Oleh Sim Why Jean, Penganalisis Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia
BERSEMPENA Hari Belia Sedunia disambut semalam, pengiktirafan sumbangan golongan itu antara manifestasi pembangunan modal insan inklusif sejajar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Sepanjang pandemik COVID-19, ramai dalam kalangan belia mempamerkan semangat kesukarelawanan tinggi, membuktikan kemampuan sama ada pada peringkat komuniti, nasional mahupun persada antarabangsa.
Baru-baru ini, pelajar dari Kolej Vokasional Keningau, Alesyah Asa melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai finalis dalam pertandingan berprestij Hadiah Pelajar Global 2022. Begitu juga kejayaan atlet muda negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Pencapaian ini mencerminkan Malaysia tidak ketandusan bakat muda dan usia bukanlah penghalang, sebaliknya belia mampu menyinar sekiranya diberi ruang menyerlahkan potensi dalam apa jua bidang.
Selaras Model Baharu Pembangunan Belia 2030, pemerkasaan belia perlu diberi keutamaan supaya kebajikan mereka sentiasa terbela. Menerusi kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, peranan belia dapat diperkukuhkan, terutama dalam aspek kepemimpinan dan integriti.
Cetusan idea penubuhan Kumpulan Penasihat Anak Muda oleh kerajaan ketika di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, mampu menjadi pemangkin sebagai platform memberi nafas baharu untuk melontar idea bernas ke arah menterjemah aspirasi belia.
Krisis COVID-19 membuka lembaran baharu untuk membentuk belia kalis cabaran pascapandemik, manakala penularan turut mendedahkan realiti sebenar kelangsungan ekonomi belia merangkumi hampir 68 peratus daripada jumlah populasi tenaga kerja dan dibebani isu seperti kos sara hidup tinggi dan kadar gaji statik.
Sungguhpun kadar pengangguran belia menunjukkan penurunan pada suku pertama tahun ini, struktur pasaran buruh masih berdepan situasi mencabar. Realitinya, antara kekangan mendepani generasi muda masa kini adalah peningkatan jurang guna tenaga tidak penuh serta isu ketidaksepadanan dalam kalangan lepasan graduan.
<strong>Anjakan baharu</strong>
Menurut kajian Memahami Statistik Kebolehpasaran Graduan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), daripada 85.5 peratus graduan dikategorikan sebagai ‘boleh pasar’ pada 2021, hanya 61.6 peratus memperoleh pekerjaan dalam tempoh setahun selepas graduasi, sementara 37.2 peratus graduan memasuki pekerjaan tidak memerlukan kelayakan tertiari akibat berlakunya ketidaksepadanan dengan kelayakan pendidikan.
Justeru, mengambil kira perubahan kehendak sektor tenaga kerja semakin dinamik, rekalibrasi antara permintaan dengan pengeluaran pasaran buruh berpandukan keperluan semasa perlu untuk mengimbangi keperluan guna tenaga agar produktiviti tenaga buruh tidak terjejas atau membantutkan usaha pemulihan ekonomi.
Justeru, anjakan baharu diperlukan untuk memberi nilai tambah kepada lepasan siswazah agar sentiasa cakna dan kekal relevan dengan kemahiran setara teknologi moden, termasuk bidang kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) dan automasi, di samping menggarap ilmu berkaitan koding dan robotik seiring dengan naratif pendigitalan.
Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, belia perlu dilengkapi kemahiran baharu dalam mengharungi transformasi landskap digital. Program Reskilling dan Upskilling misalnya wajar digiatkan menerusi portal perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs, insentif Place and Train dan MySTEP. Sehingga Jun 2022, inisiatif MySTEP berjaya menempatkan seramai 33,000 graduan dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Selain penjenamaan semula bidang kerjaya berunsur 3D atau industri kotor, berbahaya dan sukar, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut melahirkan belia kreatif dan berinovasi dalam ruang digital dengan mencungkil bakat dalam meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berada dalam transisi dari bangku persekolahan ke pengajian tinggi, sudah pasti banyak persoalan terlintas. Dalam hal ini, guru kaunselor di sekolah berperanan sebagai mentor untuk mengenal pasti kecenderungan minat mereka seperti menceburi bidang keusahawanan atau perkhidmatan penghantaran makanan.
Dengan kewujudan pangkalan data bersepadu, guru dapat memahami secara dekat kehendak dari lensa belia yang bakal menentukan hala tuju pelajar selepas tempoh persekolahan serta memberi sokongan menerusi program perantis. Ini dapat membantu mengatasi fenomena lepasan SPM didapati tidak berminat menyambung pelajaran.
<strong>Tangani isu kehilangan bakat</strong>
Kerajaan perlu merangka pelan jangka panjang untuk memperkasa kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di seluruh negara.
Bagi melindungi pekerja gig, kerangka kawal selia sektor ekonomi gig dapat menjamin prospek kerjaya stabil kelak. Antaranya mewujudkan persekitaran kerja kondusif seperti perkembangan kerjaya, perlindungan insurans dan bantuan kesihatan.
Terkini, aplikasi Airasia Super menjadi platform pertama di rantau Asia yang menawarkan pekerjaan sepenuh masa kepada pekerja gig, selain menikmati kemudahan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kerajaan wajar memberi penekanan khusus terhadap usaha menangani isu kehilangan bakat membabitkan diaspora penghijrahan belia profesional ke luar negara agar mereka kembali berbakti di tanah air.
Bagi mendorong usaha itu, kerjasama strategik sektor awam dan swasta (PPP) dapat membantu mencari penyelesaian tuntas, termasuk rombakan program pembangunan bakat lebih tersusun dengan jaminan karier dan lanjutan pengajian seperti Program Kepulangan Bakat di bawah seliaan Talent Corp Malaysia.
Di Korea Selatan, hampir 5 peratus KDNK diperuntukkan bagi pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertujuan mengenal pasti jurang kemahiran kritikal dalam misi pencarian bakat tempatan.
<strong> </strong><strong>Pembelajaran sepanjang hayat</strong>
Bertepatan SDG Ke-4, akses pendidikan inklusif dan berkualiti mampu mengeluarkan belia daripada kepompong kemiskinan. Bayangkan anak muda di pedalaman terpaksa mengharungi perjalanan berliku seperti mendayung rakit semata-mata untuk mengikuti pelajaran di sekolah.
Justeru, belia harus diberi peluang untuk mendakap konsep pembelajaran sepanjang hayat. Jika dahulu prestasi akademik sering menjadi kayu ukur keberhasilan proses pengajaran dan pembelajaran, pembinaan minda dan karakter turut menjadi elemen penting untuk membentuk jati diri belia, di samping menimba ilmu pengetahuan menerusi pendidikan formal atau tidak formal.
Ini penting bagi menangani isu golongan tidak bersekolah atau tercicir daripada arus pendidikan negara. Di negara ini, purata tahun persekolahan adalah 10.2 tahun berbanding Singapura (11.9 tahun), Australia (12.4 tahun) dan United Kingdom (13.2 tahun). Ini bermakna secara purata kanak-kanak dan remaja menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan Empat.
Sehubungan itu, integrasi kurikulum sekolah golongan minoriti diolah berasaskan acuan dan norma setempat dengan penggunaan kaedah pengajaran unik seperti ‘Sekolah Pokok’ mampu menarik minat Orang Asli melalui kuiz, muzik dan puisi selari Transformasi Pendidikan Orang Asli digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Tibalah masa semua pihak untuk berganding bahu dan memperkukuh iltizam ke arah pembentukan belia masa depan cekal dan berdaya saing dalam menerajui hala tuju pemulihan negara.
Gambar:https://assets.bharian.com.my/images/articles/beliaa_1660367959.jpg