Kenyataan Media Pemerkasaan Bumiputera B40 Menerusi Belanjawan 2023

KENYATAAN MEDIA
PEMERKASAAN BUMIPUTERA B40 MENERUSI BELANJAWAN 2023
6 OKTOBER 2022

Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menggesa Kerajaan membangunkan ekonomi bernilai tinggi bagi menyelesaikan isu ketidaksamaan ekonomi antara kaum.

Impak pandemik COVID-19 terhadap pendapatan isi rumah telah menjejaskan struktur kumpulan isi rumah, meningkatkan kadar kemiskinan dan meluaskan jurang ketidaksamaan. Tidak dinafikan kumpulan B40, terutamanya golongan miskin dan rentan yang merupakan golongan paling terjejas.

Majoriti pendapatan isi rumah mengalami kemerosotan, kebanyakannya yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan sederhana, telah beralih ke kumpulan isi rumah berpendapatan rendah – 20 peratus isi rumah M40 berpendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 telah jatuh kepada kumpulan B40. Data tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa kumpulan isi rumah B40 mengalami penyusutan lebih besar kepada 15.9 peratus dalam agihan pendapatan.

Isu ini penting untuk diambil perhatian kerana kumpulan Bumiputera merupakan kelompok besar daripada kumpulan B40.

Program-program yang bertujuan menyediakan peluang sosioekonomi dan memudahkan peningkatan mobiliti untuk Bumiputera telah dirangka sejak pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Perkembangannya dapat dilihat melalui penubuhan organisasi dan institusi berteraskan Bumiputera, seperti Unit Peneraju Bumiputera (TERAJU) dan pengenalan skim-skim seperti program Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR). Namun, langkah-langkah ini masih dilihat belum membuahkan hasil.

Negeri-negeri yang mempunyai penduduk Bumiputera yang tinggi (Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah) mencatatkan insiden kemiskinan tertinggi akibat ketidaksamaan dan pembangunan yang tidak seimbang dari sudut kekayaan, pendapatan, pendidikan dan infrastruktur. Negeri-negeri ini mendahului peratusan isi rumah berpendapatan di bawah RM7,000. Prestasi ekonomi Sabah dan Sarawak sepanjang lima tahun lepas juga lebih rendah daripada purata negara iaitu 2.7 peratus setahun.

Bumiputera yang mendapat pendidikan lepas menengah merupakan penyumbang terbesar kadar pengangguran berbanding kumpulan etnik lain. Kadar penyertaan tenaga buruh bagi bukan Bumiputera adalah lebih tinggi berbanding Bumiputera dan kumpulan etnik lain di Malaysia iaitu sebanyak 65.8 peratus.

Kerajaan perlu menggariskan hala tuju dan objektif yang jelas dalam membantu golongan Bumiputera, terutamanya mereka yang tergolong di bawah isi rumah berpendapatan penengah.

Sehingga kini, masih belum wujud sebarang pelan strategik berdasarkan pengumuman Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob berhubung Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030). Pelaksanaan tindakan susulan TPB2030 perlu dimaklumkan kepada umum bagi memastikan ketelusan dan keterangkuman. Pelaksanaan pelan tindakan tersebut hendaklah berasaskan keperluan, dengan tumpuan untuk membangunkan Bumiputera B40 untuk membina daya tahan terhadap sebarang cabaran ekonomi yang mendatang.

Pada peringkat mikro, Kerajaan perlu mengutamakan asas modal yang diperlukan oleh usahawan untuk menaik taraf Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri yang kurang membangun. Ini boleh dilaksanakan menerusi beberapa langkah dan insentif, antaranya pemindahan tunai langsung kepada pengusaha perniagaan. Langkah ini akan menambah baik ekosistem perniagaan dan menyediakan akses kepada pasaran negara bagi mewujudkan penawaran pekerjaan bergaji tinggi, selain meneroka konsep wakaf bagi mempelbagai sumber kewangan untuk membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera.

Kerajaan juga harus memanfaatkan sains data untuk memantau kemajuan dan keluaran PKS Bumiputera melalui pembangunan pangkalan data berpusat berasaskan industri.

Isu birokrasi dan pentadbiran perlu dikurangkan bagi mempercepat pemberian bantuan perniagaan dan meminimumkan ketirisan akibat amalan rasuah. Aspek perundangan dalam pelaksanaan tender terbuka juga perlu dipertimbang bagi memastikan ketelusan dalam pembidaan kompetitif terbuka untuk usahawan Bumiputera.

 

AZRIL MOHD AMIN
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
INSTITUT MASA DEPAN MALAYSIA

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found