CENTHRA gesa operasi pemusnahan kediaman milik etnik Bajau Laut dihentikan segera

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa negara ini digesa menghentikan segera pengusiran dan pemusnahan kediaman milik lebih 500 individu Bajau Laut di Sabah kerana ia disifatkan sebagai pencabulan hak asasi manusia.

Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) dalam kenyataannya, menyifatkan tindakan terhadap masyarakat Bajau Laut itu bukan sahaja mencemarkan reputasi negara tetapi juga bercanggah pendirian mendokong hak asasi manusia seperti yang digariskan dalam bidaannya di Majlis Hak Asasi Manusia (2022-2024).

Sehubungan itu, CENTHRA mahu kerajaan melaksanakan lima tindakan susulan termasuk mewujudkan rangka kerja perundangan komprehensif tanpa kerakyatan dengan menyediakan laluan untuk Bajau Laut dan komuniti tanpa kerakyatan lain untuk mendapatkan status undang-undang.

“Ia membabitkan pembangunan rangka kerja undang-undang komprehensif yang menyediakan prosedur yang jelas untuk pengiktirafan individu tanpa kerakyatan, memastikan akses mereka kepada hak dan perlindungan di bawah undang-undang.

“Selain itu, negara juga perlu menyediakan akses kepada perkhidmatan penting untuk individu tanpa kerakyatan dan tiada dokumen termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan bantuan guaman.

“Negara juga diminta menggunapakai piawaian antarabangsa dengan meratifikasi dan mematuhi perjanjian hak asasi manusia antarabangsa utama seperti Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) untuk mengukuhkan rangka kerja perundangan bagi melindungi semua individu dalam sempadan Malaysia,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, badan bukan kerajaan (NGO) Borneo Komrad mendakwa etnik Bajau Laut di Semporna, Sabah diusir pihak berkuasa dengan rumah atas air yang dihuni mereka dirobohkan.

Pengasas Borneo Komrad, Mukmin Nantang, dilaporkan mendakwa operasi itu dibuat ke atas etnik Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna, antaranya Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga, Pulau Bodgaya, Pulau Sebangkat dan Pulau Sibuan.

Bajau Laut adalah komuniti pelaut tanpa kewarganegaraan yang tinggal di rumah perahu reyot atau pondok pantai yang dibina di atas tiang di daerah Semporna di Sabah, sejak berabad lamanya.

Mereka dilahirkan tanpa dokumen pengenalan diri, mereka tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan asas dan hidup dalam penuh ketakutan terhadap penahanan dan pengusiran oleh pihak berkuasa tempatan.

Pada masa sama, menurut CENTHRA, langkah penguatkuasaan termasuk operasi membakar dan merobohkan kediaman Bajau Laut hanya membuatkan mereka terus ditekan dan lemah akibat layanan kejam serta tidak berperikemanusiaan.

Katanya, tindakan terhadap Bajau Laut itu amat berbeza dengan kedudukan Malaysia sebagai Ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), yang tamat tempoh pada tahun ini.

“Tindakan sebegini menjejaskan komitmen yang dibuat Malaysia di dalam laporan Kajian Berkala Sejagat Pusingan ke-4 (UPR-4) baru-baru ini di mana Malaysia berjanji untuk menerima pakai pendekatan ‘seluruh masyarakat’ dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia,” katanya.

#MASAuntukMakmurBersama

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1256546/centhra-gesa-operasi-pemusnahan-kediaman-milik-etnik-bajau-laut