiap guru dalam memacu transformasi sektor pendidikan, di samping menyediakan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran untuk generasi masa depan.
Peranan guru dalam memanfaatkan ruang digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran dilihat semakin penting. Ini sejajar dengan Anjakan 7 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
Pendidikan digital kini merupakan salah satu pemacu utama dalam perkembangan ekonomi negara. Penguasaan dalam kemahiran digital menjadi semakin penting dalam era Revolusi Industri 4.0 dan proses pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan teknologi.
Walau bagaimanapun, kesemua agenda ke arah pembangunan digital ini akan hanya menjadi kenyataan retorik semata-mata sekiranya jurang digital masih meluas dan gagal diatasi dalam negara.
Dapatan kajian Tahap Kompetensi Digital Guru yang dilaporkan di dalam dokumen Dasar Pendidikan Digital 2023 menunjukkan hanya 2.2 peratus guru berada pada tahap lanjutan, 39.9 peratus pada tahap pertengahan dan 57.9 peratus pada tahap asas.
Dokumen yang sama turut melaporkan, bahawa kesediaan peralatan komputer, peranti digital, perisian dan perkhidmatan jalur lebar sekolah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia masih berada di bawah purata dalam kalangan negara OECD.
Selain itu, faktor pemilikan gajet, selain status murid itu sendiri yang sebahagiannya tinggal di kawasan yang tidak mempunyai liputan jalur lebar yang stabil atau terhad, merupakan antara cabaran utama dalam proses pendigitalan pendidikan di Malaysia.
Oleh itu, masalah kemiskinan digital perlu ditangani terlebih dahulu sekiranya pendidikan digital menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kita.
Dalam hal ini, MASA senada dengan laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia baru-baru ini yang menyatakan bahawa tahap kesediaan digital dan kepakaran guru adalah terhad. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus memandang serius laporan Bank Dunia berhubung perkara ini dan menjadikannya peluang untuk menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur digital di sekolah, terutama di kawasan luar bandar.
KPM juga harus memberi keutamaan dalam memperkenalkan lebih banyak program pembangunan kapasiti berkaitan ICT untuk guru, pelajar dan pentadbir sekolah. Tumpuan perlu diberikan terhadap penyediaan infrastruktur dan teknologi kerana pembelajaran dan pengajaran berasaskan teknologi mempunyai kapasiti untuk meningkatkan pemikiran kritis, pengalaman pembelajaran serta prestasi akademik.
Dengan menyepadukan teknologi ke dalam kurikulum sekolah, contohnya, akan menambah baik kaedah pengajaran dan membolehkan guru mengembangkan kandungan buku teks serta mencipta situasi pembelajaran bilik darjah yang lebih realistik dan berpusatkan pelajar. Semua ini akan membuka lebih banyak pilihan ke arah perkembangan dan kemajuan pelajar. Dasar Pendidikan Digital, yang diperkenalkan KPM tahun lepas dan berkuat kuasa sehingga 2030, adalah satu keperluan yang tepat pada masanya. Namun, ia hanya dapat mencapai matlamatnya dengan adanya infrastruktur yang betul dan isu berkaitan kemiskinan digital dalam kalangan rakyat ditangani. Pendigitalan pendidikan adalah penting tetapi tanpa prasarana dan perkakasan yang perlu, dasar ini akan menjadi tidak berkesan.
Sejajar dengan komitmen MASA yang mendokong agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan PPPM 2013-2025, kami menggesa KPM mempergiat lagi usaha dan inisiatif bagi mengemudi pemulihan, reformasi dan transformasi pendidikan di negara ini, khususnya di era digitalisasi kini.
Selamat Hari Guru!
AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif