Wajah Kemiskinan Dan Realiti Sebenar Masyarakat: Usaha & Pendekatan Inklusif Ke Arah Pemerkasaan Sosio-Ekonomi Yang Mampan

Source of Image : iStock – https://www.istockphoto.com/photo/sister-and-baby-brother-gm458994975-21668716

Oleh Mohd Noor Musa, Juruanalisis Penyelidikan (Sosial), Institut Masa Depan Malaysia

Pelbagai siri diskusi, kolokium dan perbincangan berkait perihal kemiskinan seringkali difokuskan kepada statistik, angka, dan kayu pengukur kemiskinan. Seringkali juga kita secara tidak langsung terlepas pandang kepada aspek kemanusiaan atau realiti sebenar serta yang dilalui oleh mereka yang kurang bernasib baik yang dilanda kemiskinan.

Kemiskinan merupakan situasi serba kekurangan yang terjadi bukan atas kehendak dan kerelaan setiap individu atau pun isi rumah. Isi rumah miskin boleh dikenalpasti berdasarkan beberapa petunjuk, seperti kekurangan pendapatan untuk membeli keperluan asas, tingkat pendidikan yang rendah, tidak memiliki harta benda, kekurangan makanan dan pakaian, tiada tempat tinggal yang selesa, dan tiada pekerjaan yang dapat menjamin kelangsungan hidup. Semua keadaan ini akan menyebabkan isi rumah tiada daya upaya untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan jika tiada bantuan dan sokongan daripada pihak berkuasa.

Menyedari hakikat dan realiti ini, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dengan kerjasama All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) telah menganjurkan satu program Webinar “Wajah Kemiskinan: Kemiskinan Bukan Sekadar Angka Tetapi Realiti Sebenar Masyarakat” pada 5 Julai 2021. Sesi webinar yang turut disertai oleh A     hli P     arlimen,      penyelidik dari universiti tempatan, pemimpin dan ahli komuniti luar bandar ini bertujuan untuk memperlihatkan gambaran sebenar kemiskinan di peringkat akar umbi melalui perkongsian beberapa kajian kes yang dijalankan. Ia juga telah memperihalkan pelbagai sisi kemiskinan dan ketidaksamarataan yang masih wujud dalam kalangan masyarakat, sama ada di kawasan bandar dan luar bandar, serta usaha-usaha dan intervensi yang dilaksanakan oleh komuniti yang terjejas untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan membina kemampanan sosio-ekonomi mereka.

Melalui usaha ini, APPGM-SDG telah menjalankan mandat untuk merakyatkan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) di peringkat kawasan parlimen. Sebagai permulaan, pada tahun 2020, sebanyak 10 kawasan parlimen di seluruh Malaysia telah terlibat dengan gerak kerja APPGM-SDG ini. Sesi webinar turut menjadi satu bentuk platform perkongsian penting yang merakamkan sinergi yang dilakukan oleh wakil-wakil rakyat di peringkat parlimen masing-masing dengan memberi penekanan kepada implikasi dasar dan penggunaan pendekatan yang lebih ’mesra rakyat’ dalam memahami dengan lebih baik akan situasi kemiskinan di peringkat akar umbi, seterusnya menerokai usaha-usaha yang efektif dan sesuai bagi mengatasi kemiskinan di kawasan parlimen masing-masing dengan kerjasama pemimpin komuniti yang terpilih.

Menerusi laporan rasmi Sustainable Development Goals 2021 yang dilancarkan baru-baru ini, Malaysia berjaya menduduki tangga ke-65 dari 165 buah negara dunia dengan skor markah SDG Index sebanyak 70.88% dan Spillover Index sebanyak 77.77%. Malaysia turut berjaya mencapai peningkatan dalam satu bidang SDG iaitu SDG1: Tiada Kemiskinan. Melihat kepada data laporan yang dikeluarkan ini, melalui paparan realiti sebenar yang dipaparkan hasil perkongsian webinar Institut MASA dan APPGM-SDG yang lalu, boleh dikatakan ianya satu bentuk pendekatan yang baik ke arah menangani kemiskinan seperti yang dihasratkan oleh kerajaan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan juga SDG di peringkat global. Secara tidak langsung, pelbagai pihak dapat mengetahui serba sedikit pengalaman dan usaha-usaha dilakukan di peringkat akar umbi, contohnya usaha yang dijalankan oleh komuniti belia dan wanita orang asli di Jeli, Kelantan;      kelompok wanita B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari,      Petaling Jaya; dan masyarakat setinggan di Kampung Chawan,      Kuching, Sarawak. Ini sekaligus mengajak masyarakat awam dan agensi berwajib untuk turut sama memahami wajah sebenar kemiskinan yang membelenggu mereka.

Melalui intervensi yang dilakukan di beberapa kawasan parlimen, ianya telah berjaya membantu ahli parlimen mengenal pasti isu-isu akar umbi yang membelenggu rakyat di kawasan mereka. Selain itu, dampak dari intervensi yang dijalakan juga dapat membantu memperkasakan ekonomi kelompok yang terjejas dengan yang lebih baik, mewujudkan persekitaran yang mampan dan membantu meningkatkan pembangunan sosial di kawasan parlimen masing-masing selain menjadi kajian kes yang berguna untuk pembuat dasar dalam merangka dasar, polisi atau pelan pembangunan yang lebih holistik pada masa akan datang.

Melalui inisiatif dan intervensi awal yang dilakukan oleh pihak APPGM-SDG serta hasil kerjasama pelbagai pihak, khususnya kumpulan penyelidik universiti serta pemimpin komuniti, ianya telah berjaya menemukan penyelesaian yang dapat dilaksanakan di peringkat akar umbi, seterusnya mewujudkan satu bentuk model pembangunan komuniti yang inklusif, unik dan seterusnya  dapat diterjemahkan ke skala nasional yang lebih besar, bagi mencapai pembangunan secara menyeluruh dan inklusif, tanpa meminggirkan segmen atau kelompok masyarakat dari arus pembangunan.

Usaha ini juga adalah selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu untuk menjadikan Malaysia negara yang membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah – sekaligus menyumbang kepada kestabilan ekonomi, dan kemakmuran negara.

Share Article

More Article

No data was found