GERAN PENYELIDIKAN PROGRAM PEMBANGUNAN DASAR MASA (MPDP)

KENYATAAN MEDIA 

GERAN PENYELIDIKAN PROGRAM PEMBANGUNAN DASAR MASA (MPDP) 

14 JANUARI 2022

Geran penyelidikan yang diperkenalkan buat pertama kalinya oleh Institut Masa Depan Malaysia (MASA) tahun lalu, mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila menerima sejumlah 134 kertas cadangan daripada 21 institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan.

Kesemua kertas cadangan yang merangkumi tujuh bidang keutamaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah melalui proses tapisan awal oleh Sekretariat Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) diikuti penilaian oleh panel penilai terdiri daripada pakar bidang, mantan pegawai tinggi kerajaan serta ahli akademik.

Daripada jumlah itu, sebanyak 30 kertas cadangan merangkumi topik kajian dalam bidang ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan serta pembangunan lestari telah disenarai pendek dan diputuskan layak oleh panel penilai untuk menerima geran penyelidikan MPDP.

Mereka yang terpilih akan ditawarkan geran penyelidikan bernilai sehingga RM10,000 untuk setiap kertas ringkasan polisi yang dihasilkan. Penerima geran MPDP juga digalakkan untuk menerbitkan laporan penyelidikan masing-masing dalam jurnal terkemuka, sama ada di dalam atau luar negara.

MPDP diperkenalkan pada September tahun lalu bertujuan menyediakan peluang kepada penyelidik untuk memberikan input dan cadangan polisi bagi membantu proses pelaksanaan pemulihan negara serta strategi dan pelan kerajaan pasca Covid-19.

Institut MASA mengucapkan tahniah kepada penerima geran penyelidikan MPDP yang terpilih. Senarai penerima geran yang berjaya boleh dilayari di laman web Institut MASA di https://institutmasa.com/ms/geran-penyelidikan-program-pembangunan-dasar-masa-mpdp/. Syabas!

 

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Kongsi Artikel

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on linkedin
Share on email

Artikel Lain

No data was found