Oleh Mohamed Azmi Mohd Rashid Khan
BAHASA Melayu dimartabat Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, berperanan penting dalam mengekalkan identiti dan keharmonian pelbagai kaum serta bahasa perpaduan. Bahasa Melayu bukan sekadar satu aspek linguistik bahkan melambangkan akar umbi dan identiti kolektif rakyat Malaysia.
Justeru, setiap warganegara bertanggungjawab menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan dalam usaha memastikan kelangsungan dan kehebatannya tanpa merendahkan bahasa lain dituturkan di Malaysia. Dalam hal ini, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif mendorong penggunaan bahasa kebangsaan di pelbagai sektor, termasuk dalam pendidikan dan perniagaan.
Adalah penting untuk mencari punca ketidakupayaan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan warganegara kerana masih ramai tidak dapat bertutur atau menulis dalam bahasa Melayu dengan lancar. Malah, ramai memilih menggunakan bahasa asing dalam kehidupan seharian mereka. Ini membangkitkan persoalan di mana sebenarnya jati diri orang Malaysia mengagungkan bahasa Melayu.
Memang sesuatu yang amat janggal dan pelik jika sudah berdekad lamanya tinggal bumi ini dan beranak-pinak di negara ini, tetapi masih tidak dapat bertutur bahasa Melayu dengan lancar. Ini satu ketidakpatuhan terhadap hakikat menjadi warganegara Malaysia.
Sebagai bangsa Malaysia, setiap warganegara sepatutnya bangga dan berusaha menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan simbol identiti negara. Sikap acuh tak acuh terhadap bahasa kebangsaan hanya mencerminkan kelemahan jati diri warganegara terhadap tunjang utama negara ini.
Menariknya, pekerja asing yang beberapa tahun tiba di Malaysia dilihat lebih cepat mempelajari dan menguasai bahasa Melayu. Ini menimbulkan persoalan kesungguhan dan keazaman masyarakat tempatan untuk memelihara dan mengamalkan bahasa kebangsaan.
Jika hendak dikatakan kurangan latihan dan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian hampir majoriti rakyat hari ini pergi ke sekolah dan belajar bahasa Melayu. Oleh itu, tidak boleh dijadikan alasan jika ada warganegara Malaysia tidak mampu bertutur dengan baik bahasa kebangsaan.
Lebih mengecewakan lagi, masih terdapat ahli politik terutama wakil rakyat berbahas di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dapat bertutur bahasa Melayu dengan baik dan lancar. Situasi ini bukan sahaja kelihatan amat janggal dan memalukan, malah turut mencerminkan sikap tidak endah dan kecuaian mereka terhadap bahasa Melayu.
Mereka sepatutnya menjadi contoh baik dalam memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat tertinggi perundangan dan pentadbiran negara. Kecekapan berbahasa Melayu pada peringkat ini penting untuk memastikan setiap rakyat Malaysia memahami isu dibangkitkan.
Kritikan bersifat membina, mendidik
Kritikan terhadap golongan gagal menguasai bahasa Melayu dengan fasih harus bersifat membina dan mendidik. Saling memahami antara kaum dan masyarakat adalah asas untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu demi mengukuhkan perpaduan negara.
Sebagai contoh, golongan tidak fasih ini membabitkan diri dalam program kemasyarakatan bagi memahami lebih mendalam bahasa Melayu. Bagi golongan berusia atau warga emas, mungkin boleh dimaafkan, tetapi golongan belia, mereka tidak boleh beri alasan lagi jika tidak mampu berbahasa kebangsaan dengan fasih.
Mendepani isu ini, pihak yang perlu menggerak utama kempen ini adalah kerajaan. Kerajaan perlu meningkatkan lagi usaha menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua sektor, swasta dan media massa. Pendedahan melalui media sosial dan program pendidikan adalah cara berkesan untuk meningkatkan pemahaman dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.
Inisiatif ditetapkan sebelum ini seperti menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada peringkat universiti dan pusat penyelidikan mampu menjadikan bahasa kebangsaan memiliki kelestarian dalam bidang ilmu pengetahuan dan teknologi.
Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan surat rasmi, sama ada dari kerajaan mahupun swasta diutuskan dalam bahasa Melayu antara kuasa eksekutif yang tepat digunakan bagi memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Perdana Menteri berkata, jika surat berkenaan diutus dalam bahasa selain bahasa kebangsaan, ia perlu dipulangkan semula kepada pengutus dalam usaha untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Selain itu, perlu ada penambahbaikan dan rombakan pada kurikulum pendidikan untuk menekankan penggunaan bahasa Melayu dalam semua subjek. Guru perlu diberikan latihan mencukupi untuk memastikan mereka dapat mengajar dengan efektif dalam bahasa Melayu.
Sekolah perlu memberi penekanan tinggi kepada kemahiran berbahasa sejak peringkat prasekolah lagi. Dengan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Melayu sejak peringkat awal, negara akan dapat melahirkan generasi akan datang memiliki penguasaan bahasa Melayu lebih baik.
Sementara itu, penggunaan teknologi juga boleh disepadukan dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat. Aplikasi dan platform dalam talian tertumpu kepada pembelajaran bahasa dapat membantu individu meningkatkan kemahiran berbahasa mereka.
Antara usaha baharu kerajaan adalah melalui undang-undang dengan mewajibkan pekerja asing mempelajari bahasa Melayu sebelum bekerja. Langkah ini strategi bijak untuk meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan komuniti dengan lebih meluas.
Apa yang penting, sebagai rakyat Malaysia, setiap individu perlu memahami bahasa Melayu adalah aset berharga perlu ditutur, dipertingkat dan dipelihara. Rakyat tidak boleh memandang enteng nilai ulung bahasa kebangsaan sendiri kerana ia adalah mercu tanda identiti dan kekayaan budaya negara.
Perlu ditegaskan, usaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu kepada rakyat bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab setiap individu dalam masyarakat yang menjadi warganegara Malaysia. ‘Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih’ kata pepatah Melayu.
Menguasai bahasa Melayu bukan bermakna menghina bahasa ibunda, tetapi ia menjadi tali pegangan untuk memperkukuh perpaduan rakyat dan memastikan kelestarian warisan budaya kebangsaan.
Rakyat tidak boleh menafikan bahasa Melayu adalah bahasa bangsa di rantau Nusantara ini. Semua pihak, termasuk rakyat perlu membuka minda dan hati, fikiran dan sinergi untuk menguasai bahasa kebangsaan tanpa sebarang prejudis kepada bahasa Melayu.
Penulis adalah Ketua Pegawai Operasi, Institut Masa Depan Malaysia (MASA)