Tambah baik sosioekonomi kunci jangka hayat lebih panjang

Oleh Solahuddiin Ismail Mina

Jangka hayat ketika lahir adalah satu anggaran purata umur dijangka dicapai seorang bayi baru dilahirkan dalam sesuatu tahun rujukan. Ia menunjukkan berapa lama secara purata seseorang bayi yang lahir pada tahun tertentu dijangka hidup, berpandukan statistik kematian semasa serta faktor kesihatan dan persekitaran.

Angka ini biasanya dikira secara berasingan mengikut jantina, wilayah kediaman, kualiti dan akses kepada kemudahan kesihatan, malah boleh berbeza mengikut negeri atau daerah.

Memetik Laporan Sosioekonomi Bumiputera: Analisis Semasa (2025) dikeluarkan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), pada 2023 didapati jangka hayat etnik Melayu adalah 73.8 tahun dan Bumiputera lain (73.5 tahun).

Ia masih rendah berbanding jangka hayat etnik Cina iaitu 77 tahun, manakala etnik India mencatatkan purata jangka hayat 71.4 tahun.

Bagaimanapun, anggaran trend terkini bagi 2024 seperti diumumkan Jabatan Perangkaan menunjukkan sedikit peningkatan dengan keseluruhan bayi lahir pada tahun itu secara purata dijangka hidup sehingga 75.2 tahun.

Mengikut etnik pula, etnik Cina masih mencatatkan jangka hayat ketika lahir tertinggi pada 2024, iaitu 77.1 tahun.

Sementara itu, jangka hayat Bumiputera merangkumi Melayu dan Bumiputera lain hanya 74.3 tahun.

Jurang ketara antara Bumiputera serta India dengan etnik Cina ini menimbulkan kerisauan kerana mencerminkan ketidakseimbangan dari aspek kesihatan, termasuk akses terhad kepada perkhidmatan dan kemudahan kesihatan, tahap pendidikan kesihatan, status pemakanan serta tahap sosioekonomi.

Dari perspektif serantau, Malaysia berada di kedudukan ketiga tertinggi di Asia Tenggara dengan purata jangka hayat mencecah 75.2 tahun, selepas Singapura (84.39 tahun) dan Thailand (80.13 tahun). Singapura kekal negara dengan jangka hayat tertinggi di rantau ini.

Jika dibandingkan dengan negara maju pula, jurang lebih besar dapat dilihat. Jepun kekal antara negara dengan jangka hayat tertinggi di dunia, iaitu sekitar 85 tahun, diikuti Korea Selatan, mencecah 83.77 tahun. Sementara itu, Jerman mencatatkan 81 tahun, manakala Amerika Syarikat (AS) sekitar 79.25 tahun. Kesemuanya ini berdasarkan unjuran 2024.

Jurang jangka hayat antara etnik di Malaysia, khususnya antara Bumiputera dan Cina, banyak dipengaruhi faktor ketidakseimbangan sosioekonomi.

Faktor ini memainkan peranan besar kerana menentukan tahap akses kepada kesihatan seperti pemakanan, persekitaran kondusif serta peluang mendapatkan rawatan kesihatan berkualiti. Secara langsung mempengaruhi keupayaan Bumiputera mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Data sejajar UNICEF

Data ini sejajar dengan Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF): Ranjau Sepanjang Jalan (2023), melaporkan hampir 95 peratus kanak-kanak dalam isi rumah B40 di Kuala Lumpur, majoritinya terdiri daripada Bumiputera, hidup dalam kemiskinan.

Mereka terpaksa membuat pilihan sukar antara menampung kos makanan, pendidikan anak dan kesihatan. Dengan harga makanan sihat semakin mahal, ramai terpaksa memilih makanan murah dan kurang berkhasiat.

Bukan itu sahaja, pekerjaan tidak stabil juga menjadi faktor penting seperti pekerja kontrak atau ekonomi gig yang majoritinya disertai Bumiputera.

Sumber pendapatan rendah, berbahaya dan tidak menentu menyukarkan mereka melabur dalam kesihatan bagi tempoh jangka panjang, termasuk mendapatkan rawatan kesihatan berkualiti atau insurans kesihatan.

Ini menambah kerentanan mereka kepada penyakit kronik tidak dirawat, seterusnya mempengaruhi jangka hayat. Langkah tepat harus diberikan keutamaan ialah memperkukuh aspek sosioekonomi Bumiputera dalam konteks peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Kerajaan sepatutnya melaksanakan dasar lebih holistik melalui peningkatan peluang pekerjaan setanding dengan kemahiran dan kelayakan, latihan kemahiran serta gaji mencukupi.

Sebagai contoh, UNICEF mencadangkan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM2,102 sebulan, berdasarkan kos sara hidup sebenar dan produktiviti semasa.

Selain itu, subsidi dan sokongan pemakanan sihat perlu ditingkatkan bagi memastikan setiap keluarga, khususnya keluarga B40, mampu mendapatkan makanan berkualiti.

Ini boleh dilakukan dengan memperkukuh Dasar Pemakanan Kebangsaan serta memperkenalkan subsidi makanan sihat disasarkan kepada mereka yang tinggal di kawasan bandar berpendapatan rendah.

Kerajaan juga disarankan memperkukuh sistem perlindungan sosial supaya lebih komprehensif dan berimpak tinggi. Sistem sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), MySARA, zakat dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah langkah penting bagi mengecilkan wujud jurang dari segi kecukupan bantuan dan capaian perkhidmatan.

Tumpuan utama harus diberikan kepada penambahbaikan sosio-ekonomi rakyat kerana peningkatan pendapatan, pekerjaan stabil, serta akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan berkualiti adalah kunci utama menikmati jangka hayat lebih panjang.

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2025/07/1414798/tambah-baik-sosioekonomi-kunci-jangka-hayat-lebih-panjang

Search

Kongsi Artikel

Artikel Lain

Siaran Media
KENYATAAN MEDIA 16 PENYELIDIK TERPILIH MENERIMA GERAN PENYELIDIKAN MASA 1 OGOS 2025 KUALA...