Kenyataan Media MASA Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2024

KENYATAAN MEDIA

SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2024

5 JUN 2024

Hari ini, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, kami bersatu di bawah tema global “Tanah Kita,
Masa Depan Kita” dalam menyorot isu-isu penting alam sekitar seperti pemulihan tanah,
desertifikasi (penggurunan) dan ketahanan tanah ketika kemarau, misalnya.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran ini, kita menyedari bahawa walaupun manusia tidak
mampu mengubah masa lalu, namun kita mempunyai “kuasa” untuk menanam semula hutan,
memulihkan sumber air serta menyuburkan semula tanah kita – untuk masa depan.

Di Institut Masa Depan Malaysia (MASA), kami komited dalam memperkasa kelestarian alam
sekitar sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). Wawasan yang
selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ini menekankan keperluan penting
bagi pembangunan ekonomi yang seimbang dan mampan dalam memastikan kekayaan
dinikmati bersama oleh semua rakyat Malaysia.

Salah satu aspek penting visi ini adalah menjaga dan mengurus sumber asli dan alam sekitar
secara berkesan dan mampan.

WKB2030 memfokuskan kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan
perlindungan alam sekitar. Sebagai komitmen kepada visi ini, kami berusaha untuk
mempromosi dasar dan amalan pengurusan tanah secara mampan, yang tidak hanya
memelihara landskap semula jadi, tetapi juga menyokong kehidupan masyarakat setempat.

Dari perspektif Islam, penjagaan alam sekitar merupakan prinsip asas yang menekankan
elemen pencegahan, pemeliharaan, dan pemuliharaan. Islam menekankan kepentingan
iman, akhlak dan etika dalam interaksi kita dengan alam sekitar. Al-Quran dan Hadith
menekankan perlunya melindungi dan memelihara bumi sebelum terlambat serta penekanan
terhadap tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Hari ini, kita berada di satu persimpangan yang amat penting. Tindakan yang kita ambil
sekarang bakal menentukan keadaan alam sekitar untuk generasi akan datang.

Dengan mengamalkan amalan mampan dan inovasi, kita akan berupaya memulihkan
kerosakan yang telah berlaku pada alam sekitar kita. Kita merupakan generasi yang
bertanggungjawab terhadap bumi kita atau yang disebut #GenerationRestoration.

Dalam usaha ini, MASA terlibat secara aktif dalam inisiatif dasar untuk memulihkan tanah
terdegradasi impak dari aktiviti Pembangunan dan menggalakkan penggunaan sumber asli
secara mampan.

Baru-baru ini, laporan MASA yang menilai dengan teliti impak pelbagai aspek Projek
Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSI) terhadap hak ekonomi, sosial dan budaya
masyarakat pesisir pantai, telah mendapat tempat dalam Laporan Berkala Sejagat Pusingan
Ke-4 (UPR4) Malaysia dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNHRC).

Kegusaran MASA bukan sahaja melihat kepada cabaran getir masyarakat pesisir pantai yang
rata-ratanya merupakan nelayan, tetapi juga mengenengahkan hak dan isu yang dihadapi
mereka dalam wacana mengenai “pembangunan” yang lebih luas. Dalam membincangkan
pemasalahan ini, MASA menjadi badan pemikir pertama di negara ini yang telah
mengemukakan laporan sedemikian di UNHRC.

Di bawah Perkara 113 Laporan UNHRC baru-baru ini, iaitu “Pembangunan Alam Sekitar,
Perniagaan dan Hak Asasi Manusia,” kebimbangan MASA mengenai kesan projek mega
akibat dari aktiviti tebus guna tanah (penambakan laut) dan kurangnya perundingan awam
dalam proses membuat keputusan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah berjaya
diketengahkan.

Pengiktirafan sedemikian menandakan pentingnya peranan MASA dalam mempengaruhi
perbincangan dasar dalam usaha menyokong proses membuat Keputusan yang lebih inklusif
melalui platform antarabangsa.

Usaha ini penting dan perlu dilaksanakan secara berterusan untuk mencapai matlamat yang
terkandung dalam WKB2030 serta memastikan masa depan yang lestari bagi semua rakyat
Malaysia.

Justeru, dalam kita menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia ini, komitmen kita untuk melindungi
dan memulihkan alam sekitar perlu diperkukuh. Hanya dengan usaha secara bersama, kita
dapat memastikan “Tanah Kita, Masa Depan Kita” membuahkan limpahan kekayaan
semulajadi dan ketahanan alam sekitar buat Malaysia demi kemakmuran bersama semua
lapisan rakyat negara ini.

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found