Ukur baju di badan sendiri ambil iktibar krisis Sri Lanka

Oleh Khairul Syakirin Zulkifli, Penganalisis Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia

Kesalahan tadbir urus, pelaksanaan dasar tidak tepat, rasuah, impak pandemik COVID-19 dan kesan geopolitik global menjadi rumusan umum mengapa serta bagaimana Sri Lanka menjadi negara Asia Pasifik pertama mengisytiharkan kegagalan membayar hutang luar negaranya.

Diakui pertumbuhan ekonomi Malaysia secara asasnya tinggi dan tidak mungkin terjerumus ke dalam kancah muflis seperti Sri Lanka, tetapi ia sepatutnya menjadi ‘lampu kuning’ untuk kita mengambil peduli senario menimpa negara itu sebagai pengajaran penting tadbir urus.

Pandemik COVID-19 menunjukkan sistem dan kemudahan sedia ada tidak mampu untuk bertahan jika sebarang krisis berlaku dalam masa terdekat ini.

Ganeshan Wignaraja dari International Economic Development Group menyatakan krisis melanda Sri Lanka berpunca dua faktor utama, iaitu kejutan ekonomi luaran dan kesilapan mengatur langkah melaksanakan dasar.

Benjamin Parkin daripada Financial Times pula menegaskan ketidaktelusan dalam pentadbiran kerajaan dan dominasi keluarga elit politik tidak bertanggungjawab antara faktor utama menyebabkan krisis Sri Lanka.

Salah guna kuasa resipi kemunduran

Atas pemahaman ini, kunci utama dasar pentadbiran negara berjaya dan stabil ialah setiap keputusan mestilah tertakluk kepada kejujuran serta ketelitian dalam melaksanakan semua dasar untuk negara dan rakyat.

Pentadbiran yang baik sukar dicapai jika penyelewengan dan rasuah berleluasa. Oleh itu, salah guna kuasa ialah resipi kemunduran dan membantutkan persiapan negara menghadapi situasi ketidaktentuan.

Meskipun Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) meletakkan Sri Lanka di ranking ke-102 dengan Malaysia di ranking ke-62, ada baiknya kita memberikan tumpuan khusus ke arah membanteras rasuah daripada merosakkan negara.

Barometer Rasuah Global menunjukkan 79 peratus masyarakat Sri Lanka menyatakan masalah terbesar menghimpit pentadbiran disebabkan kerajaan rasuah, manakala 16 peratus menyatakan pengguna perkhidmatan awam pernah membayar rasuah.

Angka ini wajar diberikan perhatian kerana data Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 menyebut hampir 23 peratus responden di negara ini kajian menyatakan pernah merasuah penjawat awam.

Keberkesanan sistem demokrasi moden kepada pembangunan sosioekonomi Sri Lanka menjadi persoalan tuntas yang cabaran kepada sistem demokrasi negara itu didorong gelombang populisme banyak didominasi golongan keluarga elit politik.

Ketua elit politik di Sri Lanka, dikatakan menggunakan idea populisme, namun mereka tidak melaksanakan dan mengotakan apa dijanjikan kepada rakyat.

Perang pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tamat pada 2009 memberi impak negatif kepada pembangunan Sri Lanka yang ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila dunia diserang COVID-19 dan krisis Ukraine-Russia.

Sri Lanka banyak memfokuskan projek mega, tetapi usaha ini gagal meningkatkan tahap persediaan negara itu menghadapi ketidaktentuan situasi global.

Petunjuk sosial dan ekonomi dipamerkan tidak mencerminkan situasi sebenar rakyat, ditambah buruk apabila kerajaan menurunkan tarif cukai dan menghentikan import racun pertanian, manakala perlindungan serta kebajikan sosial lemah menyukarkan proses pemulihan negara itu.

Pengajaran penting dari Sri Lanka ialah pelaksanaan dasar di negara ini perlu berpaksikan keperluan semua pihak, bukan hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja.

Contohnya, pelan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) menelan belanja RM50.2 bilion memerlukan perdebatan di Parlimen atau dibentangkan terlebih dahulu kepada jawatankuasa dasar, pakar subjek dan wakil komuniti.

Data sedia ada menunjukkan infrastruktur MRT 1 dan 2 masih tidak mencapai sasaran asal, terutama dari segi jumlah penggunaan harian. Begitu juga isu Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Krisis Sri Lanka wajar jadi pengajaran

Tanpa prejudis, krisis Sri Lanka wajar dijadikan pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam berurusan dengan negara lain. Pembabitan Sri Lanka dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China dikatakan menimbulkan pelbagai keraguan pada peringkat global. Menurut Benjamin Parkins, majoriti projek BRI China-Sri Lanka tidak membawa keuntungan kepada Sri Lanka.

Pada 2013, Malaysia antara negara terbanyak dari segi jumlah peruntukan perjanjian projek bersama China. Namun, selepas kerajaan bertukar pada 2018, kita membatalkan beberapa projek mega bernilai hampir RM23 billion.

Krisis Sri Lanka seharusnya memberikan kesedaran kepada pihak pentadbiran untuk tidak meneruskan sikap business as usual kerana impak kelembapan pembangunan sosioekonomi secara langsung boleh mengancam tahap perpaduan negara.

Kerajaan perlu ‘mengukur baju di badan sendiri’ dalam mengurus hutang negara secara baik dan berhemat. Dalam ketidaktentuan global masa kini, apa sahaja boleh berlaku, namun dapat diatasi jika beberapa iktibar daripada krisis di luar negara dapat dihayati lebih mendalam.

Sumber:https://www.bharian.com.my/amp/rencana/komentar/2022/08/992173/ukur-baju-di-badan-sendiri-ambil-iktibar-krisis-sri-lanka

Gambar: https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhlanka24_1661313912.jpg

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found