Kenyataan Media Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 3.0

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS PENGANUGERAHAN GERAN PENYELIDIKAN PROGRAM PEMBANGUNAN DASAR MASA (MPDP) 3.0

4 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR, Khamis: – Institut Masa Depan Malaysia (MASA) hari ini menganjurkan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA 3.0 yang disempurnakan oleh Pengerusi MASA, YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin.

Bagi tahun ini, MPDP 3.0 memberi tumpuan kepada penyelidikan dasar yang lebih strategik dan berimpak tinggi, dengan tema utama “Pemerkasaan Bumiputera dan Kemakmuran Bersama.”

Sebanyak 145 kertas cadangan telah diterima daripada 26 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) serta badan-badan bukan kerajaan. Bidang tumpuan penyelidikan merangkumi pembangunan modal insan, pendidikan dan kemahiran, pemilikan aset, ekuiti dan kekayaan; pembangunan wilayah dan luar bandar; daya saing dan nilai ekosistem perniagaan, pendapatan, taraf hidup dan kesejahteraan sosial, pemerkasaan reformasi institusi serta keterangkuman.

Dalam ucapannya, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan perlu bertindak dengan lebih tegas dan agenda ekonomi Bumiputera tidak hanya boleh disebut sepintas lalu dalam dokumen dasar negara. Ia memerlukan satu kerangka yang menyeluruh dengan sasaran yang jelas, indikator yang boleh diukur serta komitmen politik yang kukuh bagi memastikan kejayaan pelaksanaanya. Tanpa langkah sedemikian, jurang ekonomi antara kaum akan terus melebar dan masyarakat Bumiputera akan terus ketinggalan.

Beliau turut menekankan bahawa pemerkasaan Bumiputera bukanlah bertujuan untuk menindas kaum lain sebaliknya bagi memastikan keseimbangan yang adil agar semua rakyat Malaysia dapat maju bersama serta melahirkan insan yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di pentas dunia.

MASA akan terus komited dalam memainkan peranannya sebagai badan semak dan imbang bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan ke arah pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih mampan.

Sehubungan itu, MASA mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama semua pihak berkepentingan untuk memperkukuh agenda pemerkasaan Bumiputera.
Melalui perbincangan teliti dan penyelesaian berasaskan kajian mendalam, ekosistem ekonomi Bumiputera yang lebih berdaya saing dan inklusif akan dapat dibina demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Search

Kongsi Artikel

Artikel Lain

Siaran Media
KENYATAAN MEDIA MAJLIS PENGANUGERAHAN GERAN PENYELIDIKAN PROGRAM PEMBANGUNAN DASAR MASA (MPDP) 3.0 4...
Artikel
Oleh Nur Zalikhaa’ Zainal Abidin MALAYSIA’S fight against tobacco is entering a troubling...
Artikel
Oleh Muhammad Iman Khidir Tarmidzi TATKALA Malaysia melakar sebuah perancangan jangka sederhana melalui...
Artikel
Oleh Azril Mohd Amin Sejarah membuktikan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi Malaysia adalah...